(HIBURAN) TABIR ZULAIKHA – CINTA TASHA SHILLA DIKHIANATI!

Poster Tabir Zulaikha

Kerana Cinta Aku Berjanji, Kerana Janji Aku Berkorban”. Menyusuli ZAHIRA, slot Samarinda di TV3 mempersembahkan drama bersiri baharu, TABIR ZULAIKHA terbitan Creative Skill Solution yang menggandingkan pelakon-pelakon popular tanah air iaitu Tasha Shilla,  Aiman Hakim Ridza, Aidil Aziz dan Shah Jaszle bermula 28 Januari 2015, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam.

 Tabir Zulaikha (2)

Drama bersiri 18 episod arahan Kas Rohan dan nukilan skrip oleh Nieza Nahar memaparkan perjalanan hidup dan kisah cinta Ain Zulaikha (Tasha Shilla), anak tunggal kepada Zamrin (Ramli Salleh) dan Musalmah (Mak Wan) yang berkerja di rumah Datuk Aziz (Dato’ Jalaluddin Hassan). Datuk Aziz dan isterinya, Datin Wan Rozita (Emma Akma) tidak pernah memandang rendah atas status mereka malahan Zulaikha diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di kolej seperti anak Datin Wan Rozita, Feroz (Aidil Aziz) dan juga anak angkat Datuk Aziz, Adami Akhil (Aiman Hakim Ridza).

Zulaikha membesar menjadi seorang gadis yang cantik, bijak dan berpegang teguh kepada pendiriannya. Zulaikha juga berbakat dalam memain biola. Feroz cemburu melihat keakraban Zulaikha dan Adami. Dia berniat mahu menyingkirkan Zulaikha kerana sejak kecil, Datuk Aziz lebih sayangkan Zulaikha berbanding dirinya, walaupun dia anak Wan Rozita, isteri Datuk Aziz sendiri.

Zulaikha semakin sayang kepada Adami dan membuat keputusan untuk meluahkan rasa hatinya. Zulaikha terkejut apabila ibu bapanya telah menyampaikan wasiat Datin Wan Rozita supaya mengahwinkan Zulaikha dengan Datuk Aziz. Zamrin dan Musalmah merayu Zulaikha agar menerima Datuk Aziz sebagai suaminya kerana itu ialah cara terbaik untuk membalas budi mereka. Akhirnya, Zulaikha bersetuju selepas Adami Akhil berbohong bahawa dia tidak pernah mencintai Zulaikha.

Datuk Aziz sedar bahawa Zulaikha tidak rela dan tidak mencintainya. Walaupun begitu, Datuk Aziz tetap menjaga Zulaikha dengan penuh kasih sayang dan telah mewasiatkan semua harta dan syarikatnya kepada Zulaikha. Tindakan Datuk Aziz mengundang kemarahan Feroz kerana dia rasa Zulaikha telah merampas haknya. Jadi, Feroz telah mengupah Ammar (Shah Jaszle) untuk memerangkap Zulaikha.

Apakah yang bakal terjadi kepada Zulaikha? Berjayakah Zulaikha menyelamatkan syarikat Datuk Aziz daripada jatuh ke tangan Feroz? Bagaimana pula dengan kesudahan cinta antara Zulaikha dan Adami? Saksikan episod Tabir Zulaikha seterusnya menerusi slot Samarinda pada setiap Rabu dan Khamis, jam 10.00 malam hanya di TV3!

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri Tabir Zulaikha boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *