(HIBURAN) Lai Krathong, Penunggu Bayang dan Racun Menantu di Astro Box Office Movies

 Untitled

Astro Box Office Movies Tayangan Hebat, Saluran 130, bersama Dark Wave Productions Sdn Bhd bakal mempersembahkan tiga buah Filem Televisyen (FTV) terbaru iaitu, Lai Krathong, Penunggu Bayang dan Racun Menantu.

Lai Krathong akan mula menemui penonton pada Rabu 18 Jun 2014, 10.00 malam. Penonton diajak untuk menyelami kisah cinta agung antara Che Yem dan Su Fei. Kisah cinta abadi penuh ikhtibar, moral dan pengajaran ini diarahkan oleh Zul Huzaimy Marzuki. FTV ini menampilkan gabungan barisan pelakon baru dan lama. Zul Huzaimy memegang watak sebagai Che Yem, Dora Arina sebagai Su Fei dan Ruminah Sidek sebagai Mek Ani. Turut menjayakan drama ini ialah Elfira Loy, Jehan Musa, Shah Jazle, dan Roy Azman serta bintang filem Indonesia Guntur Triyoga.

Penunggu Bayang, sebuah kisah psiko thriller, mengisahkan seorang ibu yang mengalami kecelaruan mental serta dipaksa berpisah dengan dua anaknya. Penonton dibawa mengikuti kepayahannya merebut kembali kasih yang hilang. FTV ini akan mula menemui penonton pada Rabu 23 Julai 2014, jam 10 malam. Diarahkan oleh Micheal Ang, Penunggu Bayang menampilkan pelakon-pelakon terkenal. Hairul Azreen memegang watak sebagai Ariff, Syatilla Melvin sebagai Fyda, Didie Alias sebagai Hanim, Dayana Roza sebagai Yati serta turut dibantu oleh Aliff Hadi, Aedy Ashraff, Roy Azman, Rafael El Arash dan Maisara Shahirra.

Racun Menantu pula memaparkan penderitaan seorang kanak-kanak yang diculik dan dipaksa masuk ke kancah pelacuran. Kisah yang penuh ikhtibar ini akan menemui penonton pada Rabu 6 Ogos 2014, jam 10.00 malam. Kisah mendebarkan yang berakhir dengan tragedi ini diarahkan oleh Micheal Ang serta menampilkan gandingan mantap pelakon berkaliber iaitu Zaidi Omar,Sharifah Sakinah, Izreen Azminda, Helmi Moin dan ramai lagi.

Ketiga-tiga cerita ini berdurasi 110 minit, diilhamkan dan diterbitkan oleh Pengarah Dark Wave Pictures Sdn Bhd iaitu Dato’ Rafiena Ezanee Ramli. Menurut beliau, penghasilan ketiga-tiga filem televisyen ini sangat mencabar. “Lai Krathong memakan masa selama 18 hari penggambaran. Ini kerana penggambaran dilakukan di empat lokasi berbeza iaitu Phuket di Thailand, Pulau Perhentian di Pahang dan Kuala Lumpur. Pihak produksi juga mengalami beberapa insiden mistik semasa penggambaran Penunggu Bayang. Begitu juga dengan Racun Menantu, cerita ini berkisarkan kisah pelacur kanak-kanak dan kami perlu berhati-hati dengan setiap babak yang dilakonkan kerana mahu menjaga sensiviti masyarakat kita. Setelah manjalani produksi yang terperinci dan diperkuat dengan penambahan di peringkat pasca produksi, saya sangat berharap filem-filem ini akan mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton tempatan.”

Penolong Naib Presiden Kanan Pengurusan Filem dan Aset Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Puan Shoba Devi Choo turut melahirkan rasa penghargaan kepada Dark Wave atas kerjasama ini. Katanya, “Terima kasih dan syabas kepada pihak produksi atas penghasilan Filem Televisyen berkualiti yang memenuhi citarasa tinggi penonton masa kini. Jelas sekali kerjasama erat antara Astro dan syarikat produksi terbaik dapat melahirkan karya yang dinamik, berdaya saing dan sekaligus menyumbang dalam perkembangan industri filem dan drama tempatan. Jangan lupa menyaksikan Lai Krathong, Penunggu Bayang dan Racun Menantu di Astro Box Office Movies Tayangan Hebat, Saluran 130.”

lai katong

LAI KRATHONG

Budi (lakonan Guntur Triyoga), Kamal (lakonan Shahz Jaszle), Dian (Elfira Loy) dan Hani (lakonan Jehan Musa) bercuti bersama di Phuket. Dengan harapan supaya Budi lebih rapat dengan Dian. Ini semua adalah rancangan Kamal dan Hani. Setibanya di phuket, segalanya berjalan lancar sehinggalah kereta mereka melanggar patung ukiran berfigura perempuan menari. Dian mengajak pergi menonton tarian tradisional yang kebetulannya perayaan ‘Lai Krathong (hari mencari kekasih). Budi sudah terpikat dengan salah seorang penari (Su Fei). Dari malam itu budi sering menemui Su Fei (lakonan Dora Arina) sehingga Dian berasa kecewa dengan sikap Budi yang sering meninggalkan dirinya. Budi kini sudah betul-betul tergila-gilakan Su Fei hinggakan Budi bersetuju bilamana Su Fei mahu mengikut Budi pulang ke Malaysia. Setiap malam Budi bermimpi yang bukan-bukan dan ketika itu juga, Mek Ani (lakonan Ruminah Sidek) menjampi serapah dari rumahnya. Bila saja terjaga dari mimpi, Budi akan dapati patung berada di sebelahnya. Budi menceritakan hal mimpi-mimpinya pada Dian, Kamal dan Hani. Mereka menyarankan Budi memulangkan semula patung itu kerana dikuatiri berpenunggu. Budi menunggu Su Fei yang berjanji mahu ikut pulang ke Malaysia tetapi Su Fei tidak muncul-muncul sehingga tiba waktu untuk berlepas pulang. Sampai di Kuala Lumpur, terkejut Budi bila mendapati patung itu masih berada di dalam beg pakaiannya. Budi mahu membawa patung itu pergi berjumpa kamal tetapi terkejut bilamana Su Fei muncul di depan pintu rumahnya. Su Fei meminta maaf kerana tidak tiba untuk pulang ke Malaysia bersama Budi. Che Yem juga ikut sama datang ke Melaysia. Che Yem terkejut bila Mek Ani juga turut ikut ke mana sahaja dia pergi. Hani mengadu pada Kamal yang dia sering terlihat patung itu berada di rumahnya tetapi Kamal tidak percaya dan menganggap dia sengaja mereka-reka cerita kerana mahu Kamal menemaninya selalu. Keesokkan harinya Kamal mendapat berita. Hani mati dalam keadaan yang tragis. Dian juga memberitahu yang patung itu sering dilihat berada di bilik dan hilang bila dilihat kali kedua. Kamal semakin tertekan dengan berita mengarut Dian. Budi menjelaskan bahawa cerita mereka adalah benar dan Budi mahu menunjukkan bahawa patung itu ada dengannya kini. Bila tiba di rumah Budi, patung itu tiada. Kamal pulang ke rumah dan terkejut melihat patung itu berada di rumahnya. Kamal berasa sangat marah dan tertekan sehingga dia mengambil patung itu dan membakarnya. Ketika itulah, satu lembaga muncul menjerut leher Kamal sehingga mati. Sejak itu, Budi sering menolak untuk berjumpa dengan Dian kerana Budi sudah mabuk cinta dengan Su Fei. Pada Dian, dia merasakan yang Budi sudah gila kerana sering bercakap sendirian. Dian kemalangan dan kereta yang di pandunya rentung terbakar. Budi yang hanyut dalam cintanya bersama Su Fei, didatangi Che Yem yang mengatakan yang Budi tidak boleh mengahwini Su Fei. Budi menjadi marah dan memaki hamun Che Yem kerana menghalang cintanya dan penyebab kepada kematian kawan-kawannya. Che Yem memberitahu yang dia membunuh kawan-kawan Budi kerana mahu mengambil roh dan di masukkan ke dalam patung itu untuk dipuja.  Dahulunya, Su Fei adalah kekasih hati Che Yem tapi cintanya dihalang oleh nenek Che Yem yang sangat kuat pegangan agamanya, melarang dia mengahwini Su Fei kerana Su Fei adalah perempuan penari. Su Fei mati dengan tidak disengajakan di tangan Che Yem menyebabkan Che Yem terlalu rasa bersalah. Lalu Che Yem memuja roh untuk menghidupkan kembali Su Fei dengan syarat dapat mengambil nyawa manusia seramai 13 orang dan dipuja pada patung itu.

penunggu

PENUNGGU BAYANG

Pada satu malam, rumah Arman diceroboh masuk oleh seseorang. Sedar dengan keadaan itu, Arman membawa anaknya Akif dan Yana keluar dari rumahnya. Semasa dalam perjalanan untuk menyelamatkan diri, penceroboh rumah Arman itu tak disangka mengekori kereta Arman dan menyerang mengakibatkan kemalangan. Arman membawa anak-anaknya lari dan tiba disatu bangsal dimana kemudian Arman dibunuh.  Lima tahun kemudian anak-anak Arman ditemui oleh sekumpulan remaja dan adik Arman iaitu Ariff, mengambil hak penjagaan Akif dan Yana. Fyda iaitu isteri Arman tidak suka dengan kehadiran Akif dan Yana namun hanya menuruti kerana mahu merampas harta yang diwarisi anak anak Arman. Fyda mengambil keputusan untuk mengambil orang gaji iaitu Yati. Sejak dari awal Yati sering memarahi dan bertindak kasar terhadap Akif dan Yana. Sejak dari itu, Yati mula mengalami kejadian pelik apabila ada satu kelibat manusia cuba untuk mencederakannya tetapi Ariff dan Fyda tidak pernah menjumpai bukti bahawa ada orang lain selain mereka dalam rumah itu. Pada satu malam, Yati diserang dan terus dimasukkan ke hospital apabila ditemui cedera diluar rumah oleh Fyda. Fyda yang semakin curiga dengan apa yang berlaku mula menyelongkar bilik Akif dan Yana dan menjumpai lukisan pelik dan juga lebihan makanan dalam almari bilik mereka. Fyda merakam penemuannya itu dan diberikan pada Ariff. Apa yang ditemui Ariff amat mengejutkan kerana Fyda berjaya merakam kelibat wanita didalam rumahnya yang akhirnya merungkai wanita itu adalah Hanim, isteri abangnya yang dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana masalah mental. Fyda cuba mengugut Akif dan Yana supaya tidak berbuat apa apa yang boleh menjejaskan keluarga Ariff tetapi Hanim akhirnya menyerang Fyda. Ariff yang cuba untuk menyelamatkan FYda juga turut diserang oleh Hanim. Hanim kemudiannya membawa semula Akif dan Yana ke bangsal ditempat Akif dan Yana membesar selama 5 tahun itu .

racunm

RACUN MENANTU

Setelah selamat diijabkabulkan, Zain (lakonan Helmi Moin) membawa isterinya Sara (lakonan Sharifah Sakinah) pulang ke rumah dan tinggal bersama Pak Dolah(lakonan Zaidi Omar) iaitu bapa kepada Zain. Kehadiran Sara ke rumah itu membuatkan Pak Dolah terkejut akan kecantikan yang dimiliki oleh Sara sama seperti seseorang dia pernah kenal satu masa dulu. Gerak laku Sara juga seolah sengaja membuatkan Pak Dolah semakin menyimpan perasaan lain terhadap Sara. Dan hatinya mula berdetik seolah mahu memiliki Sara. Secara diam-diam, Sara benar-benar menggoda Pak Dolah tanpa pengetahuan Zain. Namun Sara sering mengadu sebaliknya pada Zain, dan Sara sering menceritakan keburukan Pak Dolah seolah Pak Dolah yang seakan mahu melakukan perkara tak elok padanya, namun Zain tidak mahu percaya. Sara semakin berani, dan di kampung itu Sara mula menunjukkan belangnya yang sebenar, di mana sebenarnya dia adalah bekas pelacur yang terpaksa kahwin dengan Zain ketika mereka ditangkap basah. Dan Sara yang berjanji pada Zain mahu berubah, sebenarnya hanyalah menggunakan kata-kata manis dan pujuk rayu untuk membuatkan Zain percaya. Satu demi satu jejaka di kampung jatuh dalam godaan Sara. Namun mereka semua tidak pernah menyampaikan perkara tersebut kepada suami Sara, Zain kerana masing-masing gembira dengan layanan yang sentiasa Sara berikan. Kejalangan Sara semakin tersebar luas sehingga ke pengetahuan Jamilah, (lakonan Izreen Azminda)seorang janda yang pernah menjadi kekasih Zain sebelum ini. Jamilah cuba untuk memberitahu Zain tentang perkara buruk yang Sara sedang lakukan. Namun Sara mendapat tahu dan dia memanipulasi semula cerita itu dan Zain kemudiannya menyuruh Jamilah menjauhkan diri dari terus menabur fitnah. Sara yang mula berdendam dengan Jamilah, mula memasang perangkap dan menggoda Pak Dolah untuk melaksanakan perangkapnya itu. Sara memberitahu Pak Dolah, jika Pak Dolah inginkan tubuhnya, Pak Dolah mesti mengikut kata-kata Sara supaya memperkosa Jamilah. Pak Dolah yang semakin diburu nafsu, mengikut kata-kata Sara kerana menantikan habuan yang dijanjikan oleh Sara. Setelah memperkosa Jamilah, Sara memberitahu Jamilah pasti akan memberitahu orang kampung dan sebaiknya Jamilah dibunuh. Pak Dolah pada mulanya tidak tergamak untuk melakukannya namun Sara mendesak Pak Dolah kerana jika tidak keadaan akan menjadi lebih rumit dan hidup Pak Dolah akan menjadi lebih teruk. Akhirnya Pak Dolah membunuh Jamilah yang sememangnya sudah tidak berdaya untuk melawan itu. Setelah mereka menguruskan mayat Jamilah, Pak Dolah mula menuntut apa yang Sara telah janjikan. Namun Sara memberitahu dia tidak mahu Pak Dolah tergesa-gesa dan gopoh kerana dia tidak mahu Zain menghidu apa-apa perkara tentang mereka. Berita kehilangan Jamilah mula membuatkan orang kampung tertanya-tanya, namun dengan mudah Sara memberitahu Jamilah mungkin membawa diri kerana cintanya ditolak oleh Zain  Sementara itu Pak Dolah pula merasa semakin tidak sabar menanti janji Sara, apatah lagi bila terdengar perbualan jejaka-jejaka kampung yang masing-masing sudah tergoda dengan kejalangan Sara.Pak Dolah pulang dan memaksa Sara menunaikan janjinya. Sara memberitahu Pak Dolah             dia mahu Pak Dolah melakukan sesuatu dahulu sebelum itu. Pak terkejut bila mendengar Sara mahu Pak Dolah membunuh Zain kerana Sara mengatakan dia sudah benar-benar jatuh cinta pada Pak Dolah dan tidak mahu ada halangan dari Zain. Pak Dolah berkeras tidak mahu  membunuh Zain. Sara mengugutnya, jika tidak dia akan memberitahu Zain dan orang kampung bahawa Pak Dolah yang membunuh Jamilah. Pak Dolah menjadi marah dan cuba memukul Sara, tapi Sara dengan cepat menukar keadaan itu seolah-olah sebenarnya dia sengaja menjadikan keadaan itu hangat. Kata Sara, saat itu sangat sesuai untuk dia menunaikan janjinya pada Pak Dolah.  Sara mula menggoda Pak Dolah, dan Pak Dolah yang memang sedang menunggu waktu itu, dengan mudah terpedaya. Pak Dolah rebah dalam pujukan Sara, dan saat itu juga Zain pulang. Sara yang mendengar kepulangan Zain, terus menjerit meminta tolong dan berpura-pura. Zain berlari masuk dan terkejut bila melihat Sara menjerit memberitahu Pak Dolah mahu memperkosanya. Pak Dolah terkejut. Zain tanpa usul periksa telah memukul ayahnya bertubi-tubi sehingga Pak Dolah separuh nyawa.  Kemudian Zain menghampiri Sara dan meminta maaf kerana tidak pernah mahu mendengar aduan Sara sebelum ini. Ketika itu juga tiba-tiba perut Zain ditusuk benda tajam, Sara menikam Zain dengan sekuat hati menggunakan pisau sambil tersenyum. Sara menghampiri Pak Dolah pula lalu memijak muka Pak Dolah. Sara membongkar rahsia tentang 7 tahun yang lalu di mana Pak Dolah telah menculiknya dan menjualnya ke sempadan Thailand untuk dijadikan pelacur. Dan dia juga yang sebenarnya memerangkap Zain untuk dikahwinkan supaya dapat bertemu dengan Pak Dolah dan membalas dendam yang terpendam. Sara menusukkan pisau itu bertubi-tubi ke dada Pak Dolah. Dan ketika itu juga suara orang kampung datang ke arah rumah mereka. Lantas untuk mengelirukan suasana, Sara menghiris kaki dan tangannya sehingga luka, kemudian berpura-pura menangis meminta tolong. Dia memberitahu orang kampung, Pak Dolah telah membunuh Zain kerana Zain cuba menyelamatkan Sara dari diperkosa oleh ayah mertuanya sendiri. Sara akhirnya berpindah keluar dari kampung itu tanpa siapa pun yang mengetahui kisah sebenar. Dan dia muncul di kampung lain, bertemu dengan seorang lelaki lain lalu tersenyum sendiri, merancang sebuah perjalanan hidup baru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *