(HIBURAN) M.O.X – MISI OPERASI X – ‘Misi Menjejak Kumpulan Pengganas Antarabangsa’

Spread the love

Filem-filem yang mengisahkan tentang ejen penyiasatan agak kurang dihasilkan oleh produksi tempatan, meskipun ia antara genre yang agak digemari penonton.

Menyedari hakikat itu, syarikat produksi Wallworld Pictures Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah filem berjudul M.O.X – Misi Operasi X.

Pengarahnya, Datuk Zulkiflie M. Osman berkata, filem terbaharu arahannya itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya pernah membuat kajian tentang bencana akhir zaman yang berpunca daripada senjata rahsia ciptaan manusia.

“Kemudian ia telah memberi idea kepada saya untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kajian yang dibuat, namun menyelitkan elemen-elemen komersial,” jelasnya.

Menurut Zulkiflie, sesuatu yang menarik tentang penghasilan filem ini apabila tempoh selama hampir enam tahun hanya untuk penghasilan skrip sahaja.

Jelasnya, ia mengambil tempoh yang lama agar segala fakta dan landasan mesej yang ingin disampaikan tidak lari dari objektif sebenar, meskipun diolah kepada filem komersial.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem berkenaan seperti Ebi Kornelis, Tya Arifin, Zaidi Omar, Radhi Khalid, Shareeta Selvaraj, Adam Shahz dan ramai lagi.

Mengenai pemilihan pelakon pula, Zulkiflie menyatakan setiap pelakon dipilih berdasarkan kepada kesesuaian watak yang ditampilkan.

“Pemilihan mengikut kesesuaian watak seperti Ebi Kornalis yang mempunyai tubuh tegap, manakala Tya Arifin pula seorang penyiasat ejen dari Indonesia dan Shareeta pula adalah anak seorang profesor dari India yg berpendidikan tinggi,” ujarnya.

Setakat ini, beliau sudah mengarah sebanyak 14 buah filem seperti Mira Edora, Kekasih Awal Dan Akhir, Putera, Cinta Metropolitan, Diari Romeo dan lain-lain lagi.

Sementara itu, pelakon utamanya iaitu iaitu Ebi Kornelis yang membawakan watak Don Pedro menyatakan tiada masalah buat dirinya untuk bekerjasama dengan Zulkifli memandangkan sudah beberapa kali dia bekerja di bawah arahan pengarah berkenaan.

Ujarnya, dia pernah ditawarkan berlakon dalam sebuah filem untuk melakonkan beberapa babak, namun dia lebih tertarik untuk membintangi M.O.X kerana diberi peranan sebagai watak utama.

“Selain selesa bekerja di bawah arahan beliau, saya tertarik dengan skripnya yang menggabungkan beberapa elemen seperti aksi, penyiasatan dan patriotik.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana dapat mendapat tawaran untuk filem ini dan saya anggap ia satu peluang keemasan untuk menggembangkan lagi bakat dalam bidang lakonan,” ujarnya.

Mengenai cabaran sepanjang pembabitannya dalam filem ini, Ebi memberitahu antaranya adalah dia perlu menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh masa sebulan.

Ujarnya, untuk menjayakan watak sebagai Don Pedro, dia perlu sentiasa menjaga stamina kerana banyak melakukan babak stunt sendiri.

“Apa yang boleh saya katakan, penonton tidak akan dapat melihat karektor Ebi Kornelis sepanjang perjalanan filem ini.

“Penonton akan lihat Don Pedro iaitu seorang ejen antarabangsa hebat dari Malaysia yang akan menyelamatakan dunia daripada kehancuran dan kejahatan terancang perosak bumi,” jelasnya.

Bagi seorang lagi pelakon utamanya, Tya Arifin pula menyatakan wataknya sebagai Fifi adalah kekasih kepada Don Pedro yang juga seorang yang sangat berahsia.

Ujarnya, dia menerima untuk berlakon dalam filem ini kerana belum pernah membawakan watak sebagai seorang ejen perisik.

“Mendapat kesempatan berlakon di bawah arahan Datuk Zulkeflie M.Osman adalah peluang terbaik memandangkan beliau seorang pengarah yang cukup berpengalaman.

“Malah, beliau juga banyak memberi saya ruang untuk mengembangkan lagi watak Fifi ini dan penonton akan dapat lihat kelainan yang saya tampilkan dalam filem ini,” ujarnya.

Menurutnya, M.O.X – Misi Operasi X ini juga merupakan filem pertama lakonannya sewaktu mula-mula bertapat di Malaysia empat tahun lalu.

“Sudah tentu saya sangat teruja menantikan filem ini keluar di pawagam dan berharap agar ia mendapat sambutan daripada penonton,” ujarnya.

Filem M.O.X – Misi Operasi X akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 21 NOVEMBER 2019.

 

SINOPSIS

Ia bermula apabila ejen-ejen risikan rahsia M.O.X sebelum ini telah hilang tanpa dikesan atau terkorban gara-gara ancaman dari sebuah organisasi haram yang mengancam keselamatan dan kestabilan dunia yang menggelarkan diri mereka KFR13.

M.O.X adalah sebuah badan yang diketuai oleh ‘M’, manakala KFR13 pula diketuai oleh Komander Moshie yang menjalankan aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan pertubuhan pengganas antarabangsa yang berpangkalan di Alaska dan sering melakukan pelbagai ancaman kepada kestabilan dunia. Beroperasi secara rahsia yang lengkap dengan makmal penyelidikan dan peralatan senjata pemusnah yang canggih.

Semasa melaksanakan misi rahsia di Filipina, Don Pedro telah berjaya menyelamatkan seorang penuntut Malaysia iaitu Martias yang berjaya menggodam maklumat perancangan KFR13 dan formula senjata mereka. Semenjak itu, ejen-ejen KFR13 sering mengekori Don Pedro untuk menghapuskan bukti dan cubaan membunuhnya sehingga ke beberapa negara termasuk Thailand, Malaysia, India dan Alaska.

Apakah yang akan terjadi seterusnya, jangan lupa saksikan filem M.O.X – Misi Operasi X yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 NOVEMBER 2019.

BARISAN PELAKON M.O.X

Ebi Kornelis                                        : Don Pedro

Tya Arifin                                            : Fifi

Shareeta Selvaraj                            : Zeera

Wan Adi Rafuan Datuk Rashid   : Martias

Dato Jaafri Omar                              : Komander Moshi

Adam Shahz                                       : Jefro

Zaidi Omar                                          : Mr. M

Salim Saifuddin                                                : Mr. Tippu

Bibi Aziah                                            : Sarra

Janathan Pithawadian                   : Surash

Yank Kassim                                       : Rajhni Khan

Radhi Khalid                                      : Profesor Q


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *