(HIBURAN) KESINAMBUNGAN KEMPEN MERIAH BERSAMA DI SALURAN KHAS ‘RAYA HD’ ASTRO

 

PETIKAN KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO
 

Dato’ Khairul Anwar Salleh,

Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro

 

“Musim perayaan adalah masa terbaik untuk mempertautkan kembali silaturahim dan ikatan persaudaraan menerusi tradisi ziarah dan saling berkunjungan. Tradisi meluangkan masa berkumpul di samping keluarga tercinta dan sahabat handai sambil menonton pelbagai aneka rancangan hiburan di televisyen atau menerusi gajet pilihan di ruang digital juga sudah menjadi keperluan yang wajib dibuat bersama-sama.

 

Memanfaatkan semangat kemeriahan dan kebersamaan ini, Astro menyemarakkan lagi pengisian kempen ‘Meriah Bersama’ dengan menghimpunkan program-program terhebat merangkumi rancangan hiburan, kandungan premium dan digital termasuklah liputan sukan dan berita di kesemua platfrom yang kami miliki. Sebagai tanda penghargaan, kami bawakan juga saluran ‘Raya HD’ istimewa untuk semua para pelanggan tanpa sebarang bayaran tambahan sepanjang Syawal. Pastinya sambutan raya pada tahun ini akan lebih bermakna dengan penawaran kandungan Astro yang amat komprehensif.

 

Tidak dinafikan, iklan komersial juga merupakan antara perkara yang sering menjadi perhatian ramai dan cukup dinantikan setiap kali musim perayaan. Oleh itu, Astro tidak ketinggalan membawakan sebuah lagi kisah menarik yang dizahirkan dalam bentuk filem pendek sebagai tradisi tahunan. Intipati tema ‘Meriah Bersama’ menerusi kisah ‘Gara Raya Paling Ori’ juga turut diterjemahkan dengan penuh kreatif dan sarat dengan mesej yang cukup dekat dengan masyarakat kita.”

FAKTA PENTING KEMPEN ‘MERIAH BERSAMA’ SEPANJANG SYAWAL
  1. Saluran ‘Ramadan HD’ di 122 yang dibuka secara percuma kepada semua pelanggan Astro dan NJOI sejak 12 Mei lalu akan diambil alih oleh saluran ‘Raya HD’ selama sebulan bermula 14 Jun sehingga 15 Julai 2018.
  1. Untuk pengisian raya pada tahun ini, pelbagai pengisian hebat telah diselaraskan merangkumi kandungan eksklusif di platform digital, televisyen, radio dan acara lapangan bagi memberikan hiburan berterusan untuk menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini.
  1. Khas buat peminat sukan bola sepak pula, sambutan Aidilfitri tentunya lebih meriah dengan liputan komprehensif kesemua 64 perlawanan yang dibawakan secara eksklusif oleh Astro selaku penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia yang kebetulan jatuh sewaktu musim perayaan ini.
  1. Bagi memberi kelainan untuk kempen tahun ini, Astro meneruskan tradisi tahunan dengan membawakan sebuah lagi iklan raya komersial sempena Aidilfitri berjudul ‘Gaya Raya Paling Ori’ (GRPO) yang padat dengan mesej kekeluargaan dan persahabatan dalam bentuk komedi santai tetapi penuh bermakna. Bahang kehangatan Piala Dunia FIFA 2018 juga turut disemarakkan menerusi jalan cerita iklan ini.
  1. Untuk memberi pilihan yang fleksibel, kesemua pengisian ini turut boleh diakses menerusi ruang digital dan perkhidmatan ‘OTT’.
PROGRAM-PROGRAM MENARIK SEPANJANG SYAWAL
 
  1. Pada tahun ini, saluran ‘Raya HD’ bakal membawakan sebuah program khas secara langsung berjudul ‘Bonanza Raya’ pada malam raya (dijangka jatuh pada 14 Jun 2018) yang menawarkan pelbagai hadiah hebat termasuklah wang tunai untuk dimenangi dengan hanya menjawab soalan mudah yang bakal dipaparkan. Sebagai bonus, program ini akan turut disiarkan secara serentak di enam buah saluran iaitu Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Oasis (106), Astro Citra (131), Astro Warna (132) dan Astro Bella (133).
  1. Antara program hiburan dan muzikal yang disajikan termasuklah Gegar Raya Vaganza, Caca Marba Glamour Raya (menampilkan selebriti dari program AF, GV & MLM), Rumah Terbuka AF2018 dan banyak lagi.
  1. Pelbagai drama hebat termasuklah episod ‘spin-off’ menarik yang menampilkan nama-nama popular tanah air turut menanti antaranya Ti Amo Sweetheart 100 Hari yang diterajui oleh Neelofa, Zul Ariffin dan Scha Alyahya dan Awak Suka Saya Tak Raya (Emma Maembong & Alvin Chong).
  1. Manakala telefilem terhebat turut dibariskan seperti Pok Ya Cong Codei Siti Di Hati (Sabri Yunus), Jihan Nak Disiplin Anak (Jihan Muse & Ungku Aziz), Matilanak (Sepahtu, Mark Adam, Mat Dan), Bini Aku Dari… (Sharifah Sakinah & Aiman Hakim), Renyai Takbir Raya (Aaron Aziz, Sharifah Sakinah, Anzalna Nasir) dan Batang Buruk Batu Lesung (As’ad Motawh & Ismail Izzani).
  1. Program berunsur lawak dan komedi juga bakal menghiburkan penonton menerusi program menarik seperti Sepahtu Reunion Al Raya, Muzikal Lawak Raya, Bocey & Friends Raya Lah Pulak, Pangggung Karoot Pok Ya dan Opocot Melatah Raya.
  1. Program khusus untuk kanak-kanak dan animasi juga turut ditayangkan seperti Ceria Megastar Raya, koleksi klip video lagu raya Omar & Hana serta Oh My Family Raya.
  1. Koleksi filem-filem terlaris tempatan dan antarabangsa turut menemani penonton sepanjang Aidilfitri ini seperti Abang Long Fadil 2, Pinjamkan Hatiku, Tombiruo, Snow White & Huntsman, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Jurassic World, Bahubali, Bad Genius, Zombie Fighters dan banyak lagi.
  1. Selain itu menerusi perjanjian kerjasama strategik di antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, sukacita dimaklumkan bahawa tiga majalah utama terbitan Karangkraf; Mingguan Wanita, Pa & Ma dan Rasa kini akan turut dizahirkan dalam bentuk program televisyen dan bakal menemui penonton mulai Jun ini.
  1. Untuk pengisian digital, pelbagai kandungan digital yang hebat seperti filem pendek, program realiti, kembara, bual bicara, muzikal, penstriman muzik dan radio telah disusun sepanjang Syawal di kesemua platform digital termasuklah portal Gempak, Rojak Daily Kaw, Drebar, saluran YouTube Thinker Studio, majalah In Trend dan Aplikasi Untuk pilihan alternatif, pelanggan boleh turut melayari pusat sehenti maya, www.meriahbersama.com.my untuk menonton dan mendapatkan info-info terkini mengenai program dan aktiviti Astro sepanjang Syawal.
  1. Kandungan premium menerusi Astro First Eksklusif turut bersama-sama meraikan kedatangan Aidilfitri dengan mempertaruhkan filem televisyen (FTV) bergenre seram-komedi berjudul ‘The Hantus’ untuk dilanggan bermula pada hari pertama Aidilfitri, 15 Mei 2018. FTV ini merupakan filem pertama terbitan syarikat produksi pelawak terkenal, Nabil Ahmad dan diarahkan sendiri oleh beliau.
  2. Manakala Astro Shaw tidak ketinggalan dengan membariskan dua filem terbaharu iaitu Hantu Kak Limah 2 bermula 9 Ogos 2018 dan Polis Evo 2 untuk tayangan pada hujung tahun ini di pawagam seluruh Malaysia.
  3. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Astro Radio menerusi ERA, SINAR, GEGAR dan ZAYAN turut tidak ketinggalan untuk menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri dengan mengudarakan program-program menarik sepanjang bulan Syawal selain beberapa acara lapangan bersama penyampai-penyampai radio mereka.
FAKTA MENARIK TENTANG IKLAN ‘GAYA RAYA PALING ORI’ ASTRO
 
  1. Iklan komersial ‘Gaya Raya Paling Ori’ atau (GRPO) mengisahkan tentang Wak Nik, seorang yang sentiasa mementingkan imej penampilan yang unik dan tersendiri atau ‘ori’ serta tidak akan pernah tampil dengan gaya yang sama seperti orang lain. Selama ini, Wak Nik sering merasakan yang gaya unik beliau mampu membuatkan dirinya gembira, namun sebenarnya kegembiraan yang sebenar itu hanya dirasai apabila dia mula berkongsi apa yang dimiliki dengan orang lain.
  1. Garapan jalan cerita kisah ‘GRPO’ mengangkat genre komedi santai dan diolah dengan menyuntik tema kempen lebaran tahun ini iaitu ‘Meriah Bersama’ yang mengutamakan semangat kebersamaan dan kegembiraan. Ia juga sarat dengan mesej bermakna yang mengajar kita erti perpaduan yang harmoni dengan menolak perbezaan dan kembali bersatu.
  1. Kisah ‘GRPO’ diarahkan oleh sutradara muda berbakat besar, Quek Shio Chuan dari produksi Reservoir World. Tahun lalu, iklan komersial arahan beliau tersenarai antara iklan paling popular dan menjadi tular menerusi iklan ‘Dugaan Raya Aida’.
  1. Lokasi utama penggambaran ‘GRPO’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Ijok serta mengambil masa hampir dua minggu untuk diselesaikan.
  1. Iklan ‘GRPO’ juga mengangkat naskah seni dikir barat sebagai muzik iringan utama yang dimodenkan untuk menghidupkan jalan cerita secara keseluruhan. Menarik lagi, pelawak terkenal, Sabri Yunus bersama Kumpulan Dikir Barat Arjuna Sukma dijemput khas untuk menjayakan iklan ini.
  1. Antara cabaran utama yang dihadapi sepanjang penggambaran iklan ini termasuklah keadaan cuaca yang tidak menentu (memandangkan kebanyakkan babak dalam iklan ini dijalankan secara ‘outdoor’), cabaran menghasilkan skor muzik terbaik (dikir barat dengan sentuhan moden) serta memastikan keseimbangan hiburan dan mesej tersirat agar relevan kepada penonton.
SAJIAN ISTIMEWA ‘GO SHOP’ SEPANJANG SYAWAL
 

Sempena musim Ramadan dan Raya yang menjelang, Go Shop telah melancarkan promosi perkhidmatan penghantaran waktu Sahur mulai 21 Mei hingga 8 Jun. Pelanggan yang boleh membuat pesanan barangan sebelum jam 7 malam akan menerimanya keesokan hari dari jam 2 pagi hingga jam 5 pagi sebelum Sahur. Turut dilancarkan adalah promosi Meriah Bersama dengan Jualan Kilat Mingguan mulai 21 April hingga 30 Jun dengan pelbagai tawaran hebat dan berlainan untuk produk terpilih setiap minggu. Di samping itu, Go Shop juga memperagakan koleksi baru Aidilfitri dari pelbagai jenama terkenal seperti OWL by Nora Danish, Suchi by Chantek, Maya Silk House, Prima Valet dan lain-lain yang baru dan berbeza dari koleksi yang telah diperagakan pada 2 Mei lalu.

Selain itu, Go Shop juga memperkenalkan program eksklusif berformat baru yang merangkumi pelbagai tips serta ulasan produk dengan selebriti tempatan terkenal yang bertajuk ‘Chef Wan The Shopping King’ yang bersiaran setiap hari Isnin pada jam 10 pagi. Untuk mengetahui lebih tentang program dan produk yang menarik di Go Shop, ikuti rancangan di Saluran 118 HD dan 120 setiap hari di Astro atau layari www.goshop.com.my serta ikuti kami di laman Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *