(HIBURAN) “Kembalikan Syawalku” sarat dengan pengajaran

Pihak produksi telefilem Kembalikan Syawalku amat bertuah kerana dapat menggandingkan barisan pelakon veteran hebat iaitu Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar dan Sabri Yunus. Lakonan mantap mereka ini dilengkapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon muda seperti Syafie Naswip dan Sharifah Amani. Istimewanya telefilem ini, buat pertama kalinya Fatimah digandingan didalam satu telefilem bersama Fauziah dan juga anaknya, Amani.

Menurut Arie dari syarikat produksi Arie Zaharie Production, selaku penerbit telefilem ini berkata, “Saya sangat bersyukur kerana ketiga-tiga pelakon veteran bersetuju untuk bekerjasama menjayakan telefilem ini. Tidak perlulah kita mempersoalkan kehebatan dan juga komitmen yang mereka berikan. Pengambaran telefilem ini berlatarkan suasana kampung dan juga hospital lama di sekitar daerah Batu Gajah, Perak”.

Arie yang ditemui di majlis tayangan perdana telefilem “Kembalikan Syawalku” dan iftar bersama anak-anak dari Rumah Pengasih Warga Prihatin, menambah, ”Walaupun menggandingkan hero dan heroin veteran, saya percaya dengan kekuatan jalan cerita dan lakonan mantap, mereka mampu membuatkan penonton mengalirkan air mata,”.

Telefilem arahan Pitt Hanif ini bakal bersiaran pada malam raya, 24 Jun, jam 9 malam di Saluran Astro Citra dan Mustika HD.

SINOPSIS

Aishah atau Mak Chah (lakonan Fauziah Nawi) tidak sabar hendak berjumpa bakal menantu pada hari raya nanti. Sebelum puasa lagi, Mak Chah sudah mula membuat persediaan untuk menyambut hari raya yang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Latifah atau Mak Pah (Fatimah Abu Bakar) pula tidak sabar hendak menyambut raya kerana inilah pertama kali dia akan beraya dengan anak bongsunya setelah empat tahun anak bongsu itu berada di luar negara!

Akil (Syafie Naswip) pulak kehilangan thumbdrive yang ada kerja penting di dalamnya. Akil menuduh emaknya sudah terbuang thumbdrive tersebut semasa mengemas. Pertama kali Akil meninggikan suara kepada emaknya. Mak Chah merajuk…

Akil bergegas ke pejabat dan mendapati thumbdrive itu ada atas meja di pejabat. Akil rasa sangat bersalah kerana memarahi emaknya. Namun, Akil mengejar masa. Dia perlu mencetak dokumen, menjilid, dan menyerahkannya kepada majikannya. Dalam perjalanan, Akil ditimpa kemalangan. Dia cedera parah dan tak sedarkan diri.

Sementara itu di rumah, Pak Jamil (Sabri Yunus) sedang menebang dahan pokok. Walaupun dilarang Mak Pah, Pak Jamil tidak peduli. Akhirnya, Pak Jamil jatuh ke tanah. Pak Jamil dikejarkan ke hospital. Kakinya patah! Namun anak-anaknya tidak percaya kerana sebelum ini

Pak Jamil selalu menipu kononnya dia jatuh dan masuk hospital semata-mata kerana mahu anak-anaknya pulang. Di hospital, Mak Chah dan Mak Pah berkenalan. Mereka bersembang tentang diri masing-masing. Sekelip mata, hubungan mereka menjadi rapat.

Doktor mengesahkan Akil lumpuh dari pinggang ke bawah. Akil sangat kecewa. Dia mula bertanya kenapa dia diberikan musibah ini sedangkan dia tidak pernah menyakiti sesiapa dalam hidupnya.

Pak Jamil pula mengalami kesan sampingan yang serius disebabkan faktor usianya. Pak Jamil meminta Mak Pah menelefon anak-anak supaya balik. Apabila masing-masing memberi macam-macam alasan, Pak Jamil menyuruh Mak Pah menipu yang kononnya dia sedang nazak.

Pak Jamil sering bertemu Akil semasa menjalani rawatan fisioterapi. Pak Jamil menasihati Akil tentang pelbagai hal terutama tentang takdir. Atas nasihat Pak Jamil, Akil akhirnya sedar tentang segala kesalahan yang dilakukan terhadap Mak Chah. Dia benar-benar insaf. Dia mencari-cari Mak Chah kerana mahu meminta maaf.

Di rumah, Mak Chah sedang memasak rendang dan ketupat. Dia kemudiannya ke bilik Akil untuk mengambil baju Melayu. Mak Chah ternampak dream board Akil. Beberapa gambar perancangan Akil mula terkeluar dari papan tersebut. Salah satu perancangan Akil ialah menghantar Mak Chah ke Mekah.

Takbir raya bergema di awal pagi. Akil membuka mata, ternampak ada sebekas ketupat, rendang dan baju Melayu atas meja. Akil terasa amat bersalah. Dia mencari-cari Mak Chah. Akil nampak emaknya sedang sujud…

Mak Pah pula mengejutkan Pak Jamil untuk bangun bersolat Subuh dan bersiap menyambut kedatangan anak-anak…

Saksikan telefilem arahan Pitt Hanif yang bakal bersiaran pada malam raya,
24 Jun, jam 9 malam di Saluran Astro Citra dan Mustika HD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *