(HIBURAN) KISAH PENUH BADAI LIL J, ALAN D & LOCA B DALAM ‘LAUT’

Spread the love

Penyanyi rap muda serta penulis lirik berbakat besar yang sedang meningkat naik berasal dari Kuala Lumpur, Rvijay Raj atau Lil J, bergabung idea kreatif dengan Alan D, juga penyanyi rap tempatan yang disegani dan Loca B, penyanyi rap wanita yang serba boleh dalam single terbaharu berjudul ‘ Laut ’. Ketiga-tiga mereka menyelami dasar hati masing-masing yang penuh liku lalu diterjemahkan ke dalam sebuah karya yang padat dengan maksud tersirat. Ditulis dan digubah oleh Lil J, Alan D dan Loca B sendiri manakala diterbitkan oleh Mingaling dan Donato Beat, ‘ Laut ’ mempunyai maksud yang berbeza buat ketiga-ketiga penyanyi rap tersebut.

“Lautan yang terbentang luas meliputi separuh daripada dunia yang kita diami, banyak lagi perairan yang masih belum diterokai, begitu juga dengan kehidupan, masih banyak yang perlu kita lalui dan tempuhi,” jelas Lil J yang memulakan kerjayanya seawal umur 14 tahun lagi.

Menurut Alan D pula, “Lil J menyapa saya dan Loca B jika kami ingin bekerjasama dalam Laut dan kami menerima pelawaan tersebut dengan hati terbuka. Kami bertiga masing-masing mempunyai mesej tersendiri yang ingin disampaikan dalam lagu ini.”

“Air laut ada pasang surutnya dan begitu juga dengan kehidupan, ketika masalah datang melanda kita harus tempuhinya dengan tenang dan terus pandang ke depan dan jangan sesekali toleh ke belakang. Dalam Laut , saya luahkan isi hati saya paling dalam dengan maksud yang tersirat agar pendengar dapat menyelami perasaan kami masing-masing, ” tambah Loca B.

Proses rakaman yang memakan masa selama seminggu dilakukan di Mass Music Studio, Lil J berkata, “Saya sangat seronok bekerjasama dengan Alan D dan Loca B kerana kedua-dua mereka sangat berbakat dan banyak yang saya pelajari daripada mereka berdua dan dedikasi yang mereka tunjukkan memberi saya semangat untuk bekerja lebih keras lagi.”

Bukan hanya mahir menyanyi rap dalam Bahasa Inggeris dan Melayu, bahkan Tamil juga, Lil J menyatakan, “Saya hanya berharap agar penggemar muzik rap di luar sana tahu bahawa seorang anak muda dari Subang Jaya ingin menyampaikan mesej dalam lagu-lagu yang saya hasilkan dan hanya mahukan sokongan anda yang tidak berbalah bagi kerana setiap dari kita ada masalah yang dihadapi dan jangan terus menghukum. Ini hanyalah permulaan kepada suatu pergerakan yang akan berkembang dan terus berjalan di masa akan datang.”

Lagu ‘ Laut ’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Laut’ juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *