(HIBURAN) LELAKI BERUSIA PILIHAN HATI IZARA AISHAH? – Ikuti kisah percintaan dua insan dalam ‘Cinta Masam Manis’ mulai 26 September!

 cinta-masam-manis

 

Petaling Jaya, 26 September 2016 – “Tiada lelaki lain dah ke?” Mungkin itulah salah satu soalan yang orang ramai tertanya-tanya apabila wanita muda bercinta dengan lelaki yang lebih berusia. Sudah semestinya terdapat pihak yang memandang serong terhadap pasangan seperti ini.  Namun, cinta tanpa syarat tidak akan mengenal usia. Bagaimana jika cinta antara mereka itu adalah benar?

Menyusuli drama ‘Lara Terindah’ di slot Akasia, sebuah drama bersiri romantik baharu berjudul ‘Cinta Masam Manis’ menampilkan barisan pelakon seperti Zamarul Hisham, Izara Aishah, Shah Jaszle, Raja Ilya dan Wan Nur Azlin yang akan mula bersiaran di kaca televisyen pada 26 September 2016, pukul 6.58 petang, khas buat para penonton setia TV3!

Drama bersiri 24 episod ini mengisahkan cinta antara seorang duda berusia 40-an bernama Johan (Zamarul Hisham), dan Sarah (Izara Aishah) yang baru mencecah usia 20 tahun. Pelbagai dugaan yang harus ditempuhi untuk mengukuhkan percintaan mereka berdua.

Johan ialah seorang ahli perniagaan yang sudah bercerai dengan isterinya pada tiga tahun lepas. Walaupun demikian, dia selesa dengan hidup menduda dan membesarkan dua orang anaknya tanpa bantuan orang lain selepas bekas isterinya meninggalkan mereka untuk pergi ke luar negara.

Ibu dan bapa Johan teringin untuk menjodohkan anak mereka dengan beberapa wanita, namun Johan langsung tidak mempunyai hati untuk berkahwin semula. Sehinggalah pada suatu hari, segalanya berubah dan hati Johan terbuka untuk menerima wanita dalam hidupnya apabila dia bertemu dengan Sarah, seorang gadis jelita dan manja yang berjaya menambat hatinya.

Sarah diperkenalkan kepada anak-anak Johan dan mereka memberikan reaksi yang berbeza terhadap Sarah. Anak sulung Johan, Hanna (Sweet Farhana), membantah hubungan mereka kerana jarak usia Sarah dan Hanna hanya beza dua tahun. Selain itu, Hanna juga berprasangka buruk terhadap Sarah. Dia menganggap Sarah hanya mahukan harta ayahnya.

Hubungan Sarah dan Johan bukan menerima bantahan daripada Hanna sahaja, malahan, Faridah (Wan Nur Azlin) iaitu ibu kepada Sarah juga tidak berkenan dengan Johan kerana status dudanya. Faridah mahu anaknya untuk berkahwin dengan anak kepada kawan baiknya, Erman (Shah Jaszle).

Tidak lama kemudian, bekas isteri Johan, Tasha (Raja Ilya) pulang ke Malaysia dengan harapan untuk memenangi cinta Johan kembali setelah insaf dengan kesilapannya. Akan tetapi, dia amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa Johan sedang menjalinkan hubungan dengan Sarah.

Tasha mendapat tahu yang Faridah tidak merestui hubungan Johan dan Sarah, lalu dia mula bersekongkol dengannya untuk memutuskan hubungan mereka. Lebih menarik lagi, anak Johan sendiri bersetuju dengan cadangan ibunya untuk memisahkan Johan dan Sarah!

Pelbagai agenda telah dirancang oleh mereka untuk memusnahkan percintaan Johan dan Sarah. Mampukah mereka berdua mengatasi segala ujian yang akan datang? Adakah Hanna akan merestui hubungan ayahnya dengan Sarah?

Jangan lupa untuk mengikuti kisah cinta Johan dan Hanna dalam Cinta Masam Manis, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.58 petang di slot Akasia, TV3. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Cinta Masam Manis juga boleh disaksikan di portal video www.tonton.com.my sebelum siaran di TV3 melalui pakej tonton VIP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *