(SEMASA) 5 wanita pilihan BELLA HOPES kini diumumkan!

Spread the love

image003crop

Pencarian lima orang wanita untuk dipaparkan di dalam rancangan dokumentari istimewa Bella Hopes yang bakal bersiaran di ntv7 Mac ini, kini telah ditemui. Lima wanita itu terdiri daripada pelbagai golongan umur yang dilihat bakal menjadi inspirasi kepada pelbagai lapisan penonton yang menyaksikan rancangan dokumentari itu.

Pemilihan lima wanita itu dimulakan dengan penyertaan yang dihantar sejak November tahun lalu oleh segenap lapisan masyarakat yang mencadangkan ikon wanita pilihan mereka untuk dipaparkan di dalam rancangan dokumentari tersebut menerusi sistem di atas talian (www.ntv7.com.my/bellahopes) yang kemudiannya lima calon dipilih secara teliti untuk dipaparkan di rancangan itu.

Lima wanita tersebut adalah Puspa Rani, Pengasas Malaysia Independent Animal Rescue, New Su Shern (Projek Liber8) seorang aktivis berkaitan isu anti pemerdagangan manusia, Munirah Hamid, Pengasas PERTIWI Soup Kitchen, Diana Rose, Pengasas rumah budaya ‘Lamin Dana’ dan Choo Poh Leem seorang ahli biologi marin.

Bella Hopes yang bakal bersiaran Mac ini sempena Hari Wanita Sedunia ini merupakan rancangan dokumentari penuh inspirasi yang bakal memaparkan kisah hidup dan usaha murni setiap seorang wanita ini dalam menjayakan misi dan harapan mereka demi melakukan perubahan positif terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Bella Hopes merupakan sebuah lagi siri usaha pihak ntv7 dalam memartabatkan golongan hawa seiring dengan jenama rancangan temubual wanita terkenal saluran itu, Bella yang dihoskan oleh Daphne Iking, Elaine Daly dan Vanessa Chong. Selain itu, ntv7 juga sebelum ini pernah memperkenalkan anugerah khas berprestij buat wanita, Bella Awards serta acara himpunan terbesar ibu-ibu hamil di dalam Bella Bundle of Joy yang diiktiraf Malaysia Book of Records.

“Tahun ini kami ingin menghasilkan rancangan dokumentari tempatan khas mengenai lima wanita pilihan masyarakat yang penuh dengan aspirasi dan diharapkan mampu menyuntik inspirasi kapada para penonton kami. Kami yakin rancangan ini bakal memberikan manfaat kepada para penonton dan membuka mata mereka untuk terus menyumbang untuk perubahan yang positif,” kata Pengurus Besar Kumpulan ntv7 & 8TV, Airin Zainul.

 

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghantar dan mencadangkan penyertaan mereka di laman web rasmi Bella Hopes sehingga kami menemui wanita-wanita ini. Kami amat menghargai setiap penyertaan yang kami terima dan berharap mereka akan terus menjadi agen inspirasi kepada ramai lagi di luar sana,” tambah Airin.

Nantikan kisah-kisah wanita ini di dalam rancangan Bella Hopes yang bakal bersiaran pada Mac 2014 sebanyak 5 buah episod hanya di Saluran Ceria Anda, ntv7 (Saluran 107).

Maklumat terkini sila sertai kami di ruangan media sosial seperti berikut:

ntv7

Facebook (Urban – ntv7 │Chinese – ntv7 中文)

Twitter (@ntv7)

Instagram (Urban @ntv7 │Chinese – @ntv7chinese)

Hashtag kami dengan menggunakan #ntv7 dan ikuti perkembangan kami

Episode 1_Puspa Rani

Puspa Rani, 38 tahun merupakan seorang Pengasas dan Presiden kepada Malaysia Independent Animal Rescue (MIAR) atau Persatuan Sukarelawan Penyelamat Haiwan, sebuah organisasi tanpa keuntungan yang membela nasib haiwan terbiar. MIAR ditubuhkan sejak tahun 2011 dengan tujuan menyelamatkan haiwan yang didera terutamanya anjing. Persatuan ini percaya bahawa setiap haiwan mempunyai hanya satu peluang. Penyelamat-penyelamat sukarelawannya pula bertugas untuk menyelamat, membantu serta memulihkan anjing terbiar dan mengalami penderaan. Setiap anjing yang berjaya diselamat dan dipulihkan bersedia untuk dipelihara.

Episode 2_New Su Shern

New Su Shern, merupakan gadis berusia 21 tahun yang merupakan Pengasas dan Presiden projek yang dinamakan sebagai Liber8 iaitu sebuah pergerakan pelajar dalam memberi kesedaran tentang isu pemerdagangan manusia. Objektif organisasi ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam terutama golongan belia. Semangat dan usaha Su Shern adalah demi menghentikan kesalahan pemerdagangan manusia. Antara aktiviti yang beliau usahakan adalah dengan mengadakan kempen, ceramah dan bengkel berkaitan secara aktif dan berterusan.

Episode 3_Munirah Hamid

Munirah Hamid, merupakan Pengasas PERTIWI Soup Kitchen dan aktif sebagai pekerja social yang banyak menyumbang kepada masyarakat selama lebih 40 tahun. Projek PERTIWI Soup Kitchen diadakan untuk memberi bantuan kemanusiaan dengan menyediakan bantuan makanan kepada mereka yang tinggal bergelandangan serta golongan miskin tegar tanpa mengira bangsa dan agama. Usaha murni ini diuruskan oleh Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI).

Episode 4_Diana Rose

Diana Rose, merupakan pengasas dan orang kuat disebalik tertubuhnya “Lamin Dana” sebuah rumah tradisi Melanau di Mukah, Sarawak yang turut dijadikan sebagai kediaman dan pusat kraf dan seni persembahan Melanau. Beliau bermula dengan kumpulan tarian anak muda yang kini menjadi sebuah kumpulan kebudayaan Lamin Dana percaya bahawacara terbaik dalam memelihara dan memulihara seni warisan kebudayaan adalah dengan cara mendidik anak muda untuk mengenali dan mencintai asal usul salah silah mereka. Misi wanita ini adalah untuk memperjuangkan tradisi dan budaya Melanau yang semakin pudar di Sarawak untuk terus mekar di dalam Malaysia dan mempamerkannya di kalangan pelawat antarabangsa.

Episode 5_Choo Poh Leem

Choo Poh Leem, merupakan seorang ahli biologi marin untuk WWF (Tabung Alam Sedunia) yang bayak menghabiskan ushanya dalam memerhati kehidupan marin dan menjalankan kempen tentang kesedaran terhadap misi murninya di Pulau Mabul bagi terus menyumbang kepada alam hidupan air. Choo Poh Leem telah menyertai pasukan WWF-Malaysia’s Semporna Priority Conservation Area Team (under the Sulu-Sulawesi Marine Ecoregion – SSME Programme) selaku ahli biologi marin pada Januari 2011. Beliau memiliki sarjana di dalam Bilogi Marin Tropikal dari Universiti James Cook dan  Sarjana Muda dalam Ekologi dan Biodiversiti dari Universiti Malaya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *