(SEMASA) 11 Pendakwah Muda Berentap Di Pentas Da’i Musim ke-4!

DAIS4HMPRINTAD

Petaling Jaya, 19 Julai 2016 – Fokus kepada golongan muda yang berkebolehan untuk berdakwah secara berhikmah, program realiti agama Da’i kembali dengan musim terbaharunya bermula 24 Julai 2016, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam. Da’i Pendakwah Nusantara yang mempunyai 12 episod membariskan 11 pendakwah muda berentap untuk gelaran juara sekaligus memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 50,000 dan sebuah trofi.

Group foto

Terbuka kepada golongan muda yang berumur antara 18 hingga 30 tahun, sesi uji bakat Da’i Pendakwah Nusantara telah diadakan di 10 lokasi institut pengajian tinggi terkemuka di serata Malaysia sepanjang bulan Mac 2016. Antaranya, Pusat Pengajian Al – Baraqah di Perak, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Negeri Sembilan.

Menurut Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, “Selepas tiga musim, Da’i Pendakwah Nusantara meneruskan usaha untuk mencungkil dan mengasah bakat pendakwah muda. Selain berpendidikan, petah bercakap dan berbakat, peserta juga perlu aktif dalam bidang akademik dan program kemasyarakatan. Da’i musim ketiga telah melakar kejayaan apabila jumlah penonton mencecah 4 juta. Malahan, lebih daripada 2 ribu penonton telah hadir dan membanjiri studio Sri Pentas 2 semasa pentas akhir Da’i musim ketiga berlangsung.”

“Kami amat terharu dengan sambutan hebat daripada penonton setia kami sekaligus menjadikan program realiti agama ini sebagai salah satu program wajib ditonton oleh seisi keluarga kerana banyak ilmu dan kebaikan yang telah dikongsikan oleh para peserta,” jelas Sherina lagi.

Da’i Pendakwah Nusantara dicergaskan oleh Almas Beauty & Health… Penghulu Segala Produk selaku penaja utama. Yang Berbahagia Datin Maziah Haji Mohamed, Pengasas Almas Beauty & Health berkata, “Saya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Da’i Pendakwah Nusantara yang berkonsep Islamik dalam melahirkan pendakwah-pendakwah muda nusantara yang berkaliber. Program ini membuka peluang kepada pendakwah-pendakwah muda ini untuk membuktikan kemampuan dalam perjalanan bergelar pendakwah nusantara. Kami berharap agar para peserta mampu menjadi ikon di luar sana dan menjadi pendakwah yang disegani. Program Da’i ini pastinya tidak dapat dijayakan dengan sempurna tanpa pembabitan mereka.”

Bermula 31 Julai 2016, Da’i Pendakwah Nusantara ini akan bersiaran secara langsung dari studio Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Para peserta perlu menyampaikan tazkirah selama 3 minit mengikut topik yang telah ditetapkan secara berhikmah dengan gaya tersendiri dan penampilan menarik.

Barisan peserta Da'i Pendakwah Nusantara

11 peserta yang berentap dalam musim baharu ini ialah Da’i Saiful (Mohamad Saiful bin Marzuki, 18 tahun, Pulau Pinang), Da’i Niezal (Mohd Sufwan Niezal bin Sabri, 19 tahun, Terengganu), Da’i Azrin (Azrin bin Md Isa, 20 tahun, Perak), Da’i Nasrul (Muhammad Nasrul Nizam bin Zamry, 20 tahun, Kelantan), Da’i Syed (Syed Shah Iqmal bin Syed Mohd Shaiful Jamalullail, 21 tahun, Perlis), Da’i Aini (Wan Nuraini binti Wan Rosdi, 21 tahun, Johor), Da’i Aishah (Siti Nor Aishah binti Che Hassan, 21 tahun, Kelantan), Da’i Ahmed (Ahmed Ibrahim bin Ahmad, 23 tahun, Selangor), Da’i Irfan (Mohd Nourul Irfan bin Niamat, 25 tahun, Kedah), Da’i Daeng (Muhammad Amiruddin bin Junaidi, 26 tahun, Johor), dan Da’i Hazman (Mohd Hazman Yani bin Ahmad, 29 tahun, Kedah).

Sidang produksi Da’i Pendakwah Nusantara diketuai oleh Shukri Ibrahim dari Primeworks Studios sebagai penerbit dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail selaku penerbit eksekutif. Musim baharu ini mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid (ketua mentor) yang akan memantau secara keseluruhan prestasi para peserta dan akan dibimbing oleh dua orang Murabbi (mentor) iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah. Seperti musim yang lalu, kesemua peserta ini akan dikuarantin untuk mendapat tunjuk ajar dari mentor (kelas) dan aktiviti lain.

Kesemua peserta akan dinilai secara individu oleh dua juri tetap professional iaitu Ustaz Dr. Izhar Arif dan Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud yang merangkumi 70%, 20 % daripada Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr. Robiah K. Hamzah dan 10 % daripada juri awam. Da’i Pendakwah Nusantara juga akan menampilkan tetamu istimewa dari nusantara seperti Mesir, Indonesia, dan Thailand.

Musim keempat ini masih mengekalkan Datuk Rosyam Nor sebagai pengacara dan Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail sebagai pengacara bersama. Episod pertama pada 24 Julai 2016 nanti akan memaparkan suasana sesi uji bakat dan juga sesi bootcamp bersama Datuk Ustaz Kazim Elias di Pusat Pendidikan Al Barakah Manjoi, Perak selama 12 hari bermula 12 Jun 2016 sehingga 23 Jun 2016.

Sepanjang sesi bootcamp tersebut, peserta yang terpilih telah menjalani sesi penambahbaikan dari segi penyampaian tazkirah, cara berhadapan dengan penonton serta cara untuk memberikan info atau input yang bermanfaat di dalam ceramah ataupun tazkirah.

Selepas Da’i Adibah musim pertama, Da’i Farhan musim kedua dan Da’i Hamidah musim ketiga, siapakah bakal bergelar juara pada musim keempat?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan perjalanan 11 pendakwah muda membuktikan kemampuan untuk bergelar pendakwah nusantara di TV3 bermula 24 Julai 2016, setiap hari Ahad, pukul 9.00 – 10.30 malam (siaran ulangan pada setiap hari Jumaat berikutnya pada pukul 10 pagi). Jurnal Da’i yang memaparkan aktiviti kelas bersama Murabbi (mentor) dan Mursyid, persediaan peserta serta emosi dan personaliti peserta akan disiarkan bermula 30 Julai 2016 pada setiap hari Sabtu dan Ahad, pukul  7.58 malam. Da’i Pendakwah Nusantara dimeriahkan lagi dengan rakan ukhwah iaitu stesen radio Kool FM dan rakan digital iaitu tonton.

Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari www.tv3.com.my/dai serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Gunakan hashtag #DaiTV3 untuk hangatkan lagi perbualan tentang program ini di laman sosial. Penonton juga boleh menyaksikan program ini melalui tonton di www.tonton.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *