(HIBURAN) Tayangan Perdana Filem Hantu Air

Spread the love

5 Sept 2012 – Tayangan Gala Perdana filem Hantu Air arahan Murali Abdullah telah berlangsung di GSC One Utama. Filem terbitan Multimedia Entertainment Sdn Bhd ini membariskan barisan pelakon baru dan lama dan diterajui oleh tiga pelakon utama iaitu pemenang Anugerah Bintang Popular  2003 Saiful Apek, serta Juara Anak Wayang Astro iaitu Hairi Safwan disamping heroin mereka Nisha  Dirr. Filem ini juga membariskan barisan pelakon pembantu seperti Azwan Ali dan Hamdan.

Sinopsis Hantu Air

Disebabkan kecuaian, botol yang mengurung roh jahat, telah jatuh ke dalam sebuah tasik di sebuah resort percutian. Selepas kejadian itu, resort yang diuruskan oleh MAWAR itu mula mengalami bermacam-macam kejadian yang pelik dan mengerikan. Hal ini dirumitkan lagi dengan kedatangan tetamu-tetamu resort itu yang seolah turut menyimpan rahsia mereka sendiri.

FAUZI yang baru kehilangan isteri dan anak, sampai di resort itu tanpa sebarang perancangan. Namun, selepas berkenalan dengan Mawar, timbul persahabatan di antara mereka, sehingga akhirnya, diketahui tentang masalah tekanan jiwa yang dihadapi Fauzi. Mawar cuba membantu, dan tidak dapat tidak, timbul bibit percintaan di antara mereka.

Pasangan Ramli dan Ros pula datang bersama anak-anak dengan harapan untuk bercuti. Namun, dengan gaya sombong dan berlagak, mereka dapati pakej percutian itu hanya indah khabar dari rupa sahaja.

Bagi pasangan kawan baik, Jennifer dan Alicia pula, kegemaran mereka dalam aktiviti lasak, membuatkan mereka begitu terpegun dengan keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan itu.

Pasangan Roni dan Shiela pula seolah-olah cuba menjadikan tempat terpencil itu sebagai sarang untuk memadu cinta terlarang mereka.

Walau apapun niat awal mereka, jelmaan Hantu Air di sekitar kawasan tasik itu bakal menggegarkan segala rancangan percutian mereka. Seorang demi seorang menjadi mangsa, sehingga akhirnya, mereka tiada ruang untuk mengetepikan serangan mistik itu.

Demi memastikan kepuasan tetamu, para pekerja di resort itu, antaranya, Kaduk, Ramesh dan Yassin cuba mengetepikan segala prasangka buruk, dan memastikan segala keperluan tetamu mereka di situ dipenuhi. Pun begitu, apabila berulangkali kejadian misteri menimpa, mereka sendiri takut memikirkan nasib mereka di situ.

Hal ini akhirnya memaksa pemilik resort itu untuk mendapatkan khidmat sepasang bomoh untuk menyelesaikan masalah itu. Bagaimanapun, bomoh ’celup’ yang tidak mempercayai akan kehadiran Hantu Air itu, akhirnya menerima penangan hebat selepas melihat sendiri jelmaan mistik itu.

Tanpa sebarang jalan penyelesaian, roh jahat itu semakin mengganas. Tok Moh, bomoh yang juga merupakan ayah Mawar, muncul untuk membantu. Bersama para pekerja di situ, mereka merancang untuk menangkap dan menjahanamkan entiti hitam itu sekaligus.

Mereka menghadapi masalah, apabila roh itu merosakkan semua rancangan awal mereka. Menyukarkan lagi keadaan, roh jahat itu turut mampu menukar ke watak-watak lain yang dikenali. Tiada jalan keluar, mereka semua terpaksa juga berdepan dengan kemelut itu. Sama ada mereka, atau Hantu Air itu, salah satu pihak bakal terhapus dan dihapuskan sepenuhnya pada malam kemuncak itu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *