(HIBURAN) PAK NGAH BERPUAS HATI DENGAN PEMILIHAN #JUARAIRAMAMALAYSIA

 peserta-top-6-juarairamamalaysia

Petaling Jaya, 8 November 2016 – Konsert Pengenalan Irama Malaysia 3 Juara telah berlangsung malam kelmarin secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Enam orang peserta Genre Irama Malaysia telah dipilih oleh Pak Ngah untuk terus bertanding di dalam rancangan realiti 3 Juara. Manakala, dua peserta yang tidak terpilih, Hidayah dan Mursalin menamatkan perjuangan mereka dalam rancangan realiti ini.

Menurut Produser Genre Irama Malaysia, Pak Ngah, “Pak Ngah telah menjanjikan sesuatu yang luar biasa dalam kumpulan peserta genre Irama Malaysia ini, dan Pak Ngah akan kotakannya. Sungguhpun untuk menguasai lenggok dan patah lagu Irama Malaysia ini bukan sesuatu yang mudah, malam ini kita telah saksikan bakat mereka yang mempunyai roh yang tersendiri. Bertepatan dengan slogan 3 Juara, ‘Kesinambungan Legasi Muzik’, Pak Ngah percaya bahawa peserta-peserta Irama Malaysia 3 Juara ini mampu menyambung legasi muzik Irama Malaysia tanah air.”

Konsert Pengenalan Irama Malaysia malam kelmarin telah bermula dengan persembahan pembukaan oleh Ratu Irama Malaysia Noraniza Idris dengan lagu ‘Hati Kama’, sebuah karya ciptaan Pak Ngah. Tamatnya persembahan itu, tiga pengacara Ammar, Mira Filzah, dan Issey Fazlisham mengambil alih pentas untuk mempersembahkan kelapan-lapan persembahan peserta genre Irama Malaysia mengikut giliran berikut:

NAMA PESERTA NAMA LAGU PENYANYI ASAL
ZAYANI LAKSAMANA RAJA DI LAUT IYETH BUSTAMI
NURA NIRMALA DATO’ SITI NURHALIZA
AZIZUL DANAU RAJA IYETH BUSTAMI
TYKA KUDA HITAM HETTY KOES ENDANG
RAHMAN SALSABILA YASIN
HAZRA LAILA CANGGUNG IYETH BUSTAMI
MURSALIN SYAIR LAILA MAJNUN RAMLI SARIP
HIDAYAH BALQIS DATO SITI NURHALIZA

Para penonton telah dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Amelina dalam sebuah persembahan istimewa dengan lagu ‘Rindu dan Asyik’ antara Rahman dan Hazra. Konsert malam itu akhirnya ditutup dengan persembahan lagu ‘Dikir Puteri’ oleh Noraniza Idris bersama keenam-enam peserta genre Irama Malaysia 3 Juara.

Program 3 Juara ini merupakan sebuah program realiti nyanyian yang mempertaruhkan tiga kategori (genre) muzik iaitu Rock, Balada, dan Irama Malaysia. Setiap kategori itu diwakili oleh seorang produser ternama tanah air, Pak Ngah (Irama Malaysia), Edrie Hasim (Rock), dan Ajai (Balada). Tujuan utama rancangan ini diperkenalkan adalah untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis kategori-kategori yang dipertandingkan serta mengangkat martabat kategori-kategori kegemaran rakyat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Pertandingan program realiti ini berformat sistem liga, di mana setiap peserta akan berentap bersama pasangan dalam kategori yang sama di satu pentas setiap minggu demi memungut mata daripada undian penonton, juri tetap dan produser daripada kategori masing-masing. Contohnya, kesemua peserta dari kategori Rock akan berentap pada malam konsert battle bermula Ahad, 13 November 2016 ini nanti secara berpasangan. Penonton, juri dan produser diberikan kuasa untuk memberi 1 markah bagi setiap persembahan battle, dan para peserta berkemungkinan akan mendapat dua atau tiga mata (2-1 atau 3-0) untuk pusingan minggu itu.

Pengumpulan mata ini akan berterusan tanpa penyingkiran selama 5 minggu sebelum Konsert Separuh Akhir 3 Juara kelak. Format yang sama turut diaplikasikan kepada kategori Irama Malaysia dan Balada pada minggu yang sama. Ini bermakna, kesemua peserta ketiga-tiga kategori akan berentap dalam satu konsert setiap minggu demi mengumpul mata dan merebut sejumlah hadiah wang tunai daripada RM300,000.

Seperti yang telah diumumkan di Konsert Pengenalan Irama Malaysia kelmarin, pasangan genre yang akan berentap sesama mereka adalah seperti berikut:

BALADA ROCK IRAMA MALAYSIA
SALMAH lawan AQEEM KUDIEN lawan AYIEN TYKA lawan RAHMAN
AZUMI lawan HADY EVA MARIA lawan ARUL NURA lawan HAZRA
EEZA lawan APPRIL ARILL lawan INDRA ZAYANI lawan AZIZUL

 Program realiti yang ditaja bersama oleh Ribena ini, diterajui oleh Penerbit Eksekutif, saudara Muhamad Sufian Che Isa ini turut memperkenalkan tiga ikon kategori sebagai juri tetap. Mereka adalah Noraniza Idris (Irama Malaysia), Awie (Rock), dan Dato’ Rossa (Balada).

Para penonton dijemput untuk memeriahkan fenomena 3 Juara di alam maya dengan mengundi peserta kegemaran secara atas talian di laman web www.tv3.com.my/3juara/undi ketika peserta kegemaran mereka membuat persembahan secara langsung. Undian para penonton akan diambil kira dalam pengumpulan mata mingguan demi menyelamatkan mereka daripada penyingkiran di minggu penyingkiran kelak. Para penonton juga dialu-alukan untuk merancakkan perbualan di laman Twitter melalui hashtag #3juara. Para penyokong genre kegemaran juga dialukan untuk menggunakan hashtag genre tersebut iaitu #juararock untuk genre Rock, #juarabalada untuk genre Balada, dan #juarairamamalaysia untuk genre Irama Malaysia.

Jom saksikan Konsert Battle 3 Juara pada Ahad ini, 13 November secara langsung pada jam 9 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Ikuti juga setiap latihan dan persediaan para peserta 3 Juara di belakang tabir dalam Nota 3 Juara setiap hari Ahad, pada jam 6 petang. Untuk maklumat lanjut anda boleh layari laman web www.tv3.com.my/3juara dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *