(HIBURAN) KIL Bertanding di Festival Filem Asia Osaka 2014

KILsmall

KIL, sebuah ko-produksi Grand Brilliance dan Flux Visual Lab yang dipersembahkan oleh Primeworks Studios, telah bertanding di Festival Filem Asia Osaka semalam. Filem tersebut telah mengambil bahagian dalam pertandingan utama festival filem itu untuk memenangi anugerah ‘Grand Prix’. KIL juga telah bertanding untuk Anugerah ABC, sebuah seksyen pertandingan di festival tersebut yang ditaja oleh Asahi Broadcasting Corporation (ABC). Filem cereka tahun 2013 ini bersaing bersama 10 filem hebat dari seluruh rantau Asia untuk memenangi hadiah ‘Grand Prix’ berupa wang tunai sejumlah JPY 500,000. KIL merupakan satu-satunya filem Malaysia yang dipilih untuk bertanding dalam pertandingan ini. Hadiah ‘Grand Prix’ akhirnya dimenangi oleh filem Shift sebuah cereka dari negara Filipina oleh pengarah Siege Ledesma. Anugerah ABC pula dimenangi oleh filem Taiwan Forever Love, dengan Kitamura Toyoharu dan Shiao Li-shiou selaku pengarah.

Festival Filem Asia Osaka, anjuran Osaka Executive Committee for the Promotion of Moving Image Culture, telah berlangsung dari 7 hingga 16 Mac 2014. Filem KIL ditayangkan di festival tersebut, pada 8, 12, dan 14 Mac. Tayangan pada 14 Mac itu diserikan lagi dengan kehadiran pengarah Nik Amir Mustapha untuk sesi soal jawab bersama ahli-ahli media.

KIL menceritakan tentang seorang pemuda murung yang mengupah sebuah organisasi misteri untuk menolongya bunuh diri, dan merupakan filem pertama arahan Nik Amir Mustapha. Ditanya mengenai inspirasi beliau dalam menghasilkan karya berdasarkan topik yang agak suram ini, Nik Amir menjelaskan, “Kami ingin menghasilkan sesuatu yang baru untuk rakyat Malaysia, sesuatu yang tidak begitu stereotipikal tetapi masih mengandungi nilai komersial. Kami ingin mengetengahkan sebuah isu negatif dalam cara yang positif, dan eksplorasi kami dalam memahami percanggahan idea ini akhirnya membawa kepada
penghasilan KIL.”

KIL telah menerima tayangan perdananya di Marche du Film, Cannes pada bulan Mei 2013, sebelum ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada bulan yang sama. Sejak itu, filem itu telah dijemput untuk menyertai beberapa festival filem antarabangsa, seperti di Laos dan Bangladesh. Penyertaan-penyertaan akan datang termasuk di Festival Filem Asia Tenggara 2014, Singapura pada bulan April dan Fantaspoa 2014, Brazil pada bulan Mei.

Filem KIL juga berjaya menambat hati penggiat-penggiat industri filem tempatan apabila dianugerahkan Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2013 pada bulan November yang lalu. “Kami amat berbesar hati atas jemputan-jemputan yang diterima filem KIL untuk menjelajahi dunia dalam menyampaikan ceritanya. Kami terutamanya berbangga dengan penyertaan KIL di Festival Filem Asia Osaka kerana ini merupakan pertama kali filem tersebut dipilih untuk menyertai pertandingan,” ujar Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Grand Brilliance. Bercakap mengenai keputusan untuk bekerjasama dalam filem KIL, Tengku Iesta menjelaskan, “Kami amat tertarik dengan proposisi unik filem ini: filem positif tentang isu bunuh diri. Selaras dengan tradisi Grand Brilliance memupuk bakat-bakat muda dalam industri ini, kami amat teruja menjalinkan kolaborasi dengan pengarah kali pertama Nik Amir Mustapha dan filem ini telah memberikan kami inspirasi untuk bekerja dengan lebih ramai karyawan muda yang mempunyai cerita-cerita menarik untuk disampaikan.”

KIL mengisahkan tentang seorang pemuda murung yang tekad untuk mengakhiri kehidupannya yang dirasakan tiada makna. Akil mengambil keputusan untuk mendapatkan pertolongan dari sebuah organisasi khas yang menolong orang sepertinya untuk membunuh diri. Namun, pertemuannya dengan seorang gadis mempersona membuatkan matanya terbuka kembali untuk melihat betapa indahnya hidup sebenarnya. Bolehkah dia melarikan diri dari pembunuh yang diupahnya sendiri sebelum terlambat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *