(HIBURAN) THE UNDERCOVER – Drama bersiri terbaru seiring sambutan ulang tahun ke-15 ntv7

gmoJeffrey Cheng,Emily Tan,Aenie Wong,Adrian Tan,Ernest Chong,Freddie Wong,Karena Teo, Johnson Low

Tiada yang lebih baik daripada menghasilkan sebuah drama bersiri menarik, penuh kelainan penuh debaran, padat dengan aksi dan sarat dengan drama sempena meraikan ulang tahun ke-15 ntv7. Drama bersiri yang dimaksudkan adalah – The Undercover – yang penuh dengan kontroversi, serta siri yang bakal membawakan persoalan tentang nilai moral dan kekeluargaan serta erti kesetiaan bermula 3 Julai ini, setiap Isnin hingga Khamis, jam 9.30 malam hingga 10.30 malam di ntv7, Saluran Ceria Anda.

 UNDERcoversmall

Drama ini membariskan para pelakon yang tidak asing dalam industri seni hiburan Cina tempatan seperti Adrian Tan, Aenie Wong, Karena Teo, Ernest Chong, Alvin Wong, Johnson Low dan Emily Tan. Memainkan peranan utama adalah Adrian Tan, yang melakonkan watak sebagai pemberi informasi bernama Chong Yee. Pelakon komited itu amat menjiwai watak dan sanggup memastikan setiap babak lakonannya nampak seperti benar sehingga dia tercedera di dalam drama tersebut. Malah watak Adrian juga memerlukan dia bermain dengan konflik dalaman kerana terpaksa berada di antara watak putih dan watak hitam yang juga menyebabkan adakalanya dia kelihatan terlalu penat dan hampir pitam ketika di set penggambaran.

Selain bermain dengan kekuatan emosi, Adrian juga terpaksa lari daripada watak kebiasaannya yang sering dikaitkan sebagai pemuda yang budiman, taat dan imej positifnya sebagai seorang penghibur ataupun watak-wataknya dalam drama sebelum ini. Namun dalam The Undercover, Adrian akan membawa sisi dirinya yang lebih gelap. Memberikan yang terbaik, Adrian juga melakukan penyelidikan agar wataknya lebih hidup kerana drama ini memerlukan dia untuk mempunyai hubungan yang kuat dan serasi bersama kumpulan samseng dan terpaksa tidak menghiraukan keluarga, kawan dan teman wanitanya.

Ernest Chong pula memainkan watak samseng jalanan yang kurang berpengaruh di mana dia telah beberapa kali diselamatkan Chong Yee. Sebagai balasan Yi Feng menawarkan Chong Yee sebagai pengurus pusat urut yang dimiliki kumpulan penjenayah yang dinamakan Four Seas. Menurut Ernest, antara babak yang sukar dilakonkannya adalah watak bertarung kerana dia harus menjalani latihan intensif untuk mempersiapkan diri. Ernest juga diminta menggunakan suara yang lebih garau untuk drama itu.

Aenie Wong pula diberikan watak bernama Ada, wanita jelita yang penuh muslihat, pandai memanipulasi namun seorang gadis yang menarik. Ada juga merupakan salah seorang ahli kumpulan Four Seas. Aenie berkata bahawa dia sering mengidamkan watak wanita yang berdikari serta tidak gentar di dalam apa jua apabila menyempurnakan matlamatnya. Di dalam drama ini, Ada juga akan mempunyai watak intim bersama Adrian yang juga merupakan adegan pertama kucupannya di televisyen.

 Si jelita Karena Teo pula membawakan watak gadis kaya yang baik hati bernama Hu Lin. Aktres itu turut mengakui bahawa drama bersiri The Undercover juga telah membesarkan lagi horizon pengalaman lakonannya apatah lagi dia terbabit dengan babak diperkosa dan terpaksa meniru perangai penagih dadah. Malah Karena Teo juga terpaksa tidur di dalam keranda dalam menjayakan wataknya. Emily Tan yang memainkan watak Hui Jun pula seorang yang suka memberontak dan suka mencuba perkara baru. Dia juga jatuh cinta kepada Yi Feng dan terlibat dengan salah guna dadah.

Drama yang padat dengan aksi ini juga penuh dengan kejutan dan lebih segar berbanding drama-drama lain. Keseluruhan plot cerita berkisar tentang seeorang lelaki yang berhasrat untuk menjadi anggota polis bernama Chong Yee. Namun di saat mendengar berita kematian pak cik yang disayanginya dia mengambil keputusan untuk menyiasat kematian itu dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Penyiasatannya menyebabkan dia dibuang daripada akademi polis yang menyebabkan pertengkaran Chong Yee dan ayahnya, lakonan Alvin Wong.

Sejak itu Chong Yee semakin rapat dengan Pak Cik Quan dan anak lelakinya Yi Feng. Sehingga suatu hari dia diberitahu oleh seorang detektif bernama Mohamad yang pak cik Chong Yee merupakan salah seorang pemberi maklumat polis dan kemungkinan besar dibunuh oleh kumpulan samseng Four Seas.

Mengetahui kemungkinan pak ciknya dibunuh, Chong Yee kini lebih berazam untuk menurut jejak sebagai pemberi informasi kepada pihak polis untuk mengumpulkan maklumat dan bukti mengenai jenayah yang dilakukan kumpulan Four Seas.

Lebih buruk lagi apabila Chong Yee mendapat tahu bahawa kumpulan Four Seas menyeludup dadah dan diberikan kepada gadis-gadis di bawah jagaannya agar mereka terus menurut perintah. Watak Ada yang dilakonkan Aenie merupakan dalang penyuludupan dadah dan kerana ingin membesarkan pengaruhnya, dia telah membunuh Pak Cik Quan.

Pengurus bagi Kumpulan Pengurusan Penjenamaan ntv7, Lai Cheah Yee berkata, “The Undercover merupakan siri tempatan yang mempunyai kesemua elemen penting bagi menjayakan siri berkaitan dengan jenayah dan penyiasatan. Hasil produksi yang cukup berani ini juga menandakan bahawa stesen ntv7 sedang semakin berkembang dalam memberikan kandungan kualiti yang semakin mantap dan sentiasa memberikan yang terbaik buat para penonton kami. Dengan pelbagai mengajaran dan nilai moral yang terdapat di dalam drama ini, kami juga mengambil kesempatan ini untuk membuka mata masyarakat di luar sana yang kisah ini juga mungkin sebahagian daripada realiti kehidupan generasi muda zaman kini yang memiliki keinginan dan emosi yang kuat. Semoga drama ini dapat memberi pengajaran untuk membimbing mereka”.

 “Drama ini juga dilancarkan seiring ulang tahun ke -15 ntv7 dan kami juga ingin berterima kasih kepada rakan radio, one FM kerana menyokong drama ini. Kami juga ingin menyatakan penghargaan ntv7 kepada kesemua penonton setia kami”, tambah Cheah Yee.

Saksikan The Undercover, bermula 3 Julai, setiap Isnin hingga Khamis jam 9.30 malam di Saluran Ceria Anda, ntv7. Maklumat lanjut sila layari www.ntv7.com.my atau ikiti perkembangan terkini ntv7 menerusi akaun Facebook dan Twitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *