(SEMASA) AKU BALIK KAMPUNG – MAN BAI, AMIR JAHARI, NSSN & KAYDA AZIZ  

Bila sebut sahaja nama penyanyi lagenda tanah air Malaysia iaitu Man Bai, sudah pasti ramai yang sudah mengenali diri beliau. Beliau memulakan karier sebagai seorang penyanyi rock pada tahun 1980-an dan ‘Kau Ilhamku’ yang merupakan lagu hit beliau telah menaikkan nama Man Bai di persada seni tanah air dan sekaligus telah memenangi Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1996 bagi kategori Penyanyi Lelaki Solo. Lagu yang sehingga kini tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas kerana ia sentiasa menjadi sebuah lagu evergreen kegemaran ramai.

Mohamad Amirullah bin Jahari atau lebih dikenali sebagai Amir Jahari adalah seorang penyanyi, pemuzik dan juga penulis lagu. Memulakan kerjaya muzik beliau pada tahun 2011 apabila beliau menyertai program realiti terbitan Astro, iaitu Akademi Fantasia pada musim ke-9. Dari situ beliau mula menjinakkan diri dalam industri seni muzik tanah air dan melancarkan album pertamanya, Penghibur Jalanan pada tahun 2013.

NtahSape2Ntah atau NSSN merupakan kumpulan Rap Melayu yang dianggotai oleh tiga orang anak muda seperti Umair Al-Zubair (AL-Z), Mohd Syafeq Rydza (Rydza Radzy) dan Abdul Fariq (Frequensi). NSSN ditubuhkan pada tahun 2010 semasa Al-Z sedang merakamkan lagu-lagu untuk album beliau bersama MIO, seorang rapper tempatan yang terkenal di arena muzik Hip Hop Underground. Mereka kemudian bersetuju untuk meneruskan karier muzik mereka dengan menubuhkan sebuah kumpulan rap yang bernama NtahSape2Ntah selepas mereka menerima sambutan yang baik daripada pendengar dan peminat muzik Hip Hop.

Kayda Aziz mula menyanyi, rap, menari dan menulis lagu sendiri sejak berusia 13 tahun. Beliau membesar dalam persekitaran muzik sejak kecil lagi kerana ibu dan ayahnya sendiri telah berkecimpung di dalam industri muzik lebih daripada 30 tahun. Pada tahun 2014, single pertama beliau ‘Down With Me’ feat. Bem telah memenangi anugerah perak di Voice International Music Awards (VIMA) dan selepas itu beliau berkolaborasi pula dengan Hunny Madu menerusi lagu ‘Go Hard Gostan’.

Keempat-empat nama besar ini telah bergabung dan berkolaborasi bersama menerusi lagu raya ‘Aku Balik Kampung’. Sememangnya sebuah lagu raya yang akan menjadi pilihan para pendengar pada tahun ini kerana judul lagunya juga sudah menarik perhatian ramai. Muzik yang dihasilkan menerusi lagu ini mempunyai kelainannya yang tersendiri serta melodinya mudah diingati. Sekali dengar pasti pencinta muzik tanah air sudah boleh bersiul atau melagukan melodi tersebut ketika pulang beraya ke kampung halaman masing-masing.

Lagu ‘Aku Balik Kampung’ ini adalah inisiatif Mudah.my dan dijadikan sebagai lagu kempen sempena hari raya yang bakal diraikan bukan sahaja oleh umat Islam malah kesemua rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Lagu ciptaan bersama Damian Mikhail dan SasiTheDon serta lirik digarap oleh Ikhwan Hariz dan SasiTheDon ini dimantapkan lagi dengan terbitan  oleh dua penerbit yang tidak asing lagi dipersada muzik sejagat iaitu Damian Mikhail dan SasiTheDon.

Teristimewa buat peminat Man Bai, Amir Jahari, NSSN dan Kayda Aziz, lagu ‘Aku Balik Kampung’ edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd  ini boleh dimuat turun dan distrim disemua digital platform seperti Spotify, Apple Music, JOOX, Yonder dan KKBox mulai 16 Jun 2017 ini!

Pautan link untuk muzik video  ”Aku Balik Kampung” di Youtube: https://youtu.be/0ugrIawza0w

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *