(SEMASA) Angsana Johor Bahru Lokasi Kedua Karnival Jom Heboh 2013

Bananana! Land (4)

Sejak diperkenalkan 11 tahun yang lalu, Karnival Jom Heboh jelas sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia terutamanya penonton-penonton setia TV3. Bermula dengan acara padang pada tahun 2003 yang menjadi platform kepada pihak stesen untuk mendekati jutaan penonton setianya tanpa mengira bangsa dan lapisan umur, Jom Heboh kini menjadi satu fenomena pada setiap kali penganjurannya di lokasi-lokasi terpilih.

Tahun ini Jom Heboh telah memasuki tahun penganjuran yang ke-11. Karnival Jom Heboh edisi tahun 2013 (KJH 2013) masih mengekalkan konsep ‘Rekreasi & Riadah’ dengan menyediakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian untuk para pengunjung. Setelah memilih negeri Terengganu sebagai lokasi pembuka tirai awal bulan ini, kini KJH 2013 meneruskan siri penjelajahannya ke lokasi kedua iaitu Johor Darul Takzim sebelum ke negeri Pulau Pinang, Pahang, Putrajaya, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Selama dua hari, rombongan KJH 2013 bakal berkampung di Angsana Johor Bahru, Johor pada 30 & 31 Mac 2013 (Sabtu & Ahad) ini. Para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di gerai-gerai kendalian TV3 seperti Cereka, Studio 3, Selera@Jom Heboh, Bananana! Land, Wow Bag!, Kota Ilmu dan Kiosk Perkhidmatan yang memuatkan segala maklumat, cenderamata eksklusif dan promosi program-program TV3.

Secara kolektif, Karnival Jom Heboh adalah antara karnival yang paling berjaya dan meriah yang pernah dianjurkan. Ia telah memberikan banyak manfaat kepada para pengunjung untuk menjadi wahana penjana minda dengan pelbagai pameran dan aktiviti yang berteraskan ilmiah di samping dapat berhibur bersama-sama artis-artis popular dan juga personaliti-personaliti TV3. Sambil berhibur, Jom Heboh juga akan meletakkan Tabung Wira Lahad Datu di gerai-gerai program bagi mengumpul dana untuk keluarga ahli pasukan keselamatan yang terkorban dalam misi Ops Daulat Lahad Datu.

Tarikan terbaru KJH 2013 semestinya Selera@Jom Heboh, Wow Bag! Booth, Bananana! Land dan Kiosk Perkhidmatan selain mengekalkan gerai Cereka, Studio 3 dan Kota Ilmu. Selera@Jom Heboh yang berkonsepkan “food pavilion” ini mengetengahkan pelbagai jenis makanan tradisi di Malaysia mengikut lokasi yang dikunjungi. Selain itu, Selera@Jom Heboh juga mempamerkan dan menjual buah-buahan tempatan yang segar keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pertandingan menghias kek, demonstrasi masakan daripada chef selebriti dan banyak lagi akitviti menarik yang melibatkan penyertaan pengunjung.

Wow Bag! Booth menjual koleksi cenderahati eksklusif dari semua rangkaian televisyen dan radio Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, ntv7, 8TV, Bananana!, HOT FM dan Tonton. Di sana, selain membeli pelbagai cenderahati yang ditawarkan dalam pakej RM15 dan RM 25, para pengunjung juga boleh beramah-mesra dengan artis jemputan.

KJH 2013 juga akan memberi kelainan kepada kanak-kanak dan golongan remaja melalui Bananana! Land. Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di ruangan Bananana! Land Stage, B-Model Studio & B-instaSnap, Out of the Box, dan gerai BoBoiBoy & Bola Kampung. Di Out of the Box, adik-adik boleh mencuba kreativiti mencipta kraftangan D-I-Y (Do-It-Yourself) dan membawa hasil tersebut pulang ke rumah selain sertai pertandingan mewarna. Di gerai BoBoiBoy & Bola Kampung, kanak-kanak boleh mendaftar menjadi ahli dan membeli barangan eksklusif BoBoiBoy dan Bola Kampung.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti menyeronokkan yang dianjurkan oleh rakan animasi Canimals, Supertots, Winx Club, berhibur sambil belajar bersama Oxford-Fajar serta bergembira bersama Deera, Harris, Hadi dan Ben dari Idola Kecil di Bananana! Land Stage. Dengan pembelian kupon RM 5 (seorang), kanak-kanak juga boleh mendapatkan solekan ‘make-over’ menjadi bintang rock, putera, puteri atau karakter animasi pilihan tersendiri dan bawa pulang gambar polaroid di B-Model Studio & B-instaSnap.

Di KJH 2013, para pengunjung juga dapat menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh beberapa badan kerajaan seperti Pos Malaysia, PERKESO, PTPTN & Skim Pinjaman Pendidikan Nasional (SPPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kiosk Perkhidmatan. Orang ramai boleh menyemak dan membuat bayaran saman, memperbaharui lesen memandu, menjelaskan bil-bil dan lain-lain lagi untuk kemudahan mereka.

Di gerai Cereka pula terus menjadi tumpuan utama para pengunjung untuk beramah mesra bersama artis-artis popular yang terlibat dengan drama TV3 seperti Nur Risteena, Syazwan Zulkifly, Jay Iswazir (Aksi: Karlos), Afiq Muiz, Eina Azman (Samarinda: Bangkitnya Seorang Perempuan), Amar Asyraf, Adam Shah (Azalea: Duri Di Hati) dan Elysa Johari (Akasia: Rindu Bertamu Di Abu Dhabi). Selain beramah mesra, para pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti bersama artis, antaranya, Sembang-sembang Artis, Aneka Peraduan, ‘Dunia Tersembunyi’ (cari barang dalam tepung) dan banyak lagi.

 

Para pengunjung berpeluang menjadi penonton bertuah menyaksikan episod akan datang drama bersiri TV3, antaranya, ‘Karlos’, ‘Kisah Cinta dan ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’ sebelum disiarkan di kaca TV di Studio 3. Mereka hanya perlu menderma di pintu masuk Studio 3 dan simpan keratan tiket tersebut untuk cabutan bertuah. Mereka juga berpeluang memenangi cendarahati menarik menerusi pelbagai aktiviti pentas yang dijalankan di Cereka.

Kota Ilmu pula menfokuskan program ilmiah dan kerohanian TV3 seperti Al-Kuliyyah, Al-Hidayah dan Da’i. Para pengunjung berpeluang mengikuti siaran langsung program Al-Kuliyyah di Kota Ilmu pada hari Jumaat (29 Mac) dari jam 5.00 hingga 6.00 petang bersama pengacara, Mohd Fasil. Peserta Da’i iaitu Hazwan Bin Padzil akan turut berada di Kota Ilmu.

Pameran Astronomi di Planetarium diteruskan sejak diperkenalkan pada Karnival Jom Heboh tahun lalu. Pameran ini melibatkan Digital STARLAB Planetarium menggunakan sebuah kubah hitam yang mensimulasikan langit malam hemisfera utara dan objek-objek ruang angkasa. Ia merupakan satu pendekatan menyeluruh berkaitan bidang astronomi untuk menggalakkan generasi muda mendalami jurusan Sains.

Tidak ketinggalan untuk pengunjung generasi muda, TV9 di bawah jenama 9X membawakan 9X GIG bersama barisan band Indie seperti Oh Chentaku, Monoloque, Pita Hati dan Madinee (sebelum ini dikenali sebagai Laila’s Longue) pada hari Ahad (31 Mac) bermula jam 9.00 malam. Majlis pelancaran album terbaru Faizal Tahir dengan tema “New Sound of Rock” juga akan berlangsung di 9X GIG, disusuli dengan persembahan selama satu jam oleh Faizal Tahir menampilkan lagu-lagu daripada album terbaru dan juga beberapa lagu hits terdahulu. Sebelum itu, Faizal Tahir akan berada di Wow Bag! Booth pada hari yang sama dari jam 3.00 hingga 4.00 petang sempena jualan t-shirt, cd dan mug ‘limited edition’ beliau.

Berikut adalah senarai aktiviti sepanjang dua hari penganjuran Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru, Johor Darul Takzim, Sabtu dan Ahad (30 & 31 Mac 2013) ini dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 petang:

SENARAI GERAI

AKTIVITI-AKTIVITI

1

CEREKA

  • Sesi beramah mesra dan menyertai pelbagai pertandingan bersama Nur Risteena, Syazwan Zulkifly, Jay Iswazir (Aksi: Karlos), Afiq Muiz, Eina Azman (Samarinda: Bangkitnya Seorang Perempuan),  Amar Asyraf, Adam Shah (Azalea: Duri Di Hati) dan Elysa Johari (Akasia: Rindu Bertamu Di Abu Dhabi)
  • Sembang–sembang Artis
  • Aneka peraduan
  • Dunia Tersembunyi’ (cari barang dalam tepung)

2.

STUDIO 3

  • Tayangan perdana drama-drama hebat TV3 secara eksklusif, antaranya, Aksi: Karlos, Samarinda: Bangkitnya Seorang Perempuan, Cerekarama: Lara Qaseh, Lestary: Kisah Cinta, Zehra: Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Akasia: Rindu Bertamu Di Abu Dhabi
  • Hanya perlu menderma di pintu masuk Studio 3 dan simpan keratan tiket untuk cabutan bertuah di dalam Studio 3

3.

 

BANANANA! LAND

  • Ruang hiburan dan pembelajaran khas untuk kanak-kanak
  • Serlahkan kreativiti seni dan kraftangan di Out of the Box
  • Riang ria bersama maskot Boboiboy dan Bola Kampung
  • Penampilan artis – Deera, Harris, Hadi dan Ben dari Idola Kecil
  • Make-over’ dan ‘Photo Booth’

4.

SELERA@JOM HEBOH

  • Demo masakan oleh chef selebriti
  • Pertandingan dekorasi kek
  • Pameran dan jualan buah-buahan tempatan FAMA

5.

WOW BAG! BOOTH

  • Aktiviti jualan cenderahati eksklusif dari semua rangkaian televisyen dan radio Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, NTV7, 8TV, Bananana!, Hot FM, dan Tonton
  • Pelbagai jenis cenderahati seperti t-shirt, buku nota, beg, pen, kipas tangan, poskad, lanyard dan banyak lagi
  • Sesi ramah mesra bersama Alex Yanz dan Talha Harith

6.

MEDIA PRIMA DIGITAL – HOT FM

  • Pendaftaran akaun Tonton secara percuma sepanjang hari
  • Khidmat langganan akhbar digital dalam talian (e-paper) untuk Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times
  • Penampilan penyampai Hot FM, Chad dan Sharifah Aleya
  • Pelbagai kuiz dan permainan serta peluang untuk memenangi wang tunai berjumlah sehingga RM 1,000.

7.

TV9

  • Aktiviti Senda Pagi: Aerobik & Nasi Lemak
  • Ramah mesra bersama Faizal Tahir
  • Berlakon bersama barisan artis, Riz Amin, Siti Elizad, Tunku Hanis (Ratu: Kerana Lelaki Itu) dan Idzham Ismail (Aurora: Bunga Merah Punya)

 

SIARAN LANGSUNG DAN RAKAMAN DARI TAPAK KARNIVAL

1.

Sembang Sembang

Berlangsung dari tapak KJH 2013 Johor pada hari Sabtu & Ahad dari jam 10.00 hingga 10.30 pagi. Membincangkan isu-isu semasa selain menemuramah artis-artis, pihak berkuasa dan wakil penaja.

2.

Al-Kuliyyah 

Siaran langsung dari tapak karnival jam 5.00 – 6.00 petang hari Jumaat

Topik                :           ‘Ahli Syurga’

Ahli Panel         :            Ustaz Hanafiah Abd. Razak

Pengacara        :             Mohd Fasil

3. 

9X GIG & Majlis Pelancaran Album Terbaru Faizal Tahir

Pentas Utama, Hari Ahad bermula jam 9.00 malam

Artis: Oh Chentaku, Monoloque, Pita Hati, Madinee dan Faizal Tahir

Hos: Bone Alfie

 

Layari laman sesawang rasmi Karnival Jom Heboh 2013 di www.tv3.com.my/jomheboh serta laman sosial Facebook dan Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #JomHeboh2013 untuk sebarang perbualan dan komen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *