Kuala Lumpur, 03 Oktober 2022 – Majlis Malam Gala Tayangan Perdana Filem Seratus telah dilancarkan di GSC MID VALLEY dengan kehadiran barisan pelakon, rakan media cetak, media elektronik, rakan selebriti, penerbit filem Malaysia, KOL, para karyawan dan kru produksi. Filem ini telah mencipta sejarah dengan penampilan 100 orang pelakon terkenal yang digabungkan di dalam sebuah filem bergenre romantik-thriller dan sekaligus merupakan filem pertama di Malaysia yang paling ramai dibintangi.
Filem “SERATUS” merupakan filem pertama hasil gabungan antara dua produksi hebat Malaysia iaitu UNOMEDIA SDN.BHD yang dimiliki oleh Encik Basree Rakijan dan FJ PICTURES SDN.BHD yang dimiliki oleh pengarah terkenal serta pemilik idea asal filem ini sendiri iaitu Encik Feroz Abdul Kader.
Filem yang penuh dengan aksi-aksi mendebarkan ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Hafiz yang perlu menyelamatkan ibunya daripada dibunuh. Hafiz perlu mencari semula wang RM 100 yang mempunyai “klu” tentang pendrive yang terkandung sebuah rahsia besar. Hafiz melalui pelbagai situasi yang mencemaskan demi mendapatkan wang RM 100 itu sebelum ibunya mati dibunuh.
Pengarah terkenal Feroz Kader mengambil simbolik tajuk filem ini daripada wang kertas RM 100 serta SERATUS penglibatan pelakon tanah air. Beliau juga dengan beraninya mempertaruhkan Sharul Kamal sebagai tunjang utama dalam filem ini. Selain itu, Sara Ali, Marissa Yasmin, Fauzi Nawawi dan Wan Hanafi Su turut membarisi barisan hadapan filem SERATUS ini. Filem ini juga dihiasi dengan nama-nama besar seperti Nora Danish, Dato Awie, Dato Adi Putra, Fify Azmi, Pablo Amirul, Syazwan Zulkifli, Izzue Islam, Beto Kusyairi, Nadiya Nisaa, Ungku Ismail Aziz dan ramai lagi.
Penerbit UNOMEDIA SDN.BHD, Encik Basree Rakijan dan Datuk Wira Vincent Lye selaku penasihat telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pengarah yang tidak asing lagi di dalam industri seni Malaysia iaitu Encik Feroz Kader untuk menghasilkan sebuah filem yang
berkualiti tinggi. Tambahan pula, kerjasama yang telah terjalin selama 10 tahun membuatkan Encik Basree Rakijan sangat berkeyakinan penuh dengan sentuhan pengarahan oleh Encik Feroz Abdul Kader yang pernah memenangi Anugerah Pengarah Filem Terbaik Seri Angkasa pada tahun 2015 serta pemenang Pengarah Drama Terbaik, Anugerah Drama Sangat, TV3.
Meskipun filem ini telah menjalani penggambaran dalam tempoh kawalan SOP pendamik Covid-19 dan pastinya telah melalui pelbagai masalah, namun filem ini berjaya disiapkan kerana mendapat kerjasama sepenuhnya dari semua pihak yang terlibat.
Filem “SERATUS” telah dihiasi dengan lagu OST berjudul “BUNGA TERINDAH” nyanyian pelakon utama iaitu Sharul Kamal. Filem ini juga bakal menemui penonton pada 6 Oktober 2022 di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Azhar berjumpa dengan Borhan dan menerima satu pendrive dari Borhan. Borhan memberi arahan menyuruh Azhar bertindak dengan cepat dan dalam waktu yang sama, mereka sedar yang mereka sedang diekori. Dalam percubaan menyelamatkan diri, Azhar dan Borhan terpisah. Azhar berusaha untuk selamatkan diri dan berjaya sembunyikan pendrive itu di salah sebuah tandas stesen minyak. Kemudian dia pergi ke rumah bekas isteri dan anaknya, Hafiz. Tujuan Azhar adalah untuk meminta bantuan, tetapi sebaliknya, dia dimarahi oleh anaknya Hafiz kerana tiba-tiba muncul setelah hampir 15 tahun dia menghilangkan diri. Azhar kecewa, sudahnya dia tulis sesuatu di atas sekeping duit serratus dan selitkan di bawah pintu.
Keesokannya, Hafiz dapat berita yang ayahnya telah mati dibunuh. Timbul rasa kecewa dan kesal di hati Hafiz kerana menghalau ayahnya semalam. Hafiz mengadu tentang apa yang berlaku pada Sofia, gadis yang disukainya. Pulang dari berjumpa Sofia, Hafiz terkejut apabila dia dapati rumahnya berselerak dan ibunya tidak kelihatan dan pada masa yang sama, Hafiz juga ditangkap oleh seorang gangster bernama King. King bertanyakan tentang pendrive, atau ibunya akan dibunuh tetapi Hafiz meyakinkan yang dia tidak tahu apa- apa tentang pendrive cuma dia teringat akan duit yang Azhar tinggalkan di pintu rumahnya, malangnya duit itu telah dibelanja dia café tempat Sofia bekerja. King beri Hafiz sehingga 12 tengah malam untuk dapatkan pendrive itu atau ibunya akan dibunuh.
Bermulalah perjalanan Hafiz mencari duit seratus itu. Tiba di café Sofia, Sofia beritahu yang duit itu kini berada pada lelaki bermotor besar. Hafiz kejar lelaki itu dan mencuri duit dari lelaki itu. Malangnya, dompet Hafiz pula dicuri oleh peragut jalanan. Hafiz mula mendapat bantuan Sofia. Dia menjejaki geng peragut jalanan itu, dan akhirnya dia dapat duit seratus itu dan dia jumpa pendrive itu. Malangnya, sekali lagi Hafiz dan Sofia ditangkap oleh seorang lelaki bernama Samir, yang mahukan pendrive itu untuk blackmail VVIP yang terlibat dengan video dalam pendrive itu. Rupanya, pendrive itu menyimpan video pembunuhan yang dilakukan oleh seorang VVIP dan Samir dan Borhan merupakan orang yang telah merekod video itu. Borhan mahu serahkan pendrive itu pada polis, sementara Samir mahukan wang. Sebab itu Borhan serahkan pendrive itu pada Azhar, yang merupakan seorang wartawan untuk bekerjasama membongkar rahsia ini.