(HIBURAN) ARABYRD, HULLERA & SOPHIA LIANA BUAT ‘HAL’ DALAM SINGLE RAP TERBAHARU

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2020 – Penyanyi rap serta DJ serba boleh yang berasal dari Kuching, Sarawak, Arabyrd, penyanyi rap muda yang sedang meningkat naik kelahiran Shah Alam, Selangor, Hullera dan salah seorang anggota trio rap wanita yang sedang panas, De Fam, anak jati Ipoh, Perak, Sophia Liana telah bergabung secara kreatif dalam single rap terbaharu berjudul ‘Hal’. Ciptaan Arabyrd, Hullera dan Sophia Liana sendiri, lagu ini telah mendapat sentuhan dan olahan magis DJ tempatan dan penerbit muzik, DJ Ziqq dan penyanyi rap serta komposer terkenal, SonaOne.

Ketiga-tiga mereka telah bersepakat untuk berkarya secara kolektif apabila Arabyrd selaku pencetus idea menyatakan hasrat beliau untuk bekerjasama dalam sebuah single,

“Saya lihat semakin ramai penyanyi rap wanita tanah air yang muncul di persada muzik lokal dan ini merupakan suatu perkembangan yang sihat. Tatkala itu, saya mengambil kesempatan ini untuk berkolaborasi bersama Hullera kerana beliau masih muda dan sangat berbakat, manakala Sophia Liana merupakan penyanyi rap daripada kumpulan De Fam yang sudah berpengalaman dan disegani.”

Bercerita mengenai maksud disebalik single ‘Hal’, Hullera pula berkata,

“Single ‘Hal’ membawa mesej memperkasakan wanita di mana setiap hari kaum hawa berdepan dengan pelbagai cabaran dan perlu berdikari dan harus berani dalam menjalani kehidupan sehari-hari, selain itu kita juga perlu berdiri di atas kaki sendiri dan jangan ambil peduli dengan apa orang luar kata tentang kita selagi kita tidak buat ‘Hal’.”

Menurut juara pertandingan realiti Dansa Dan Sing musim pertama, Sophia Liana mengulas,

“Setiap seorang daripada kami diberi kebabasan yang sepenuhnya dalam meluahkan setiap ‘Hal’ dalam single tersebut dan peluang bekerjasama bersama Arabyrd dan Hullera merupakan pengalaman sangat berharga kerana banyak yang kami belajar selain bertukar-tukar pendapat sewaktu proses rakaman sedang berlangsung.

 Tambah Arabyrd pula,

“Terima kasih yang tidak terhingga buat Loka Entertainment kerana mempercayai ‘Hal’ dan saya berharap agar penggemar muzik bergenre hip hop di luar sana dapat menerima hasil karya kami bertiga, dan saya juga tidak sabar untuk melalui fasa seterusnya bersama wanita-wanita hebat ini.”

Video muzik rasmi ‘Hal’ akan dilancarkan pada 27 Mac 2020 dan diterbitkan oleh Gushcloud Malaysia, Amar Halim dan Zakwan Azizan, dan diarahkan oleh Atong dan Bibo.

‘Hal’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik single ‘Hal’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *