(HIBURAN) ‘AKU AKAN MUNCUL’ satu langkah berani RM Vision Film

POSTER JPEGcrop

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri perfileman tempatan dilihat menunjukkan perkembangan yang positif dengan lebih banyak filem dihasilkan serta kemunculan banyak penerbit baharu yang mula menceburi dunia pembikinan filem.

Tambahan pula, terdapat juga beberapa filem yang mencatatkan kutipan tiket yang memberangsangkan, terutamanya dalam kategori genre seram yang ternyata terus mampu menarik masyarakat dari pelbagai umur, budaya dan latar belakang ke pawagam. Ternyata jika dilihat dari penilaian statistik buat beberapa tahun kebelakangan ini, genre Seram merupakan genre yang membuat kutipan paling konsisten dan acap kali membuat kutipan diluar jangkaan.

Justeru itu, sebagai sebuah syarikat produksi masih muda, RM Vision Film Production Sdn. Bhd.  tampil di hadapan peminat-peminat filem tempatan, dengan filem sulung mereka yang bertajuk AKU AKAN MUNCUL. Sebuah filem seram, khas buat penggemar filem seram tanah air.

Dalam menterjemahkan ayat-ayat di dalam buku skrip ke atas layar perak, syarikat produksi, RM VISION PRODUCTION SDN BHD telah menagih keringat dan kreativiti Encik Roy untuk mengarahkan filem ini. Dengan suntikan idea, pengalaman dan kreativiti beliau, akhirnya Encik Roy berjaya merealisasikan skrip nukilan Qash Aris menjadi sebuah filem seram yang padat dengan adegan penuh debaran, misteri, kejutan serta mempunyai isi tauladan buat tatapan penonton.

Pelbagai isu yang begitu dekat dengan masyarakat kita cuba ditimbulkan oleh Qash Aris di dalam filem AKU AKAN MUNCUL, dimana penonton seperti boleh mengaitkan apa yang dilihat di layar dengan perjalanan hidup seharian masyarakat kita sendiri. Isu dendam, cemburu, hilang pedoman, taksub pada dunia dan sikap sanggup berbuat apa sahaja demi melunaskan keinginan dan hasad dengki menjadi intipati kepada perjalan plot filem ini.

Sesuatu yang menarik tentang filem tersebut apabila ia menampilkan beberapa pelakon popular tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Mutalib, Julia Ziegler, Liza Abdullah, Zulkifli Ismail, Noor Akma, Zaibo dan Musly Ramly.

Tidak ketinggalan juga beberapa orang pelakon baru yang turut menjayakan filem AKU AKAN MUNCUL ini iaitu Angah (Bocey Maharaja Lawak Mega), Syafiq, Megat Samsuddin, Alfie, Firah, Shairah dan Azura.

Filem yang menelan belanja dengan kos sebanyak RM1.8 juta itu telah menjalani penggambaran selama 40 hari iaitu pada bulan Oktober dan November 2012. Lokasi penggambaran pula dilakukan di beberapa buah lokasi menarik di sekitar negeri Johor Darul Takzim.

Kini, setelah hampir dua tahun Aku Akan Muncul dihasilkan, filem yang sarat dengan adegan suspen dan menyeramkan ini bakal menghantui penonton menerusi tayangannya di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Februari 2014.

aku munculSMALL

Sinopsis AKU AKAN MUNCUL

Mengisahkan tentang Kesuma yang mempunyai raut wajah yang cantik, tetapi gemar membandingkan kecantikkannya itu dengan rakannya Mawar sehingga membuatkan rakan-rakannya yang lain seperti Manja, Melor, Putih dan Melati berasa bosan dengan tingkah lakunya.

Bagaimanapun, kecantikan yang dimiliki Kesuma itu tidak bertahan lama apabila dia terlibat dengan kemalangan ketika mencari inai bersama Manja. Akibatnya, wajah Kesuma telah menjadi buruk. Bagi memulihkan wajahnya itu, Kesuma meminta pertolongan Mak Yam yang cukup terkenal sebagai seorang dukun yang hebat.

Namun begitu, usaha untuk memulihkan wajahnya itu bukanlah mudah kerana Mak Yam meletakkan syarat supaya Kesuma membunuh seorang anak dara dan tiga orang kanak-kanak perempuan yang tinggal di kampungnya iaitu Kampung Ledang yang terletak di kawasan Gunung Ledang.

Untuk memenuhi permintaan tersebut, Kesuma bertindak kejam dengan membunuh rakannya, Mawar serta dua orang kanak-kanak perempuan, tetapi hasratnya mahu membunuh seorang lagi kanak-kanak iaitu anak kepada Ramlee tidak kesampaian apabila dihalang oleh Arjuna yang juga merupakan adiknya sendiri dan kekasih kepada Mawar.

Ketika mahu menahan perbuatan kakaknya itu, Arjuna sendiri terbunuh, tetapi sebelum mati dia sempat berpesan kepada Ramlee yang merupakan anak kepada penghulu kampung supaya menyelematkan anaknya daripada disembelih Kesuma.

Kemudian, Ramlee bersama penduduk Kampung Ledang menangkap dan membunuh Kesuma dengan membakarnya. Namun begitu, jantung Kesuma tidak terbakar dan Pak Tam, ayah kepada Ramlee mengarahkan supaya jantung Kesuma yang ditikam dengan kerisnya dibungkus dan ditanam di tepi tasik di kawasan Gunung Ledang.

40 tahun kemudian sekumpulan pelajar kolej yang diketuai Zack membuat penyelidikan tentang kajian geologi di Gunung Ledang bersama rakan-rakannya yang lain iaitu Jeff, Angah, Diana, Tasha, Linda dan Farah.  Pada masa sama, Datuk Kamaruddin bersama isterinya, Datin Rozita dan dua orang anak mereka, Fatin dan Hadi turut pergi ke rumah baru mereka yang terletak di kawasan Gunung Ledang.

Ketika melakukan kajian berkenaan, pemandu sampan berpesan kepada semua pelajar kolej tersebut supaya tidak melakukan sesuatu kubur di mana jantung Kesuma ditanam. Bagaimanapun, Tasha tidak menghiraukan pesanan itu dan mengoreknya serta membuat jantung berkenaan ke dalam tasik. Ternyata perbuatannya itu telah menghidupkan semula Kesuma.

Kemudian Kesuma mula mengganggu penghuni yang berada di sekitar kawasan tersebut serta ingin menculik Fatin yang ingin dijadikan mangsa terakhirnya bagi memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Mak Yam kepadanya dahulu.

Sebelum mahu melakukan perkara tersebut, Kesuma terlebih dahulu mahu melakukan siri pembunuhan yang melibatkan para pelajar kolej berkenaan. Tujuannya berbuat demikian kerana ingin membalas dendam terhadap Ramlee yang bertindak membunuhnya sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *