(HIBURAN) Persis Pertaruh Single Terbaru ‘Mimpi’

27 Julai 2017, Kuala Lumpur – Sony Music dengan kerjasama Red Box Karaoke telah mengadakan majlis pelancaran single terbaru “Mimpi” nyanyian Persis yang bertempat di Red Box Karaoke The Gardens Mall, Mid Valley City. Kumpulan rock tanahair multi-talented yang pernah tercalon top 5 dalam Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) AIM 21 pada tahun 2014, Persis muncul dengan single terbaru berjudul ‘Mimpi’ ciptaan ahli kumpulan itu sendiri iaitu saudara Khairul Nizam Idris setelah beberapa tahun menyepi.
Kumpulan yang sinonim dengan genre modern dan progressive rock ini dianggotai lima jiwa pemuzik tegar berpengalaman besar iaitu Khairul Nizam Idris (vokal), Mohamad Izwan Talhah (gitar), Wan Zulfizrin Mohd. Zin (gitar), Rajwan Juni (drum) dan Nor Zahari Zakaria (bass).
‘Mimpi’ merupakan sebuah lagu bergenre modern rock yang merupakan trademark Persis sejak pertama kali diperkenalkan. Alunan muzik yang tidak begitu ‘keras’ dan sedap didengar merupakan intipati utama dan bakal menggamit halwa telinga penggemar muzik rock tempatan.
Lagu ini berkisar mengenai luahan jiwa seseorang yang harus akur dengan perpisahan dan terpaksa menerima takdir bahawa kekasihnya telah menemui cinta lain. Walaupun perit untuk menerima hakikat, cintanya terhadap bekas kekasih tetap utuh dan hanya mampu melihat kebahagiaan orang tersayang dari jauh dan kadang-kadang terasa seakan-akan ‘Mimpi’.
“Pasti ramai di luar sana yang pernah kecewa dan putus cinta, akan tetapi terus mahukan bekas kekasihnya bahagia di samping cinta barunya. Saya terjemahkan perasaan itu dalam single ini kerana apa yang kita semua lalui dapat mematangkan diri tentang kehidupan dan belajar untuk memperbaiki diri. Tak salah untuk rasa sedih dan “move on” selepas itu kerana masing-masing ada cerita tersendiri dan apabila ia berlalu, ia terasa bagai ‘Mimpi’,” ujar Khairul Nizam.
Pihak Sony Music Entertainment Malaysia yakin bahawa dengan terlahirnya single terbaru ini dapat mengubati rindu peminat Persis yang tertunggu-tunggu buah tangan terbaru kumpulan ini serta memberitahu peminat di luar sana bahawa Persis masih lagi bertapak di persada muzik Malaysia dengan teguhnya.
Menurut ketua kumpulan ini, Nor Zahari terasa bagai dilahirkan semula dengan kemunculan single ini.
“Saya berasa amat bersyukur dan terasa hidup kembali dengan ‘Mimpi’ setelah lama kami menyepi tanpa lagu baru. Walaupun begitu, kami masih aktif membuat persembahan di sana sini dan terus berkarya kerana passion terhadap bidang seni yang mendalam,” jelasnya.
Versi karaoke lagu ‘Mimpi’ ini boleh didapati secara eksklusif di semua cawangan Red Box dan Green Box Karaoke. ‘Mimpi’ boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.
Dengarkan single terbaru Persis ‘Mimpi’ ilham oleh Khairul Nizam Idris di saluran radio tempatan anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *