(HIBURAN) LUAHAN CINTA PUTERI POP MIA LATEEFA DALAM ‘HUJUNG DUNIA’

Penyanyi wanita remaja cantik molek dan berbakat besar yang bakal mengegarkan industri muzik tanah air tidak lama lagi, berdarah kacukan Melayu-New Zealand dan berasal dari Kuala Lumpur, Mia Lateefa Keyte atau mesra dengan panggilan Mia Lateefa melancarkan single terbaharunya berjudul ‘Hujung Dunia’, ditulis dan digubahkan oleh komposer sedang meningkat naik, Dedeq, yang menceritakan tentang cinta yang tidak bersempadan dan sejauh mana seseorang itu sanggup pergi demi memperolehnya.

Dilahirkan pada tahun 2002, kerjaya Mia Lateefa dalam industri hiburan bermula sebagai penari profesional di mana minatnya telahpun dicungkil seawal umur empat tahun lagi di mana beliau mendapat latihan profesional di sekolah tarian ballet (Dance Steps Studio) dan tarian tradisional, dan pernah membuat persembahan pentas di beberapa acara besar di dalam mahupun luar negara, beliau menambah, “Sejak dari kecil lagi Mia memang minat menari dan apabila meningkat remaja, Mia pergi menghadiri kelas vokal bagi mengasah bakat nyanyian dan kini kedua-dua bidang ini menjadi minat paling utama.

Apabila peluang merakamkan lagu Hujung Dunia datang, Mia rasakan sebagai pengenalan buat semua, lagu berkenaan cinta tidak bersempadan amatlah sesuai.

Pada mulanya, lagu Hujung Dunia diperkenalkan sebagai lagu cinta buat kekasih dan bila dihayati liriknya, Mia rasakan orang yang paling bermakna dalam hidup Mia adalah ibu kerana kasih sayang yang dicurahkannya tidak bersempadan dan beliau sentiasa memberi sokongan tidak berbelah-bagi.

Ia menceritakan tentang perhubungan Mia dengan ibu, sewaktu membesar, ketika berbuat salah dan belajar daripada kesilapan tersebut, walau bagaimana sekalipun, ibu sentiasa sayangkan Mia dan akan terus menyokong dan memberi tunjuk ajar tidak kira sejauh manapun.”

Lagu ini yang memakan masa selama dua minggu untuk disiapkan kerana jadual sekolah dan proses rakaman yang berbeza banyak mengajar Mia Lateefa, “Ia merupakan pengalaman berharga buat Mia kerana dapat mempelajari tentang pengurusan masa dan cara berdisiplin yang betul.”

Apabila ditanya daripada mana Mia Lateefa mendapat motivasi untuk menjadi anak seni, beliau mengulas, “Syukur Alhamdulillah kerana Mia dikurniakan keluarga dan teman baik yang sangat menyokong kerjaya seni Mia dan penyokong nombor satu tentulah ibu, jikalau bukan beliau semua ini pasti tidak akan terjadi dan ibu menjadi pendorong paling kuat buat Mia untuk terus maju dan lebih berusaha.

Adakalanya apabila rasa hendak putus asa, Mia akan ingat segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu dan ini menjadi pemangkin untuk Mia berusaha keras lagi untuk membuatkan ibu bangga dengan pencapaian Mia satu hari nanti.”

“Harapan Mia adalah lagu ini bakal diterima ramai dan menjadi inspirasi buat semua untuk sentiasa menyayangi ibu mereka kerana merekalah superhero yang sebenar.

Banyak yang telah mereka lakukan dan tidak mampu rasanya untuk membalas budi mereka, peluklah mereka dan ucapakanlah ungkapan cinta buat mereka kerana syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu,” tambah Mia Lateefa lagi.

Lagu ‘Hujung Dunia’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Spotify, Joox, Deezer dan Apple Music. Manakala video muzik lagu ‘Hujung Dunia’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran rasmi YouTube Universal Music MY dan lirik video akan berada di saluran rasmi YouTube Mia Lateefa Keyte pada hujung Oktober.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *