(HIBURAN) Vokal Bukan Sekadar Rupa – Minggu 2

Spread the love

 Shah Alam, 31 Oktober 2012 –  Vokal Jadi Taruhan!  Pada konsert VOKAL minggu pertama yang lalu, memperlihatkan dua peserta dari Kuala Lumpur iaitu Farah Nadeera Zaini, 19 tahun dan Nasuha Azhari, 20 tahun mempamerkan persembahan bertenaga seterusnya berjaya memikat perhatian juri profesional untuk melayakkan diri mereka ke pusingan seterusnya. Namun untuk minggu ini, mampukah peserta minggu kedua mengejutkan penonton dengan menandingi kehebatan persembahan peserta minggu lalu?

Musim kedua VOKAL menampilkan penyampai radio popular, Faizal Ismail sebagai pengacara program dan ‘Vokal Rutin’. Sementara itu sepanjang 10 episod, VOKAL turut menampilkan dua nama yang tidak asing lagi di dalam industri tanah air, ikon yang cukup berpengalaman dan sememangnya ‘otai’ di dalam bidang nyanyian iaitu Ziana Zain dan Dato’ Hattan sebagai ketua juri untuk program ini.

Bagi menghangatkan lagi sesi pemilihan 17 peserta yang akan berentap menerusi sesi ujibakat di sebalik tabir, 2 juri jemputan iaitu Adibah Noor dan Cikgu Siti Hajar  akan menjadi juri bersama-sama dengan juri tetap Ziana Zain selama 2 minggu pertama untuk proses penjurian peserta wanita. Manakala, 2 minggu berikutnya, Dato’ Hj. Ramli MS dan Faizal Tahir selaku juri jemputan akan menemani Dato’ Hattan dalam proses penjurian peserta lelaki. Tenaga pengajar VOKAL seperti Azmeer dan Mas Idayu akan terus kekal sebagai Penasihat Vokal dan persembahan, Fidie Sani selaku Jurulatih Kecergasan dan Kesihatan dan Profesor Izzi Haji Ali bertindak sebagai  Penasihat Motivasi.

Di samping itu, penonton juga berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat 17 peserta VOKAL menerusi VOKAL RUTIN yang akan disiarkan selama 30 minit pada setiap hari Rabu pada jam 6.00 petang. Menerusi ‘Vokal Rutin’ penonton dapat melihat gelagat peserta dan juga perkara-perkara yang terjadi ketika mereka menghadiri kelas vokal dan juga perkara-perkara yang berlaku semasa mereka membuat persiapan untuk berentap di pentas VOKAL.

Sememangnya VOKAL musim ini penuh dengan kejutan. Untuk konsert VOKAL minggu kedua, menampilkan penyanyi jemputan yang pernah memenangi Vokal Terbaik Juara Lagu 25 & 26, Hafiz dengan lagunya ‘Ku Akui’ sebagai persembahan pembuka tirai.

Konsert VOKAL minggu kedua akan merancakkan lagi persaingan apabila minggu ini lima orang peserta bakal membuat persembahan hebat untuk mencuri perhatian juri dan sekaligus melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Peserta pertama untuk konsert VOKAL minggu kedua ini yang dikenali sebagai Mar, akan cuba memukau juri dengan vokalnya yang mantap menerusi lagu ‘I Wanna Dance With Somebody’ dan peserta kedua pula Ema akan mempersembahkan lagu ‘Kisah Hati’, nyanyian asal oleh penyanyi Alyah.

Kehangatan konsert VOKAL minggu kedua diteruskan lagi dengan pelbagai kejutan yang diberikan oleh setiap peserta. Seperti peserta ketiga, Bella akan menyampaikan sebuah lagu  bertajuk ‘Cinta’ manakala peserta keempat, Fatin bakal menghiburkan penonton dengan lagu ‘Hati Ini Telah Dilukai’. Sementara itu, peserta terakhir yang akan memberi persaingan sengit untuk konsert VOKAL minggu kedua ini, Shikin akan mempertaruhkan lagu popular Agnes Monica iaitu ‘Matahari’.

Sebelum melabuhkan tirai konsert VOKAL minggu kedua,  peserta minggu ini yang layak ke pusingan ke seterusnya akan membuat persembahan dengan mendendangkan lagu tema VOKAL musim kedua yang bertajuk ‘Aksi Suara’.

Penerbit VOKAL musim kedua, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata, “Konsert VOKAL malam ini memperlihatkan kesungguhan para peserta dalam mencuri perhatian penonton dan juri. Meskipun masa yang diberi untuk membuat persiapan menjelang konsert minggu kedua ini agak terhad, namun peserta dapat mengetepikan perasaan gemuruh dan tampil dengan persembahan yang memukau. Ternyata peserta minggu ini banyak mempelajari dari persembahan peserta minggu lalu dalam menghasilkan mutu persembahan yang menarik dan mantap.”

“Pada konsert VOKAL minggu lalu kami telah memperkenalkan format imuniti kepada peserta. Pada malam ini format imuniti itu masih diteruskan dan ianya hanya akan berfungsi apabila ketua juri memberikan kepada peserta yang dirasakan layak untuk diselamatkan ke pusingan seterusnya. Walaupun format imuniti ini diperkenalkan, namun peserta diingatkan supaya jangan cepat berasa selesa dan mengharapkan bantuan imuniti itu semata-mata. Peserta harus membuat persediaan rapi kerana kesemua 17 peserta VOKAL musim ini mempunyai kualiti vokal yang mantap dan itu pasti memberikan persaingan yang amat sengit antara satu sama lain. Selain itu, VOKAL musim ini akan tampil dengan pelbagai kejutan yang tidak diduga. Maka setiap peserta harus bersedia dengan setiap kejutan yang diberikan.” tambah Ahmad Shaifullizam Arshad.

Untuk musim kedua, VOKAL masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50% daripada juri profesional dan 50% melalui undian SMS. Juara VOKAL musim kedua akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM100,000 manakala naib juara wang tunai RM30,000.

Program realiti VOKAL musim ini juga memberi peluang buat mereka yang terlepas peluang menyertai program nyanyian ini dengan menyertai peraduan ‘JUARA VOKAL ONLINE’. Penyertaan yang dibuka kepada semua ini hanya memerlukan mereka menghantar URL video nyanyian mereka kepada laman sesawang rasmi VOKAL. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai peraduan ini, sila melayari laman sesawang rasmi VOKAL di www.tv3.com.my/vokal2 untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Jangan lupa untuk membuat temu janji anda besama Vokal..Bukan Sekadar Rupa musim kedua yang diterajui oleh Penerbit Ahmad Shaifullizam Arshad dan Penerbit Eksekutif Muhamad Sufian Isa setiap hari Rabu, jam 9.30 malam hingga 10.30 malam. Bagi peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang  hadir beramai-ramai ke Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam untuk menyokong peserta-peserta kegemaran anda.

Penonton yang terlepas menyaksikan Vokal..Bukan Sekadar Rupa boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *