(HIBURAN) POKÉMON THE MOVIE: KISAH DUA SAHABAT LUAR BIASA

Spread the love

PETALING JAYA – Bagi meraikan ulangtahun ke-20 siri kegemaran ramai, Pokémon, Primeworks Studios dan Monsta, sebuah anak syarikat di bawah syarikat  animasi terkenal, Animonsta Studios telah bekerjasama untuk mengembalikan memori nostalgik filem ini di layar perak Malaysia. Sebuah tayangan perdana telah diadakan buat para tetamu dan rakan-rakan media di MBO Starling Mall, Damansara Utama pada 2 Disember 2017.

Majlis yang meriah itu diceriakan lagi oleh kehadiran peminat-peminat tegar Pokémon yang teruja untuk berjumpa dengan Pikachu. Maskot Pikachu turut dibawa bagi memeriahkan majlis tayangan perdana itu dengan tarian Pikachu yang digemari para peminat.

“Ini adalah ulangtahun ke-20 Pokémon, dan filem yang istimewa ‘Pokémon The Movie: I Choose You!’ ini diperbaharui daripada generasi pertama dengan konteks yang baharu, supaya ia boleh ditonton oleh semua golongan penonton dan tidak terhad kepada peminat tegar yang telah mengikuti perkembangan Pokémon sejak 20 tahun lalu. Kami berharap filem ini bakal menjadi kegemaran semua penonton termasuk keluarga, rakan-rakan dan pasangan,” ujar Susumu Fukunaga, selaku Pegawai Korporat bagi The Pokémon Company.

‘Pokemon The Movie: I Choose You!’ merupakan kerjasama kedua di antara Animonsta Studios dan Primeworks Studios selepas Boboiboy The Movie yang telah berjaya mengutip berjuta keuntungan dan sangat digemari rakyat Malaysia. Filem yang sangat dinantinantikan ini dibawa ke Malaysia, di samping Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand untuk ditonton oleh seluruh golongan masyarakat.

‘Pokémon The Movie: I Choose You!’ menceritakan kisah sebelum terjalinnya persahabatan di antara Ash dan Pikachu. Segalanya bermula di sebuah dunia yang didiami oleh makhluk berkuasa yang misteri yang digelar Pocket Monsters, atau Pokémon. Sekian lama, manusia dan Pokémon telah berinteraksi, berkawan dan berlawan di antara satu sama lain di dalam perlawanan yang diadakan. Di sebuah pekan kecil di Pallet Town yang terletak di daerah Kanto, seorang trainer yang berumur 10 tahun bernama Ash Ketchum bercita-cita untuk menjadi Pokémon Trainer dan mengembara ke seluruh dunia dan menjulang gelaran ‘Pokémon Master’. Tetapi disebabkan oleh kelewatan beliau untuk mengambil Pokémon pertamanya daripada seorang profesor di pekan itu, Ash bertemu dengan Pikachu yang sangat susah untuk dilatih. Hidup Ash sebagai Pokémon Trainer yang penuh suka dan duka bermula. Ash perlu menjalin hubungan yang baik dengan Pikachu dan bersama-sama menyungkil rahsia yang terpendam di dalam dunia yang mereka diami.

Pada hari pertama mereka mengembara bersama, Ash dan Pikachu mula bersahabat dan mempercayai satu sama lain. Sedang mereka seronok mengenali antara satu sama lain, mereka menyaksikan Pokémon lagenda bernama Ho-Oh terbang di atas mereka. Sejak itu, mereka berjanji untuk mencari Ho-Oh dan mereka meneruskan pengembaraan penuh memori itu bersama rakan yang baru ditemui, Sorrel dan Verity. Ash meneruskan impiannya untuk menjadi Pokémon Master bersama-sama Pikachu.

‘Pokémon The Movie: I Choose You!’ bakal menemui anda di pawagam terpilih seluruh Malaysia bermula 7 Disember 2017. Untuk info lanjut mengenai filem ini, layari laman Facebook Primeworks Studios (www.facebook.com/primeworksstudios) atau laman Facebook rasmi Pokemon Malaysia (www.facebook.com/PokemonMalaysia).


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *