(HIBURAN) SAM NUHAIR TERUS BANGKIT DAN MELANGKAH PENUH YAKIN DENGAN ‘RODA’

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2018 – Penyanyi wanita kecil molek bersuara lantang yang berasal dari Perak dan merupakan pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim ke-11 dan Artis Raku Terbaik, Syamila Nuhair Zainordi, 25, atau lebih dikenali dengan nama Sam Nuhair muncul dengan single terbaharu yang bakal mewarnai industri muzik tanahair. Walaupun sedang sibuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara, Sam masih sempat menghasilkan single ‘Roda’ ciptaan komposer terkenal negara, Hafiz Hamidun.

Penyanyi lagu ‘Kau Menjauh’ ini memulakan kerjaya sebagai penyanyi setelah berakhirnya Akademi Fantasia musim ke-11 tersebut dan kehebatan vokal yang ditonjolkan Sam dari minggu ke minggu hingga ke final sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Perjalanan kerjaya sebagai anak seni sememangnya penuh dengan ranjau, pengalaman lalu sedikit sebanyak telah mendewasakan Sam dan beliau tidak patah semangat lalu bangkit dan terus melangkah kehadapan.

“Syukur Alhamdulillah kerana masih diberikan kekuatan untuk terus berkarya di dalam industri muzik tanah air dan dengan bantuan daripada pihak pengurusan Joe PRC International membuatkan saya lebih yakin untuk mengatur langkah yang sewajarnya.

Single ‘Roda’ ini mempunyai maksud yang tersendiri kerana setiap dari kita pernah mengalami masalah dalam kehidupan seperti percintaan contohnya dan adakalanya ia datang kembali ibarat ‘roda’ yang berputar.

Proses rakaman single ‘Roda’ mengambil masa selama sehari untuk disiapkan dan banyak pengalaman yang saya timba sewaktu bekerjasama dengan saudara Hafiz Hamidun kerana tunjuk ajar yang diberikan serta feel yang diperlukan dalam menyampaikan ‘Roda’ supaya kedengaran telus dan menusuk ke jiwa.

Saya juga sangat berterima kasih dengan kesudian saudara Hafiz Hamidun untuk menciptakan lagu ini khas buat saya dan tanpa bantuan daripada pihak pengurusan Joe PRC International ‘Roda’ tidak akan wujud.

Harapan saya terhadap single terbaharu ini agar peminat saya di luar sana dan penggemar muzik amnya dapat menerimanya dan terus menyokong kerjaya saya sebagai penyanyi,” jelas Sam.

Menurut Hafiz Hmaidun, selaku komposer dan penerbit,

“Saya nampak bakat yang dimiliki Sam sejak zaman Akademi Fantasia lagi kerana kemampuan vokal yang dimilikinya dan saya fikir beliau perlu terus berada di dalam bidang ini.

Saya mendapat inspirasi mencipta lagu ini setelah melakukan homework dan ia merupakan tafsiran saya dalam lagu mengenai suara hati seorang wanita yang sering berhadapan dengan pelbagai dugaan yang adakalanya datang balik ibarat sebuah roda.

Sam mempunyai bakat yang besar dalam bidang seni suara dan rugi rasanya jika ia dibiarkan begitu sahaja. Walaupun Sam lahir dari program realiti TV yang terkenal itu bukanlah bermaksud beliau boleh selesa dan tidak bekerja keras kerana industri ini sangat pantas kitarannya – you come one day, the next day you are gone.

Saya Nampak kesungguhan Sam dan jika beliau teruskan dengan sikap positif begini, beliau mampu pergi jauh.

Harapan saya agar penggemar muzik di luar sana dapat menerima nukilan saya ini dengan hati terbuka kerana ia lari dari genre yang biasa saya hasilkan.”

Lagu ‘Roda’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu ‘Roda’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *