(HIBURAN) Filem Bukit Kepong Dalam Versi HD

Spread the love

IMG_9526

Industri kandungan kreatif di Malaysia kini melalui era transformasi dari sistem analog ke digital dimana format kandungan berdefinisi tinggi (HD) sudah menjadi lumrah atau kebiasaan bagi penonton, para karyawan, pawagam serta stesyen-stesyen penyiaran tempatan dan antarabangsa.

 IMG_9594

Selaras dengan pelan Kerajaan bagi memajukan industri kandungan kreatif ke peringkat global, United Studios Sdn Bhd selaku syarikat pengedaran dan pemasaran (anak syarikat KRU International Sdn Bhd), telah mengambil inisiatif untuk membuat pelaburan serta memasarkan filem epik/aksi “Bukit Kepong” untuk dipasarkan semula di pasaran tempatan dan antarabangsa. Selain “Bukit Kepong”, United Studios dan Jins Shamsudin Productions turut menandatangani perjanjian untuk membaik pulih 3 buah filem klasik lain iaitu “Menanti Hari Esok”, “Esok Masih Ada” dan “Tiada Esok Bagimu”.

Prodigital Lab Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh KRU Malaysia Sdn Bhd) merupakan studio pasca produksi yang bertanggungjawab membuat kerja-kerja “digital remastering” bagi visual dan audio filem “Bukit Kepong” yang telah diterbitkan oleh Jins Shamsudin Productions pada tahun 1981. Dalam usaha “menyelamatkan” kandungan filem “Bukit Kepong”, kerja-kerja rumit ini dijalankan dengan penuh teliti selama 3 bulan dengan proses pemulihan filem yang menelan kos sekitar RM100,000.

 IMG_9628

“Kos dan tempoh proses digital remastering bergantung kepada kondisi filem. Ketika kami menerima Bukit Kepong dalam format filem negatif 35mm, kami dapati bahawa keadaan filem tersebut tidak begitu baik dimana filemnya sudah melekat dan tidak boleh diimbas. Ia perlu melalui beberapa proses di makmal bagi membersihkannya dengan menggunakan bahan-bahan kimia. Proses ini agak rumit sehingga mengambil masa yang agak lama” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Prodigital Lab, Archie Nasution.

“Bukit Kepong” bukan saja dinaik taraf ke kandungan definisi tinggi (HD). Prodigital Lab turut meningkatkan kualiti warna untuk tampak seolah-olah “Bukit Kepong” baru menjalani penggambaran semalam. Selain dari itu, mutu audio juga dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan lipsync audio asal dengan visual, noise reduction serta penambahan kesan khas bunyi.

 kepong

Pendigitalan kandungan kreatif seperti “Bukit Kepong” ini bukan saja meningkatkan kualiti bagi tujuan pengkomersilan dan pengedaran semula, ianya juga menjimatkan kos pengarkiban dan yang lebih penting memelihara khazanah seni tempatan untuk tontonan dan rujukan di masa-masa yang akan datang.

Kumpulan Syarikat KRU melalui United Studios dan Prodigital Lab bersedia menjalinkan kerjasama dengan semua pihak dengan menawarkan perkhidmatan digital remastering bagi membaik pulih filem-filem klasik atau rancangan televisyen; dan mengedarkan semula kandungan kreatif tersebut untuk tontonan di dalam dan luar negara.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *