(HIBURAN) POOVAA LANCAR SINGLE MELAYU PERTAMA ‘KARYA’

Pernah dipuji oleh penyanyi lagenda antarabangsa, Michael Bolton, kerana bersuara emas dan mempunyai bakat muzik yang kuat terutamanya dalam bidang nyanyian, Poovaa, bukanlah seorang pendatang baru dan telah pun berkecimpung dalam industri muzik Malaysia sejak sedekad yang lalu. Kini, mempertaruhkan bakat nyanyian dan nasib untuk menembusi pasaran tempatan, beliau kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Karya’ yang telah dicipta dan digubahkan khas oleh komposer terkemuka negara seperti Omar K, Shazee Ishak dan Firdaus Ishak.

Bercerita mengenai single terbaru, Poovaa berkata, Karya menceritakan tentang sebuah kisah cinta yang di mana permulaannya semua indah belaka tanpa sebarang persengketaan kemudian berakhir dengan kesedihan.

Setiap daripada kita ingin mengecapi kebahagiaan akan tetapi banyak permasalahan yang berlaku, ketidakbahagiaan yang berpanjangan tanpa persefahaman akhirnya menjurus kepada perpisahan.

Akan tetapi, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya di mana kita harus kuat untuk meneruskan kehidupan dan hari-hari mendatang, semoga ia menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan tanpa menoleh kebelakang lagi.”

“Setelah hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni suara, saya akhirnya beranikan diri untuk menghasilkan single Melayu pertama bagi menembusi pasaran tempatan dan Karya merupakan percaturan saya dalam mengembangkan bakat yang sedia ada,” kata beliau lagi.

Pemenang VIMA Awards pada tahun 2013 dan 2014 ini turut menjelaskan, “Saya memang meminati bidang muzik sejak dari kecil lagi, dan seawal umur 7 tahun saya mula menghadiri kelas piano dan sudah mula berjinak-jinak dalam penghasilan lirik dan melodi.

Hanya setelah beberapa tahun lalu baru saya mula menceburi bidang muzik secara profesional dan kini hampir sedekad, banyak yang telah saya lalui dan pelbagai pengalaman yang saya timba, dan saya rasakan sudah cukup bersedia untuk melebarkan sayap ke peringkat seterusnya.”

Album pertama dalam Bahasa Inggeris yang berjudul ‘Ticket To Faketown’ melonjakkan nama Poovaa di mana beliau memenangi kategori Artis Baru Terbaik di AIM 2014 dan nama Poovaa mula dikenali ramai.

“Saya berharap agar masyarakat Malaysia dapat menerima Karya dengan hati terbuka dan memberi peluang kepada saya untuk meneruskan kerjaya nyanyian pada masa akan datang, dan dengan pertolongan dari pihak pengurusan Joe PRC International, saya yakin percaturan ini bakal membuahkan hasil,” tambah Poovaa.

Lagu ‘Karya’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer bermula 30 Oktober 2020. Manakala video muzik lagu ‘Karya’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube I am Poovaa pada hari yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *