(HIBURAN) MESEJ KEKELUARGAAN AJAK BUAT SUAMI ISTERI MENERUSI ‘GING GANG GULI’

Pelawak, pengacara serta pelakon serba boleh berbakat besar yang berasal dari Kluang, Johor dan merupakan naib juara program televisyen realiti terbitan Astro yang popular iaitu Maharaja Lawak Mega 2017, Mohd Hanaffi Razak, 32, atau lebih dikenali dengan nama Ajak muncul dengan single terbaharu yang bakal mewarnai industri muzik tanahair. Walaupun sedang sibuk mempersiapkan diri untuk final Bintang Bersama Bintang, Ajak sempat menghasilkan single ‘Ging Gang Guli’ hasil ciptaan penyanyi serta komposer disegani, Hafiz Hamidun.

Pengacara Melodi 2018 bersama pelakon terkenal Janna Nick yang memulakan kariernya sebagai pelawak setelah menjuarai Raja Lawak Musim Ke-6 pada tahun 2012 ini terdahulu telahpun melancarkan single ‘Sampai Langit’ (OST filem ‘Rempit Sampai Langit) bersama Usop Mentor pada bulan Oktober tahun lepas.

“Syukur Alhamdulillah kerana pembuka tahun 2018 ini saya diberikan rezeki yang meluas dan kesihatan yang baik untuk terus bernafas dan berbakti pada industri hiburan Malaysia.

Pihak pengurusan saya dan saudara Hafiz Hamidun telah berbincang dan kami bersepakat untuk berkolaborasi dalam sebuah single berjudul ‘Ging Gang Guli’ yang merupakan lagu rakyat antarabangsa terkenal suatu masa dahulu tetapi telah diberikan nafas baharu.

Lagu ini merupakan lagu wajib pengakap alam persekolahan pada zaman kanak-kanak dahulu yang sangat mengimbau kenangan lalu dan sering dinyanyikan sewaktu jamboree.

Saya juga diberikan kepercayaan oleh Hafiz untuk menulis sendiri bait-bait lirik lagu ini dan saya mengambil pendekatan berunsur nasihat kekeluargaan di antara suami isteri melalui pengalaman saya sebagai ketua keluarga.

Kami mengambil masa selama sehari untuk melakukan proses rakaman single ini kerana sudah wujud chemistry sejak awal lagi di antara kami dan mudah bekerjasama dengan Hafiz kerana beliau sangat profesional dan tahu apa yang beliau mahukan.

Saya harap penggemar muzik di luar sana tidak kira umur mahupun latar belakang akan terhibur dengan buah tangan terbaru daripada saya ini,” jelas Ajak.

Menurut Hafiz Hamidun, selaku komposer dan penerbit,

“Saya percaya, untuk menjadi seorang penghibur yang bagus, seseorang itu perlu versatile dalam pelbagai bidang dan bagi saya Ajak mempunyai pakej yang lengkap kerana kebolehan beliau untuk menyanyi dengan baik disamping elemen humor yang ada pada beliau bagi menghidupkan lagi lagu ini.

Saya mahukan lagu yang kedengaran santai dan mudah terhibur oleh sesiapa sahaja dan walaupun berunsur komedi tetapi mempunyai nilai moral didalamnya, bak kata orang, berhibur sambil bernasihat.

Karakter ajak yang bersahaja dan mudah didekati sangat sesuai dengan lagu ini dan saya berharap agar lagu ini dapat pergi jauh sekaligus meletakkan Ajak sebagai penghibur pada kelasnya yang tersendiri.”

Lagu ‘Ging Gang Guli’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Ging Gang Guli’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *