(HIBURAN) Hazama Hadiahkan ‘Aku Bukan Dewa’ Istimewa Untuk Peminat

“Walau Aku Bukan Dewa, Kalis Calar dan Luka, Bebas Dari Cedera, Namun Aku Masih Muda, Darahku Yang Merah Menyala, Buat Ku-Seperkasa”.. Berikut adalah bait lirik lagu single terbaru Hazama berjudul ‘Aku Bukan Dewa’. Lagu yang mengangkat genre muzik progresif pop rock ini merupakan single kedua Hazama untuk tahun ini selepas ‘Aku Yang Sebenar’ yang dilancarkan pada bulan April lalu. Sama seperti ‘Aku Yang Sebenar’, single kedua Hazama ‘Aku Bukan Dewa’ ini turut mendapat sentuhan dari Ad Samad selaku penulis lirik dan Taja (Meet Uncle Hussein) & Hazama pula bertindak sebagai komposer. Istimewanya lagi, Hazama turut bekerjasama dengan penyanyi rap tersohor tanah air, Altimet dalam menjayakan single ini.

Buah tangan terbaharu daripada Hazama ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan bermula pada hari ini. Selain dari itu, single ini turut boleh didengari di landasan penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Muzik video lagu ini pula dijangka bakal menemui peminat dalam jangka masa terdekat ini di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Mengulas mengenai edisi terbaharu beliau ini, Hazama menjelaskan, “Saya sangat teruja kerana sekali lagi berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama hebat di sebalik tabir penghasilan ‘Aku Bukan Dewa’ ini. Segah tajuk yang diberi, karya ini sekali lagi mempamerkan kehebatan Ad Samad dalam menghasilkan sebuah lirik yang cukup bermakna dan memiliki maksud yang begitu mendalam, diulit pula dengan keindahan muzik hasil sentuhan komposer terkenal Taja, dan pada masa yang sama rakan baik saya sendiri, Altimet, hadir menyumbangkan gegaran rap kreatif beliau bagi melengkapkan nukilan ini. Hasilnya, sempurnalah ‘Aku Bukan Dewa’, istimewa untuk peminat-peminat saya di luar sana.

‘Aku Bukan Dewa’ ini saya anggap sangat dekat dengan diri saya kerana ia menceritakan tentang semangat juang saya dalam industri muzik ini. Dari hari pertama saya bertapak dalam industri, pelbagai ranjau dan onak duri terpaksa saya tempuhi sebelum saya berada di sini; pada hari ini. Lagu ini sangat istimewa kerana muzik yang dipersembahkan seolah-olah memberi gambaran akan penceritaan dan ‘mood’ atau suasana yang ingin disampaikan. Ad Samad berjaya mengolah lirik lagu ini dengan baik sekali, dan Taja pula menyokong dengan menghidupkan elemen misteri dan teka-teki dalam lagu ini.

Menariknya lagi, pendekatan genre muzik yang saya ambil pada kali ini iaitu progresif pop rock, berlainan dari konsep pop balada yang saya bawa selama ini. Saya ingin lari dari ruangan selesa saya dan menampilkan kelainan dengan tampil menyampaikan lagu rancak. Ini sebenarnya adalah jiwa saya dan pada kali ini, saya akan membawa peminat menyelami aliran sebenar muzik, dalam dunia saya.”

Mengulas pula mengenai cabaran yang perlu Hazama lalui untuk menyiapkan single ini, Hazama berkata,Sejujurnya, saya tidak mengalami sebarang kesulitan dari aspek vokal kerana saya begitu menyukai dan sangat teruja dengan lagu ini. Justeru, semangat untuk mempersembahkannya dengan sebaik mungkin dilihat hadir secara semulajadi (‘natural’). Tapi, saya merasakan, cabaran itu mungkin hadir di saat ingin memenangi hati peminat terutamanya mereka yang selama ini terbiasa dengan lagu-lagu saya yang berentak pop balada.

Seperti yang dinyatakan sebentar tadi, ‘Aku Bukan Dewa’ adalah sebuah lagu yang berentak rancak, tetapi sebagai seorang penyanyi, saya perlu tampil versatil dan terus berkarya dalam industri untuk kekal relevan. Saya ingin terus menghiburkan peminat yang sentiasa setia berada di belakang saya. Saya berharap, peminat saya mampu menerima kelainan ini dengan hati terbuka dan semoga terhibur dengan lagu ini.”

Menurut Adam Lobo, Ketua Muzik Label, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., “Hazama adalah satu nama yang tidak memerlukan pengenalan lagi dalam industri muzik tanah air. Selain daripada menyanyi, bakat beliau dilihat mendapat pengiktirafan sewajarnya apabila diberi peluang menjadi sebahagian dari tenaga pengajar atau mengisi kerusi juri profesional untuk sesebuah program terutamanya program yang berkaitan dengan nyanyian. Karekter diri beliau yang begitu bersahaja, kelakar dan mudah didekati turut menjadi penyumbang kepada kejayaan beliau pada hari ini.

Mungkin ramai sedia maklum, kami di Rocketfuel Entertainment baru-baru ini telah membuat sebuah eksperimen sosial yang menampilkan Hazama sebagai seorang gelandangan dan membuat persembahan di Bukit Bintang. Ternyata, pelantun lagu ‘Penglipur Lara’ ini masih tetap menjadi tumpuan orang ramai yang rata-rata dilihat terpegun dengan nyanyian beliau. Itulah Hazama. Bakat yang beliau miliki sangat istimewa dan kami yakin, sama seperti lagu-lagu beliau sebelum ini, ‘Aku Bukan Dewa’ ini bakal mendapat tempat di hati peminat.”

Lagu ‘Aku Bukan Dewa’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. Layari saluran Youtube Rocketfuel Network untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *