Baru sahaja muncul dengan pengumuman bakal menghadiahkan para peminat dengan showcase istimew yang bakal berlangsung pada 19 September ini, Noryn beri lagi satu hadiah jiwa buat para peminat yang selama ini memberi sokongan yang bukan sedikit terhadap perjalanan kariernya.
Untuk kali ini, sesudah lama tidak mengeluarkan cendera hati berbentuk cendera hati yang berentak moderate dan rancak, Noryn muncul dengan lagu yang berjudul Kaki Kiriku. Mendengar judul sahaja sudah berasa pelik, apatah lagi mendengar lagu yang dicipta oleh Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng, manakala lirik oleh Reza Salleh. Kali terakhir, Noryn pernah muncul dengan single bertajuk Kertas, sebuah balada yang cukup menyentuh perasaan.
Sebuah Jazz Joget Revival yang meraikan bahasa, budaya dan feminitinya
Penyanyi jazz tersohor Noryn Aziz menganggap Kaki Kiriku merupakan sebuah karya segar yang menggabungkan elemen jazz klasik, joget tradisional dan sentuhan Parisian jazz.
“Single ini bukan sekadar lagu, tetapi sebuah misi kecil untuk mengangkat keindahan Bahasa Melayu dan warisan budaya melalui muzik,” ujar Noryn tentang lagu yang diterbitkan oleh Moonshine Productions dan dihasilkan sepenuhnya oleh Hin Ee Jeng. Noryn Aziz sendiri bertindak sebagai Eksekutif Produser, memastikan setiap perincian seiring dengan visinya.
Barisan pemuzik berbakat turut menjayakan karya ini:
- Drums: KJ
- Double Bass: Che Wan
- Gitar: Hady Afro
- Clarinet: Farid Izwan
Rakaman instrumen, adunan dan mastering dilakukan oleh Rozhan Razman di RMP Productions, manakala vokal Noryn dirakam oleh Yee Xing di Little Bad Music MY.
Elemen Istimewa – Tongue Twister Melayu
Bagi Noryn sendiri selaku penyanyi lagu “Kaki Kiriku” , ia membawa kelainan dengan penggunaan tongue twister Melayu yang terkenal:
“Kakakku kata kuku kakiku kaku,
Ku kikis kikis kuku kaki kiriku…”
“Ramai yang tersasul bila cuba lirik ni — dan memang itu yang saya mahu! Dalam Kaki Kiriku, permainan lidah ini bukan sekadar hiburan, tapi penghargaan kepada keindahan Bahasa Melayu. Saya mahu generasi baru tahu bahawa bahasa kita bukan beban, sebaliknya ia menyeronokkan, penuh jenaka dan ritma,” terang Noryn tentang keindahan single terbaru kali ini.
“Elemen ini bukan sahaja menambah keunikan, malah menjadikan lagu ini mudah diingati, catchy dan mesra khalayak,” tambahnya,
Simbol Kebaya dalam Muzik Video serta Konsep Album
Muzik video “Kaki Kiriku” yang diarahkan oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin. Dalam video ini, Noryn tampil anggun dengan kebaya daripada Collaborate Store, Four Season & Calvin Thoo.
Bagi Noryn, kebaya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang warisan, keanggunan dan kekuatan wanita Melayu. Ia melengkapkan konsep lagu yang meraikan identiti dan budaya Malaysia.
“Kaki Kiriku” menjadi sebahagian daripada konsep album Noryn yang menampilkan gabungan unik:
- Joget + Jazz Fusion + Parisian Jazz
- Vintage meets Modern Soul
- Timeless Malaysian Rhythm with Old Jazz Energy
- Feminine, Sensual & Authentic
Terang Noryn, “Kaki Kiriku bukan sekadar lagu. Ia adalah perayaan — bahasa, budaya, dan warisan kita. Bila lidah anda tersasul cuba sebut liriknya, itu tandanya lidah kita masih hidup dan terus belajar. Saya mahu anak-anak kita tahu, bahasa Melayu itu menyeronokkan. Dan dengan muzik, ia boleh terus bergema, segar dan relevan.
Kredit Muzik Video
- Artist: Noryn Aziz
- Producer: Revo
- Assistant Producer: Abram
- Creative Director: Patt Ibrahim
- Technical: Karl
- Choreographer: Napi
- Dancers: 4 penari + 3 featuring
- Manager: Suraya
- Musical Manager (A&R): Aszuad
- Make Up Artist: Deqsha
- Wardrobe: Fifi
This Is Noryn Aziz Showcase
Noryn Aziz bersedia untuk memikat penonton dengan persembahan muzik intimate yang bertajuk “This Is Noryn Aziz”, berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL yang ikonik, Kuala Lumpur.
Acara satu malam ini menjanjikan pengalaman yang sangat peribadi dan bertenaga kerana Noryn menghimpunkan kekayaan jazz, jiwa dan R&B, digabungkan dengan unsur muzik dan budaya Malaysia yang tulen. Persembahan itu akan menyerlahkan keseniannya sepanjang beberapa dekad — daripada klasik terkenal hingga gubahan segar seperti keluaran terbarunya “Kaki Kiriku”.
“Ini lebih daripada sebuah konsert — ia adalah kisah saya melalui muzik. Satu penghormatan kepada cinta, pertumbuhan, warisan dan segala-galanya yang menjadikan saya seperti saya hari ini,” kata Noryn Aziz.
Berlatarkan suasana yang elegan, This Is Noryn Aziz juga akan menampilkan pemuzik secara langsung, penceritaan intim, dan estetika visual yang dipilih susun yang diilhamkan oleh glamor abadi dan identiti Malaysia moden.
Menambah keunikan persembahan ini, This Is Noryn Aziz bukan sekadar konsert muzik biasa — ia sebuah naratif visual dan emosi yang menggambarkan siapa Noryn Aziz sebagai seniman. Persembahan dibahagikan kepada dua babak utama.
Babak pertama adalah Jazz & Soul yang akan menampilkan lagu-lagu karya original dari album Fantasi Realiti, Alam Maya hingga karya yang terbaru beliau yang berjudul jangan Bukan-bukanKaki Kiriku dan Syurga Sempurna.
Babak kedua pula iaitu meraikan sisi R&B Celebration akan menampilkan seleksi persembahan berunsur R&B kontemporari serta kolaborasi Noryn brrsama penyanyi undangan.
Setiap babak dirancang secara sinematik dan artistik untuk membawa penonton masuk ke dalam kisah muzik dan identiti beliau.
Menurut Noryn dengan konsep yang diketengahkan menerusi This Is Noryn Aziz yang akan berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, peminat dapat melihat persembahan yang diberikan adalah cerminan diri beliau. Sementelah Noryn melahirkan projek ini kerana keinginan membawa muzik jazz keluar daripada rumah yan dianggap asing atau eksklusif.
“”This is Noryn Aziz” bukan sekadar persembahan muzik. Ia adalah cerminan siapa saya — sebagai seorang penyanyi, wanita, dan anak Malaysia.
“Projek ini lahir daripada keinginan saya untuk membawa jazz keluar daripada ruang yang dianggap ‘asing’ atau ‘eksklusif’, dan menjadikannya sesuatu yang hidup, dekat, dan penuh rasa — sebahagian daripada lanskap bunyi Malaysia. Saya mahu jazz itu berbunyi seperti kita: dengan bahasa kita, ritma kita, dan jiwa kita.
Noryn turut menyifatkan This Is Noryn Aziz sebagai sebuah perjalanan emosi dan budaya bagi dirinya selain mahu membuka jalan kepada generasi baharu khususnya pemuzik jazz tempatan agar tidak takut berkarya meski genre ini dianggap ‘asing’.
Untuk tidak melepaskan peluang hadir dan berada dalam suasana intim, menikmati alunan muzik indah dan menjiwai hangatnya perjalanan karier seorang Noryn Aziz, jangan sampai terlepas ‘berperang’ tiket eksklusif This Is Noryn Aziz yang cukup terhad.
Hanya 500 tempat duduk untuk dimiliki oleh peminat yang benar-benar ingin menikmati Noryn daripada segenap segi dan tidak pernah jemu mendukung karier seni Noryn sejak dahulu sehingga kini.
INFORMASI
ARTIS: NORYN AZIZ
ACARA: THIS IS NORYN AZIZ SHOWCASE – A ONE NIGHT JOURNEY OF TIMELESS MUSIC AND SOULFUL CELEBRATION
LOKASI: AUDITORIUM DBKL, MENARA DBKL 1, JALAN RAJA LAUT, KUALA LUMPUR TARIKH: JUMAAT, 19 SEPTEMBER 2025
MASA : 8:00PM (Pintu dibuka pada 7:00PM)
Tentang Noryn Aziz
Dikenali sebagai salah satu suara jazz terkemuka tanah air, Noryn Aziz telah memikat hati peminat dengan vokalnya yang penuh jiwa dan keaslian. Dengan pengalaman luas di pentas tempatan dan antarabangsa, Noryn terus konsisten memperjuangkan muzik berkualiti sambil meraikan keindahan warisan budaya.

