(HIBURAN) RAIKAN KESYUKURAN AIDIL ADHA DI TV3

Logo Ceritaku

Petaling Jaya, 30 September 2014 – Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha yang bakal disambut pada 5 Oktober 2014 (Ahad) bersamaan dengan 11 Zulhijjah 1435H, TV3 menyajikan program-program istimewa yang penuh dengan pengisian dan penghayatan untuk dikongsi dengan para penonton bermula 4 hingga 6 Oktober 2014 termasuk dua program majalah dokumentari istimewa iaitu Ceritaku dan Selangkah Haji serta tiga telefilem baharu seperti Acu, Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Ini Harta Haji Nana Yang Punya.

 

Berikut ialah senarai program yang akan disiarkan:

Shrek Forever After, 4 Oktober 2014 (Sabtu), 11.30 pagi – 1.30 tengahari

Shrek yang sudah bosan dengan rutin hariannya mahu menjadi ogre yang sebenar semula. Namun, dia terperangkap dengan muslihat Rumpelstiltskin dimana perjanjian yang dibuatnya untuk mendapat satu hari kebebasan telah menukar takdir Far Far Away. Rumpelstiltskin telah menjadi Raja, ogre diburu malah Shrek dan Fiona belum pernah bertemu lagi. Pelbagai cabaran yang perlu diharungi oleh Shrek untuk kembali ke kehidupan normalnya dan mengalahkan Rumpelstiltskin.

Pelakon: Mike Myers, Cameron Diaz, Eddie Murphy, Antonio Banderas

Panggung Sabtu: Jodi No. 1, 4 Oktober 2014 (Sabtu), 2.00 petang – 5.00 petang

Jai dan Veeru ialah kawan baik dan juga rakan jenayah yang membawa gelaran ‘Jodi No. 1’. Mereka akan berkawan dengan mangsa dahulu sebelum menipu duitnya. Suatu hari, mereka terpaksa melarikan diri dari Bombay selepas terlibat dalam satu kes jenayah. Mereka terjumpa dengan Vikram Jeet yang sedang dalam perjalanan untuk berkerja sebagai seorang pengurus di kilang Rai Bahadur, seorang yang kaya raya di Goa. Jadi, Jai telah menyamar sebagai Vikram Jeet dan pindah ke rumah Rai Bahadur bersama Veeru. Mereka mulakan rancangan untuk merompak harta Rai Bahadur. Namun, kedua-duanya jatuh cinta dengan anak perempuan Rai. Jadi, mereka berdua telah berubah fikiran dan mahu membantu keluarga ini daripada muslihat Sir John. Pelbagai kejadian lucu telah berlaku. Apakah bakal berlaku selepas Rai mengetahui identiti sebenar Jai dan Veeru?

Pelakon: Sanjay Dutt, Govinda, Rajat Bedi, Aashid Sheikh, Anupam Kher, Twinkle Khanna

Cerekarama: Acu, 4 Oktober 2014 (Sabtu) 10.00 malam – 12.00 tengah malam

Mengisahkan tentang Acu yang berusia 7 tahun, anak bongsu kepada Dahlan dan Hawa mula bersikap manja terhadap bapanya selepas Dahlan dan Hawa menerima berita baik untuk mengerjakan haji. Acu akan merengek jika Dahlan tidak memberi perhatian kepadanya. Hana menjadi rimas dan hairan dengan perubahan sikap anaknya. Namun, selepas Dahlan dan Hawa berangkat ke Mekah, Acu kembali menjadi normal. Rupa-rupanya, ada sebab atas perubahan sikap Acu.

Pelakon: adik Puteri Balqis, Arash Mohammad, Elly Suriaty, Fimie Don, Mimi Ernida

Malaysia Hari Ini Istimewa Aidil Adha, 5 Oktober 2014 (Ahad), 8.00 pagi – 10.00 pagi

Istimewa buat sambutan Aidil Adha, Malaysia Hari Ini (MHI) akan mengadakan lintas langsung dari Masjid Negara. Di studio MHI, ikuti temubual Ustaz Dr. Mohammmad Izhar Ariff yang akan membincangkan topik-topik berkaitan dengan korban dan haji. Selain itu, Ahmad Fedtri Yahya juga akan berkongsi suasana sambutan Hari Raya Aidil Adha di Mekah menerusi perbualan telefon. Saksikan juga persembahan Qasidah yang akan memeriahkan studio MHI.

Hos: Saiful Nizam Ismail, Syazwani Diyana, Hazlin Hussain.

Nona Istimewa Aidil Adha, 5 Oktober 2014 (Ahad), 2.00 petang – 3.00 petang

Ikuti temuramah artis-artis Malaysia seperti Ziana Zain dan Datin Sri Umie Aida yang akan berkongsi kehidupan mereka selepas berhijab dalam segmen Realiti. Menerusi segmen Sembang – sembang, Nona telah menemuramah Ustazah Asni, ibu kepada Muhammad Adam iaitu rakyat Malaysia pertama yang diberikan peluang untuk melaungkan azan di Masjid Al-Aqsa, Palestin.

Kerana Terpaksa Aku Relakan, 5 Oktober 2014 (Ahad), 3.00 petang – 5.00 petang

Bagi penonton setia TV3 yang amat meminati drama bersiri Kerana Terpaksa Aku Relakan, pasti tertanya-tanya siapakah ibu kandung kepada Indah Harlina? Apakah yang bakal berlaku selepas Indah dipertemukan dengan ibu kandungnya, Katerina yang sedang menjalani hukuman penjara? Apakah hubungan antara Datuk Safiyyah dengan Katerina? Segalanya bakal terjawab dalam telefilem istimewa ini.

Pelakon: Amar Baharin, Izreen Azminda, Dian P. Ramlee.

 

Ceritaku, 5 Oktober 2014 (Ahad), 10.30 malam – 11.00 malam

Ceritaku membawa penonton mengimbas kembali dua kisah benar yang menyayat hati iaitu ’Tragedi MH 17 –  pramugari Hamfazlin Sham Mohamed Arifin’ dan ’kanak-kanak pesakit Leukimia – Muhammad Baim Zainuddin Mohd. Masdar’. Allahyarham Hamfazlin Sham Mohamed Ariffin bertugas sebagai pramugari pesawat MH 17. Harapan penumpang dan anak kapal MH 17 untuk kembali ke bumi Malaysia tidak kesampaian apabila pesawat tersebut terhempas dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur akibat ditembak jatuh di timur Ukraine.

Semangat berjuang Allahyarham adik Muhammad Baim untuk melawan penyakit Leukimia hingga ke saat akhir menjadikan beliau sebagai contoh kepada insan lain yang juga menderita atas penyakit tersebut. Selain itu, adik Baim yang berjiwa kental juga sentiasa menjadi penghibur kepada orang di sekelilingnya.  Dua kisah ini diolahkan mengikut kronologi dan dibantu dengan babak lakonan semula. Keluarga dan kenalan rapat mangsa yang ditemubual akan berkongsi perasaan, luahan hati, dan kisah yang dialami oleh mangsa.

Selangkah Haji, 5 Oktober 2014 (Ahad), 11.00 malam – 11.30 malam

Selangkah Haji yang diterajui oleh Ahmad Fedtri Yahya dan juru kamera, Anuar Samsudin memaparkan detik-detik persiapan 30 jemaah Haji sebelum berangkat ke Mekah. Program 30 Jemaah Haji merupakan inisiatif TV3 dalam menyambut ulang tahun stesen yang ke-30 untuk merealisasikan impian mereka mengerjakan ibadah Haji bersama pasangan masing-masing. Lebih unik, program ini juga merupakan kerjasama antara TV3 dan Lembaga Tabung Haji. Saksikan kriteria pemilihan 30 jemaah Haji dan apakah cabaran yang perlu ditempuhi bagi melancarkan perjalanan mereka?

Hak, 6 Oktober 2014 (Isnin), 9.30 pagi – 11.30 pagi

Wanda bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tetapi sering pulang lewat malam sehingga mengabaikan pelajarannya. Ketika sedang bertegang urat dengan kakaknya, Wanda dia pengsan. Mereka sekeluarga terkejut apabila mendapati Wanda hamil dua bulan dan tidak dapat mengenal pasti siapa bapa kepada bayinya. Wanda terpaksa berhenti sekolah. Malah selepas kejadian itu ayahnya diserang strok dan lumpuh. Kakak sulung dan beberapa teman Wanda memujuknya supaya menggugurkan kandungan tersebut. Wanda menolak. Selepas Wanda melahirkan seorang bayi lelaki, bayi tersebut telah diberikan kepada keluarga angkat melalui Jabatan Khidmat Masyarakat. Wanda marah dan tidak bersetuju. Wanda cuba menjejaki keluarga angkat tersebut. Wanda telah ‘menculik’ anaknya dan lari ke Kuala Lumpur. Wanda akan membuat apa sahaja untuk mendapatkan haknya sebagai seorang ibu,

Pelakon: Sara Ali, Amar Asyraf, Watie Sadali, Erry Putra

Dari Pintu Neraka, 6 Oktober 2014 (Isnin), 2.00 petang – 4.00 petang

Kamal berasal dari keluarga yang miskin tetapi dia seorang yang angkuh. Dia sering terlibat dengan aktiviti gengster, vandalisme dan juga kes jenayah. Keluarga Kamal sudah puas memberi nasihat supaya dia berubah tetapi gagal. Satu hari, Kamal telah pecah rumah dan membunuh tuan rumah itu. Dia panik lalu melarikan diri dari rumah. Setelah Kamal dipenjarakan, ibunya tidak jemu datang melawatnya. Apakah Kamal akan insaf dan memahami pengorbanan ibunya?

Pelakon: Amar Asyraf, Syafiq Kyle, Nad Zainal, Sheila Rusly, Shakila Khoriri

Majalah 3 Istimewa Aidil Adha, 6 Oktober 2014 (Isnin), 9.00 malam – 10.00 malam

Istimewa buat Aidil Adha, saksikan topik-topik menarik di Majalah 3 (M3)  seperti ‘Salam Dari Selatan Thai’, ‘Keretapi Mekah’ dan ‘ Gelombang Kecemasan’. Salam Dari Selatan Thai mengisahkan perubahan kehidupan masyarakat Islam di Selatan Thai setelah sekian lama bergolak. Keretapi Mekah pula memaparkan 63 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  yang terpilih untuk berkhidmat dengan Al Mashaaer Al Mugaddasseh Southern Line, penyedia pengangkutan tren khas antara Arafah dan Mina yang diperkenalkan sejak musim haji tahun 2010.

Risiko terputus hubungan atau komunikasi ketika bencana boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Oleh itu, sekumpulan penggiat radio amatur membuat persediaan untuk menghadapi situasi sebegini dengan menjalankan latihan khusus untuk mewujudkan kembali perkhidmatan komunikasi menggunakan kaedah khusus. Saksikan paparan menarik Gelombang Kecemasan dalam Majalah 3.

Ini Harta Haji Nana Yang Punya, 6 Oktober 2014 (Isnin), 10.00 malam – 12.00 tengah malam

Pak Nana seorang yang kaya tetapi sangat kedekut. Pak Nana tidak pernah membayar zakat mahupun cukai pendapatan. Isterinya, Cik Com sering memujuknya untuk mengerjakan haji tetapi Pak Nana mengambil kesempatan untuk meminta izin berkahwin lagi. Akhirnya, Pak Nana dan Cik Com berangkat ke Mekah. Anak-anak Pak Nana iaitu Saripah dan Owais membantunya menguruskan harta dan juga perniagaan sewaktu Pak Nana tiada. Saripah telah menggunakan sebahagian duit tersebut untuk membayar zakat dan menderma manakala Owais pula melakukan pembaziran. Tanpa disedari, Owais juga tertipu dengan Shaik Maidin dan kawan baiknya, Subhan. Apakah reaksi Pak Nana selepas dia kembali dari Tanah Suci?

Pelakon: Farouk Hussein, Sheila Mambo, Nazim Othman, Ayda Jebat, Ben Amir, Sariyanti, Shahnon.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *