(HIBURAN) Filem MUNAFIK 2

‘Perjuangan yang tiada noktah’ begitulah kata-kata semangat yang pernah dilontarkan oleh Syamsul semasa beliau ‘bangkit’ semula menghasilkan filem MUNAFIK pada tahun 2016.

Mengimbas kembali buat seketika tentang filem MUNAFIK, berkat doa dan semangat gigih Syamsul semasa menghasilkan MUNAFIK ternyata telah mengukir kejayaan besar dalam lipatan sejarah kerjaya beliau sebagai seorang pengarah dan pengkarya apabila beliau dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke 28 pada tahun 2016 buat kali ke 3 di samping berjaya memenangi Filem Terbaik Nasional. Dalam dalam tahun yang sama juga beliau sekali lagi berjaya merangkul anugerah Pengarah Filem Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2016. Kejayaan yang paling tidak dapat dilupakan apabila beliau berjaya menempa sejarah besar dengan memenangi Pengarah Filem Terbaik di 57th Asia Pacific Film Festival 2017. Segalanya bagaikan mimpi, namun ini yang dinamakan rezeki.

Kini, Syamsul kembali meneruskan usaha dan perjuangan dalam industri perfileman menerusi MUNAFIK 2. Syamsul sekali lagi mengekalkan genre seram dan penuh dengan perisian keagamaan (Islamic) dengan gaya persembahan yang lebih bertenaga dan bermotivasi. Boleh dikatakan atas permintaan para penggemar setia filem-filem karya Syamsul telah mendorong beliau untuk mempersembahkan sebuah lagi karya yang berkait rapat dengan jalan cerita MUNAFIK. Filem MUNAFIK 2 merupakan karya Syamsul yang ke 10.

Syamsul menaruh kepercayaan tinggi dengan menampilkan Maya Karin buat pertama kalinya dalam MUNAFIK 2. Bakat lakonan beliau yang besar menerusi filem-filem lakonannya sebelum ini yang cukup berkesan diyakini mampu menghidupkan watak Sakinah yang menuntut pengawalan emosi sebagai seorang anak yang menjaga bapanya yang mengidap penyakit misteri di samping membesarkan seorang anak yang turut menderita sejenis penyakit gara-gara tekanan akibat diganggu jin/syaitan.

Syamsul juga buat kedua kalinya menampilkan Nasir Bilal Khan sebagai pemain watak yang sangat mencabar menerusi MUNAFIK 2. Syamsul percaya berdasarkan lakonan mantap Nasir sebelum ini menerusi filem BOHSIA… Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Nasir berupaya memberikan persembahan terbaik untuk watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya dalam MUNAFIK 2.

Keserasian gandingan Syamsul dan Mawi dalam bidang nyanyian mendorong Syamsul untuk memberi tugasan baharu buat Mawi untuk menghidupkan satu watak dalam MUNAFIK 2. Syamsul mengambil kira kesesuaian Mawi sebagai seorang personaliti yang berpengaruh dengan kreativiti keagamaan.

Fauzi Nawawi juga turut menjadi pilihan Syamsul untuk mendukung watak yang diwujudkan dalam MUNAFIK 2. Pemilihan Fauzi dibuat berdasarkan hasil lakonan beliau yang dilihat mampu memainkan peranan yang tidak kurang cabarannya.

Selain itu, Syamsul juga masih mengekalkan beberapa pelakon hebat lain yang pernah muncul dalam MUNAFIK seperti Fizz Fairuz dan Datuk Rahim Razali turut membintangi MUNAFIK 2.

Sebagai seorang pengarah kerdil dalam industri perfileman tanahair, beliau sentiasa berdoa agar bakat yang dianugerahi Tuhan kepadanya mampu mendorong dirinya untuk memberi persembahan terbaik bagi MUNAFIK 2, ini janji beliau kepada para penggemar setia filem tempatan. Tapi yang paling beliau titikberatkan adalah semua usahanya ini demi memartabatkan industri perfileman tanahair.

“Di dalam Al Quran, antara golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah dan mengharapkan habuan dunia. Golongan inilah yang bakal ditentang Ustaz Adam di dalam filem MUNAFIK 2” begitulah petikan kata-kata Syamsul. Bismillah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *