(HIBURAN) Nadeera & Mar Berjaya Ke Pusingan Separuh Akhir VOKAL 2

Spread the love

SELAMAT TINGGAL BELLA & FATIN 

Shah Alam, 6 Disember 2012 – Selepas hampir 2 bulan bertarung di pentas VOKAL 2, akhirnya Bella dan Fatin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan seperjuangannya, Nadeera dan Mar.  Konsert mingguan VOKAL 2 yang berlangsung pada hari Rabu yang lalu menyaksikan 4 finalis wanita, Nadeera, Mar, Bella dan Fatin berentap untuk merebut tiket ke pusingan separuh akhir.

Bermula dengan 11 finalis yang berjaya melepasi pusingan ‘blind audition’, kini hanya tinggal Nadeera, Mar, Uchop, Yus, Abang dan Adli yang masih kekal bertanding dalam VOKAL 2 untuk merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 100,000! Siapakah yang bakal menyertai Nadeera dan Mar di pusingan separuh akhir nanti? Saksikan pusingan battle 4 finalis lelaki pada minggu hadapan.

 

Bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam, VOKAL…Bukan Sekadar Rupa musim ke-2, konsert VOKAL 2 minggu ketujuh dimulakan dengan persembahan daripada Nadeera, finalis yang berjaya menduduki tangga paling atas pada minggu lalu dengan lagu stacy,’Pelangi Senja’. Seterusnya, Fatin pula menyusul dengan lagu ‘Ilusi’, nyayian asal oleh Adira. Tampil sebagai peserta ketiga, Mar mempersembahkan sebuah lagu Inggeris ‘You Know I’m No Good’ yang dicipta sepenuhnya dan dinyanyikan oleh mendiang Amy Winehouse. Bella pula mempertaruhkan lagu ‘Laksamana Raja Di Laut’ bagi membuktikan kemampuannya untuk terus kekal dalam VOKAL 2.

 

Seperti minggu-minggu yang sebelumnya, peserta yang akan disingkirkan ditentukan oleh juri tetap VOKAL 2 selepas mengharungi pusingan ‘battle’. Kali ini, 3 finalis yang mendapat markah paling rendah mempersembahkan lagu Shila Amzah ‘Patah Seribu’ dalam usaha merebut peluang terakhir mara ke pusingan separuh akhir.

 

Penerbit VOKAL musim kedua, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata, “Secara keseluruhan, para finalis telah menunjukkan prestasi yang memuaskan. Namun, mereka tidak harus leka dan perlu fokus dalam pertandingan ini kerana persaingan semakin sengit dan masa semakin suntuk untuk merebut peluang ke peringkat akhir. Malam ini adalah sangat penting bagi kumpulan wanita untuk menunjukkan bakat sebenar sebelum ditemukan dengan 2 finalis lelaki yang berjaya di peringkat separuh akhir. Bagi peserta yang gagal ke pusingan seterusnya, jangan berputus asa dalam memburu impian untuk bergelar seorang penghibur.”

 

Bagi musim kedua ini, VOKAL menampilkan penyampai radio popular, Faizal Ismail sebagai pengacara program dan ‘Rutin Vokal’. Tenaga pengajar VOKAL seperti Azmeer dan Mas Idayu akan terus kekal sebagai Penasihat Vokal dan persembahan, Fidie Sani selaku Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan dan Profesor Izzi Haji Ali bertindak sebagai  Penasihat Motivasi.

 

Di samping itu, penonton juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat peserta VOKAL 2 menerusi RUTIN VOKAL yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Rabu pada jam 6.00 petang. Menerusi ‘Rutin Vokal’ penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang terjadi ketika mereka menghadiri kelas vokal yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas VOKAL.

 

VOKAL masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50% daripada juri profesional dan 50% melalui undian SMS. Untuk yang mengundi hanya perlu menaip VOKAL/VOKAL5 <jarak> nama peserta dan hantar ke 33399. Setiap SMS dikenakan caj sebanyak 50sen.  Juara VOKAL musim kedua akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000. Program realiti VOKAL musim ini juga memberi peluang buat mereka yang terlepas peluang menyertai program nyanyian ini dengan menyertai peraduan ‘JUARA VOKAL ONLINE’. Penyertaan yang dibuka kepada semua ini hanya memerlukan mereka menghantar URL video nyanyian mereka kepada laman sesawang rasmi VOKAL. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai peraduan ini, sila melayari laman sesawang rasmi VOKAL di www.tv3.com.my/vokal2 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

 

Jangan lupa untuk membuat temu janji anda besama Vokal..Bukan Sekadar Rupa musim kedua yang diterajui oleh Penerbit Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) dan Penerbit Eksekutif Muhamad Sufian Isa setiap hari Rabu, jam 9.30 malam hingga 10.30 malam. Bagi peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang  hadir beramai-ramai ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menyokong peserta-peserta kegemaran anda.

Penonton yang terlepas menyaksikan Vokal..Bukan Sekadar Rupa boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter @ TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *