(HIBURAN) YUKA KHARISMA KEMBALI DENGAN ‘TERPATRI DIHATI’

Spread the love

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2022Storyteller muzikal bersuara lunak, Yuka Kharisma, kembali mempersembahkan sebuah lagi karya magisnya yang diberi judul ‘Terpatri Dihati’ hasil ciptaan bersama komposer berpengalaman dan pemuzik profesional tempatan yang merupakan suaminya sendiri, Ahmad Jeffny Kamar, dan diterbitkan oleh peneraju label hiburan tanah air, Rocketfuel Entertainment.

“Idea disebalik lagu ini datangnya dari suami saya, beliaulah yang bertanggungjawab menulis lirik dan mencipta komposisinya.

“Sudah lama saya mendambakan sebuah lagu power ballad yang bertemakan klasik, jadi apabila mendengarkan demonya buat pertama kali, hati terus terpaut,” jelas penyanyi kelahiran Aceh, Indonesia ini.

Tambah Yuka mengenai maksud single terbaharunya, “Terpatri Dihati sebenarnya menceritakan tentang kisah kesetiaan seseorang dalam perhubungan yang melampaui batas atau tidak bersempadan sehingga tidak mampu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, ibaratnya seperti seseorang yang tidak boleh move on.

Dalam kesibukan mencipta lagu buat beberapa penyanyi di Malaysia seperti rakan artis selabel, Ernie Zakri dan lain-lain, Yuka masih lagi berkesempatan menghasilkan lagunya sendiri, ujarnya, “Saya sememangnya cintakan muzik, dan muzik ciptaan saya adalah berpaksikan pengalaman sendiri dan ‘tentang rasa’ saya.

“Sebagai pengkarya, muzik adalah medium buat saya untuk mengekspresikan diri sambil menghiburkan pendengar melalui penceritaan muzikal saya.

“Saya menikmati setiap proses pembikinan muzik selain dapat belajar dan bekerjasama dengan pemuzik hebat tempatan dan juga luar negara.

Proses pembikinan single tersebut mengambil masa hampir satu bulan lamanya kerana Yuka ingin mengenengahkan gubahan instrumen yang ‘organik’ dari pemuzik-pemuzik professional tanah air, kongsinya, “Proses rakaman vokal bagi lagu ini telah dirakamkan di Studio RMP, Damansara Perdana dan betapa bahagianya saya kerana teman pencipta lagu adalah suami sendiri kerana kami serasi bekerjasama dalam penciptaan lagu mahupun ketika beraksi di pentas.

Single pada kali ini masih dalam genre pop balada yang sememangnya sinonim dengan Yuka kerana kesesuaian vokalnya dalam membawakan karya sebegini.

Bercerita mengenai video muzik (MV) Terpatri Dihati, Yuka berkata, “Jalan ceritanya adalah tentang sepasang kekasih yang saling mencintai, namun tiba-tiba lelaki tersebut menghilang tanpa berita begitu sahaja.

“Sekian masa berlalu, tiba-tiba pada suatu hari, tanpa sengaja wanita itu melihat lelaki tersebut  bahagia bersama wanita lain, dan mengapa lelaki tersebut menghilang sedangkan cinta masih ada?

“Oleh itu, nantikan kesudahan di MV-nya nanti!

Sebagaimana yang diketahui umum, Yuka memilih untuk menetap di Malaysia semenjak mendirikan rumah tangga pada tahun 2016, malah Malaysia menjadi rumah pertamanya, “Selain menemukan cinta sejati di sini, saya juga jatuh cinta pada makanan dan buah-buahan di Malaysia terutamanya buah durian! Dan pada saya buah durian di Malaysia adalah the best di rantau Asia Tenggara.

“Selain itu di Malaysia juga mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik dikunjungi seperti Melaka, Cameron Highlands, Pulau Pinang, Pulau Perhentian, Pulau Redang dan banyak lagi.

Kata Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment Malaysia, “Yuka Kharisma adalah seorang penyanyi yang gifted, dia bukan sahaja memiliki suara yang yang merdu bahkan mahir mengubah lagu.

“Kombinasi Yuka dan suaminya ternyata menghasilkan muzik yang berkualiti dan sedap didengar.

Akhiri Yuka: “Semoga peminat semua dapat merasakan serta menikmati penceritaan lagu dan MV Terpatri Dihati.

Lagu ‘Terpatri Dihati’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *