(HIBURAN) HANNAH DELISHA BAKAL DIKECAM?

Petaling Jaya, 3 November 2020 – Sering disajikan dengan watak yang lemah lembut, Hannah Delisha tidak gentar untuk tampil sebagai antagonis yang bakal dikecam ataupun dibenci oleh warga net. Amani, watak gadis muda yang ingin hidup senang-lenang demi memenuhi impian ‘Cinderella’nya dengan mengahwini lelaki kaya. Sayangnya impian Amani berkecai kerana suaminya hanyalah seorang lelaki biasa. Kesengsaraan yang dialaminya menjadikan dengki terhadap kakak kandungnya semakin membuak-buak sehingga dia sanggup menjadi perosak rumah tangga!     

Terbaharu di slot Akasia, Cinta Sekali Lagi, drama bersiri 28 episod terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd bakal menemui penonton TV3 bermula pada 4 November 2020, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam. Akasia: Cinta Sekali Lagi merupakan nukilan skrip oleh Nieza Nahar dan diarahkan oleh Pali Yahya. Ia menggandingkan pelakon-pelakon hebat tanah air iaitu Nelydia Senrose, Saharul Ridzwan, Hannah Delisha, Raja Afiq, Ezzaty Abdullah, Haziq Fadhullah, Luqman Hafidz, Mustaqim Bahadon, Elnisa Ryun, Dilla Ahmad, Haleeda dan Arash Mohd.

Akasia: Cinta Sekali Lagi mengupas kisah hidup dua adik-beradik iaitu Amanda (Nelydia Senrose) dan Amani (Hannah Delisha). Amanda sentiasa dipersalahkan oleh Amani kerana menyebabkan Amani mempunyai parut kekal di tangannya. Rentetan daripada kejadian itu, Amani sentiasa mahu lebih daripada Amanda dalam segala hal.

Amanda baru dilantik sebagai ‘jewellery designer’ di Anggun Jewels. Dia mempunyai masalah dengan Fahad Iman (Saharul Ridzwan), pengurus di situ. Ibu Fahad, Ungku Nadrah (Dilla Ahmad) berkenan dengan kebaikan Amanda sehinggalah dia mendapat tahu mengenai sengketa anaknya dengan Amanda. Amani pula sibuk nak berkahwin dengan Ungku Mukhlis (Raja Afiq), sepupu kepada Fahad bagi memenuhi impian ‘Cinderella’nya untuk hidup senang walaupun dia masih belajar.

Ibu Amanda dan Amani, Puan Nazira (Haleeda) mengenakan syarat iaitu Amani perlu menamatkan pengajiannya dahulu dan pastikan Amanda juga menikah pada hari yang sama. Amani menganggap syarat tersebut sebagai penghalang. Amani lebih berminat dengan rumah banglo keluarga Mukhlis dan tidak tahu mengambil hati orang tua Mukhlis.

Hubungan Fahad dan Amanda semakin buruk dengan hasutan Muiz (Iman Zulkarnain), rakan sekerja mereka yang sentiasa iri hati dengan Fahad. Keadaan menjadi gawat apabila Fahad digantung kerja. Amanda mula menyedari kejahatan Muiz. Dia telah bekerjasama dengan Taqiudin sehingga Muiz tertangkap dan Fahad kembali bekerja. Sejak hari itu, Fahad dan Amanda menjadi rapat. Ungku Nadrah telah melamar Amanda untuk Fahad.

Amani mengimpikan majlis perkahwinan yang gah. Dia amat kecewa apabila keluarga Mukhlis hanya mengadakan majlis secara bersederhana. Impiannya untuk hidup senang bagai Cinderella telah hancur kerana Mukhlis hanyalah lelaki biasa. Amanda dan Amani telah mengandung anak pertama. Amanda dilayan dengan penuh kasih sayang oleh Fahad manakala Amani dan Mukhlis sering dilanda masalah.

Selepas tujuh tahun, Amanda dan Fahad bahagia dengan dua orang anak dan berpindah ke rumah baharu bersama Mak Wan, orang gaji di rumah Fahad. Amani cemburu apabila Mukhlis masih simpan hati pada Farhana sehingga akhirnya dia menyerang Mukhlis di rumah Ungku Nadrah. Amani diceraikan Mukhlis! Amani dan Mukhlis menghilangkan diri selepas bercerai, meninggalkan anak mereka, Fizri di bawah jagaan Fahad dan Amanda.

Amani kembali dan dalam diam, dia menggoda Fahad kerana ingin merampas kebahagiaan milik Amanda. Fahad pula dibutakan dengan nafsu dan terperdaya dengan fitnah yang dibuat oleh Amani. Adakah kejahatan Amani akan terbongkar? Masihkah ada peluang bagi Fahad untuk merayu ‘CINTA SEKALI LAGI’ daripada Amanda?

Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan Cinta Sekali Lagi menerusi slot Akasia pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam mulai 4 November 2020 di TV3.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan juga YouTube, Facebook, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *