(SEMASA) 350,000 MEMBANJIRI JOM HEBOH EDISI SYUKUR SELALU

Barisan Pelakon di Cerekarama  puas hati beramah mesra bersama peminat

Petaling Jaya, 3 Ogos 2016 – Karnival Jom Heboh yang telah berlangsung pada 30 dan 31 Julai lepas telah mendapat sambutan hangat walaupun cuaca berselang panas dan hujan pada kedua-dua hari Sabtu dan Ahad itu. 350,000 orang pengunjung telah hadir membanjiri perkarangan Bukit Jalil sepanjang dua hari waktu beroperasi, 10 pagi hingga 9 malam.

Ekoran daripada lokasi pertamanya di Pekan, Pahang akhir April lalu, siri penjelajahan Karnival Jom Heboh 2016 telah bertandang di Perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan edisi Syukur Selalu. Bersempena akhir bulan Syawal, Karnival Jom Heboh ini telah menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama para pengunjung bersempena penutup kempen Syukur Selalu.

Di Karnival Jom Heboh Bukit Jalil edisi Syukur Selalu itu, para pengunjung telah berpeluang untuk bertemu barisan artis Syukur Selalu seperti Diana Amir, Zahirah Macwilson, Ustaz Fakhrul, Raja Afiq, Janna Nick, Nazrief Nazri, Janna Nick dan Reen Rahim. Barisan artis ini telah menambahkan kemeriahan setiap booth utama Karnival Jom Heboh dan menyertai aktiviti-aktiviti ­booth tersebut. Mereka telah beramah mesra dengan bermain pelbagai permainan bersama para pengunjung.

Selain itu, ekoran dari Bazar Syukur Selalu yang telah mendapat sambutan hangat, di tapak Karnival Jom Heboh itu turut diperkenalkan, Bazar Selebriti di mana artis-artis seperti Fauziah Ghous, Elfira Loy, Umie Aida, Nad Zainal, Mak Cun, Nora Danish, Fathia Latiff dan ramai lagi akan berniaga pelbagai jenis barangan seperti baju, snek ringan serta makanan di samping beramah mesra bersama para pengunjung Karnival Jom Heboh. Antara barangan hangat yang dijual ketika itu adalah ‘bedak sejuk Mak Cun’ oleh Eirma Fatimah dan ‘Dadih Hirup Aton’ oleh Balkisy Samundur Khan.

Booth Utama Karnival Jom Heboh

Karnival Jom Heboh ini tidak akan menjadi sebuah Karnival tanpa pengisian dan booth-booth hebatnya. Tersenarai dibawah adalah booth-booth stesen TV3 yang akan memeriahkan kedua-dua hari Karnival Jom Heboh.

  1. Cerekarama

Para pengunjung telah dihiburkan bersama pengacara utama booth ini, Acap dan Zee Tokan (Bintang Mencari Bintang). Bersama mereka, para pengunjung telah memenangi pelbagai hadiah eksklusif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad. Di booth Cerekarama ini juga, para peminat drama TV3 telah berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan pelakon secara eksklusif seperti Sabhi Saddi, Azrel Ismail, Ruhainies, Shah Jaszle, Niena Baharun, Balkisy Samundur Khan dan Shah Iskandar. Selain itu, tarikan utama booth ini adalah tayangan eksklusif drama-drama TV3 seperti Cerekarama: Baju Berkancing Peniti, Akasia: Sayangku Kapten Mukhriz dan Dahlia: Menantu Ting Tong. Bererti, para pengunjung booth ini ketika itu telal saksikan drama dan telefilem itu lebih awal daripada tayangan asalnya di kaca televisyen.

  1. Raudhah

 

Karnival Jom Heboh tidak mengabaikan pengisian rohani para pengunjung. Booth Raudhah ini menyajikan aktiviti-aktiviti kerohanian dan hiburan berlandaskan islamik. Para pengunjung berpeluang mengikuti pengembaraan spiritual ini bersama Da’I Izzhar dan Ustaz Safwan selaku pengacara utama booth Raudhah ini. Antara pengisian dan aktiviti-aktiviti di booth ini adalah Showcase Raudhah bersama The Rascals dan Personaliti Raudhah, Riadah Raudhah, Salam Da’i bersama Da’I Farhan, Wayang Pacak, Seni Pencak Silat oleh Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia dan Assalamualaikum Anwar bersama Hos Jejak Rasul As-Salam, Anwar Afiq.

 

  1. Selera

Booth Selera yang terkenal dalam kalangan ibu-ibu dan penggemar aktiviti memasak, menampilkan dua chef yang sememangnya handal memasak, Cef Zaidah dan Cef Anis Nabilah. Secara berganti-ganti mereka berdua telah memeriahkan booth Selera dengan resipi masakan SELERA PAGI, SELERA TENGAHARI, SELERA PETANG dan SELERA MANISAN untuk pembelajaran para pengunjung. Sesi perkongsian resipi itu turut disertai oleh Shah Tapaw yang juga tidak kurangnya handal memasak. Sepanjang kedua-dua hari di Karnival Jom Heboh ini, para pengunjung akan ditemani oleh Shah Tapaw dan Aliff Yasraff sebagai pengacara utama booth Selera dan penampilan istimewa pelakon drama Cef Ramadan, Talha Harith. Sempena penutupan Kempen Syukur Selalu kali ini, pada jam 4.30 petang hari Sabtu, booth Selera telah menganjurkan satu pertandingan memakan kuih raya di mana pemenangnya akan memenangi hadiah-hadiah eksklusif Syukur Selalu. Manakala istimewa hari Ahad pula adalah booth Selera telah mempersembahkan sesi Hero Oven @ Selera pada jam 12.30 tengah hari di mana mereka akan adakan pertandingan menghias kek.

  1. Bananana Land

Sebuah destinasi terunggul buat pengunjung cilik di Karnival Jom Heboh, Booth Bananana Land ini dilengkapi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan. Adik-adik berpeluang untuk belajar memasak resipi mudah di sudut belajar seni reka dan kreatif di sudut DIY, menyertai pertandingan mewarna, dan menyertai permainan di pentas utama. Kedua-dua hari di Karnival Jom Heboh ini, pengunjung cilik kita berpeluang untuk beramah mesra dengan Ejen Ali, LEGO Nexus dan Supersquad, serta barisan personaliti bertenaga seperti Ezzrin Loy, Nonny Nadirah, Maryam Husin, dan Riz Amin.

Turut memeriahkan booth Bananana Land ini adalah gabungan mantap dengan Wow Bag Booth yang telah mencipta fenomenanya yang tersendiri dalam menjual pelbagai cenderahati Rangkaian Televisyen (TV3, NTV7, 8TV, TV9) dengan pakej-pakej harga yang lumayan. Tambahan lagi, mereka mempunyai beberapa slot ‘Happy Hour’ untuk kedua-dua hari karnival beroperasi yang menawarkan harga durian runtuh sehingga RM10 untuk satu cenderahati.

 

  1. Gelanggang Kita Juara

Sebagai tarikan baharu pada tahun ini, Gelanggang #KitaJuara telah memeriahkan lagi atmosfera Karnival Jom heboh dengan aktiviti sukan terutama Bola Sepak dan “Street Soccer”. Tarikan utama pada hari Sabtu adalah perlawanan antara Sekumpulan Orang Gila, kru gelanggan #KitaJuara dan orang ramai. Selain itu, terdapat juga aktiviti bersama barisan artis Syukur Selalu dalam Pecah Lemak Raya #KitaJuara di mana para artis dikehendaki untuk menjaringkan gol dalam keadaan huyung-hayang setelah diputar sebanyak 12 kali. Manakala pada hari Ahad, Gelanggang #KitaJuara telah kickoff dengan perlawanan Street Soccer dua lawan dua dan diteruskan dengan sesi kuiz mengenai industri bola sepak tempatan. Sekitar jam 6 petang pula, beberapa artis telah menyertai mereka dalam pertandingan Street Soccer dua lawan dua juga sehingga tamat.

  1. Tonton

Sebuah booth yang diperbaharui turut diperkenalkan kembali pada tahun ini adalah booth Tonton. Dihoskan oleh Zack (Bintang Mencari Bintang) dan Kamal Sumbu, para pengunjung booth Tonton ini pasti tidak akan kering gusi diceriakan dengan gelagat mereka berdua. Membawa suasana santai, bersama mereka, para pengunjung akan meluangkan masa dengan bermain pelbagai jenis permainan dan memenangi pelbagai hadiah eksklusif Tonton. Disamping itu, booth Tonton ini juga menawarkan pakej-pakej menarik Tonton VIP kepada para pengunjung. Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan artis seperti Mia Ahmad, Shakilla Khoriri, dan Nadzmi Adhwa.

Konsert Jom Heboh, Bukit Jalil

Karnival Jom Heboh 2016 tetap menyediakan hiburan terunggul buat para pengunjung dengan konsert mini Jom Heboh sebagai penutup acara pada kedua-dua malam 30 dan 31 Julai 2016 di Pentas Utama Karnival Jom Heboh. Pada hari Sabtu, 30 Julai, jam 8.30 malam, para pengunjung telah dihiburkan dengan barisan penyanyi popular tanah air seperti Ippo Hafiz, Ronnie Hussin, Sakura band, Sarah Fazny, Shazrin, dan Sandra. Manakala pada hari Ahad, 31 Julai 2016, para pengunjung telah berhibur dengan Projector Band, Genji Buskers, OAG, Pesawat, dan Sekumpulan Orang Gila.

Untuk maklumat lanjut anda juga boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *