(HIBURAN) KISAH-KISAH SERAM DALAM KAMPUNG SIMPANG BURUNG

Spread the love

logo Kampung Simpang Burung

Menyusul selepas drama siri ‘Mak Lang Datang, Kompang Bergendang’ di slot Senda Pagi, sebuah lagi drama siri 8 episod berjudul ‘Kampung Simpang Burung’ bakal disiarkan mulai 15 April 2013 ini, setiap Isnin jam 10.00 pagi. Drama yang menampilkan barisan pelakon seperti Danny X-Factor, Aedy Ashraf, Nasiruddin Nasir, Carmen Chew Richy dan Sweet merupakan hasil sutradara Rashid San dan penulis skrip Lieynur Liey menerusi produksi Alfa Muhibbah.

pix Kampung Simpang Burung

Kisah bermula apabila empat orang rakan iaitu Wahyu, Lucy, Pusparajah dan Abdul Rahman menghadiri kem motivasi di hutan rekreasi di Kampung Simpang Burung sempena cuti sekolah. Pada waktu malam, mereka akan berkongsi kisah-kisah seram yang mereka dengar daripada penduduk Kampung Simpang Burung. Guru mereka, Salleh, juga mempunyai kisah tersendiri yang mahu dikongsi bersama Wahyu, Lucy, Pusparajah dan Abdul Rahman.

Abdul Rahman terlebih dahulu membuka ceritanya tentang kejadian yang pernah berlaku di Sekolah Menengah Kampung Simpang Burung pada tahun 2003. Waktu itu, sekolah tersebut dijadikan kem motivasi bagi pelajar tingkatan empat dan lima. Malam pertama selepas semua pelajar masuk tidur, seorang pelajar bernama Rosli terjaga kerana terdengar bunyi loceng kaki di koridor. Tidak lama kemudian, Rosli terhidu bau kuah kari yang enak. Dia hanya membatukan diri sehingga fajar tiba.

Keesokan harinya, Rosli menceritakan peristiwa pelik yang dialaminya kepada rakan-rakan lain. Ada yang percaya, ada juga yang tidak percaya. Pada malam kedua, Sukran pula terjaga daripada tidurnya dan melihat di luar seperti jam 7.00 pagi. Keadaan di kelas sebelah dan koridor menjadi riuh. Dia bangun dan mencapai tuala serta kelengkapan mandian manakala kawan-kawan lain masih lagi belum bangun. Sukran pergi ke bilik mandi seperti biasa untuk mandi. Tiba-tiba bunyi riuh di luar menjadi senyap dan hanya terdengar bunyi cengkerik. Dia mencari jam dan melihat waktu baru menjangkau jam 3.00 pagi. Sukran mula dihantui ketakutan yang amat sangat.

Selepas mendengar cerita daripada Abdul Rahman, Wahyu dan Lucy mula rasa takut. Pada masa yang sama, Cikgu Salleh datang dan bertanya apa yang sedang dibualkan oleh mereka. Pusparajah memberitahu tentang cerita seram yang dikongsikan oleh Abdul Rahman. Sambil menghirup kopi, Cikgu Salleh pula memulakan kisah tentang ‘arwah Brahim’, suami kepada Mak Cik Semah dan merupakan guru silat di Kampung Simpang Burung.

Ketika hayat arwah Brahim, dia seorang yang gemar membantu orang ramai dan menuntut pelbagai ilmu. Ketika hendak meninggal dunia, keadaan menjadi sulit. Selepas majlis tahlil, anak menantu dan dua cucu arwah Brahim bermalam di rumah Mak Cik Semah. Ketika semua sedang lena tidur, mereka dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu dapur yang kuat. Semua yang berada di dalam rumah terkejut dan merasa takut.

Keesokkan hari ketika di kedai runcit Sood Bisu, Mak Cik Semah terserempak dengan Hisham, anak ketua kampung yang baru pulang dari Perlis. Hisham memberitahu pada Mak Cik Semah malam tadi ketika dia baru tiba, dia ternampak mirip Pak Cik Brahim sedang berjalan menghala ke Baruh. Hisham cuba menegur tetapi Pak Cik Brahim hanya diam dan berlalu pergi. Selain Abdul Rahmah dan Cikgu Salleh, Wahyu, Lucy dan Pusparajah juga mempunyai cerita seram masing-masing!

Saksikan ‘Kampung Simpang Burung’ di slot Senda Pagi setiap Isnin jam 10.00 pagi mulai 15 April 2013, hanya di TV3.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *