(HIBURAN) Chaleeda Gilbert Artis Antarabangsa Pertama Rocketfuel Entertainment Mengorak Langkah Sebagai Penyanyi Di Malaysia

Spread the love

 

KUALA LUMPUR, 14 Disember 2017 – Penyanyi remaja wanita berdarah kacukan Inggeris-Thailand yang bakatnya dicungkil menerusi laman sesawang YouTube dengan menyanyikan lagu penyanyi terkenal antarabangsa seperti Justin Bieber dan mendapat tontonan melebihi 1.2 juta hanya dalam 5 hari, Chaleeda Gilbert atau hanya Chaleeda mula diperkenal menerusi single ‘Mind Over Matter’ yang cipta oleh penyanyi rap tanahair berbakat besar SonaOne.

Chaleeda yang baharu sahaja menginjak umur 16 tahun telah mula berkecimpung dalam bidang muzik seawal 11 tahun dan pernah menjadi sebahagian kumpulan remaja wanita popular di Thailand dipanggil Tweenie 90’s ini merupakan artis antarabangsa pertama yang dilamar oleh Rocketfuel Entertainment kerana bakat semulajadi sebagai penyanyi yang dimilikinya.

Sebelum ini Chaleeda telah pun melancarkan sebuah single di dalam bahasa Thai berjudul ‘Ready For Love’ kolaborasi bersama penyanyi rap terkemuka Thailand bernama Twopee yang turut diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment pada bulan Ogos lepas dengan 1.5 juta tontonan hanya dalam beberapa hari sejurus dilancarkan di laman sesawang YouTube.

Proses penghasilan single ‘Mind Over Matter’ yang memakan masa selama sebulan untuk disiapkan ini menceritakan tentang cinta secara keseluruhan.

Mengulas lanjut mengenai single ‘Mind Over Matter’, Chaleeda berkata,

“Kalau dalam single ‘Ready For Love’, ia lebih kepada pengenalan saya sebagai pendatang baru kepada khalayak umum dan ingin lari dari imej sebelumnya yang keanak-anakan tetapi dalam single ‘Mind Over Matter’ saya terjemahkan perasaan cinta saya dalam lagu bahawa istilah cinta itu tiada sempadan dan tiada batasan usia untuk jatuh cinta kerana apa yang kita rasa melalui minda dan hati lebih penting dan mengatasi segala-galanya.”

Chaleeda yang meminati artis antarabangsa seperti Drake, Rihanna, August Alsina dan Melanie Matinez ini mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih Rocketfuel Entertainment sebagai syarikat rakamannya,

“Rocketfuel Entertainment merupakan syarikat rakaman pertama di rantau Asia yang menyokong usaha penggiat muzik muda seperti saya kerana telah banyak syarikat rakaman yang saya dekati di negara sendiri namun tiada satu pun yang memahami hala tuju muzik saya dan mahu memberi peluang kepada saya, dan apabila Rocketfuel Entertainment menghubungi saya menyatakan hasrat mereka untuk mengambil saya sebagai artis rakaman mereka, tanpa berfikir panjang lagi saya rasakan inilah peluang yang saya tunggu-tunggu selama ini.

Di samping itu, team Rocketfuel Entertainment sangat profesional dalam mengendalikan aktiviti seni saya serta layanan yang diberikan seolah-olah saya sebahagian daripada keluarga besar mereka dan sokongan yang diberikan terhadap karier muzik saya tidak berbelah bagi.

Pada pendapat saya, Malaysia merupakan sebuah negara yang hebat dan ianya berjiran dengan Thailand, banyak persamaan di antara kedua-dua buah negara ini dan dengan layanan mesra yang diberikan oleh keluarga Rocketfuel Entertainment, saya rasakan ia seperti rumah kedua saya.

Saya meletakkan harapan yang tinggi agar peminat-peminat saya suka dengan single ‘Mind Over Matter’ ini dan menyeru agar penggemar muzik seluruh dunia dapat menerimanya dengan baik kerana ia merupakan lagu Inggeris pertama saya dan saya amat berbangga dengan pencapaian ini.”

Komen Adam Lobo, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Records mengenai Chaleeda,

“Chaleeda mempunyai bakat semulajadi yang mengagumkan pada usia muda dan beliau juga merupakan contoh artis yang mempunyai pakej yang lengkap dan peredarannya dari single pertama ‘Ready For Love’ di dalam bahasa Thai kepada single ‘Mind Over Matter’ di dalam bahasa Inggeris menunjukkan kebolehan beliau dalam menguasai kedua-dua bahasa ini.

 

Kami percaya bahawa lagu ini mampu membawa Chaleeda pergi jauh bukan sahaja di Malaysia serta Thailand, bahkan ke serantau Asia dan mungkin ke seluruh dunia.”

Single ‘Mind Over Matter’ ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan boleh didengari di corong-corong radio seluruh Malaysia.

‘Chaleeda Showcase’ merupakan konsert mini pertama yang dianjurkan oleh Rocketfuel Entertainment  bertempat di The Bee, Publika jam 8 malam khas buat peminat Chaleeda di Malaysia. Sebanyak 5 buah lagu yang dipersembahkan iaitu;

  1. Don’t Let Me Down (cover)
  2. Ready For Love
  3. I Hate You I Love You (cover)
  4. The One I Like
  5. Mind Over Matter

Video muzik lagu ini boleh ditonton di laman sesawang YouTube Rocketfuel Network dan  lagunya pula boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *