(SEMASA) Astro Kasih Menyumbang RM50,000 Kepada Tabung Kebajikan Kimanis   di ‘Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Bersama YB Menteri Luar Negeri’

Spread the love

????????????????????????????????????

Kimanis (Sabah), 16 Julai 2016 – Bertepatan dengan tema Aidilfitri Astro ‘Berikan Masa’ pada tahun ini, Astro Kasih meneruskan tradisi sambutan hari raya dengan menganjurkan ‘Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Bersama YB Menteri Luar Negeri’ yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Membakut. 

Progam tanggungjawab sosial korporat hari ini telah dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Anifah Hj Aman, Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Kimanis dan Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Khadar Merican, Pengarah Astro yang telah bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada 2,500 tetamu istimewa yang terdiri daripada anak-anak yatim, warga emas, fakir miskin,  warga kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Dalam majlis tersebut, Yang Berhormat Dato’ Sri Anifah Hj Aman berkata, “Kami amat berbesar-hati apabila badan korporat seperti Astro sudi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan merasai pengalaman sambutan Hari Raya sebegini. Saya juga difahamkan bahawa Jalinan Kasih Aidilfitri yang bernaung di bawah projek Astro Kasih ini tidak terhad sewaktu musim perayaan semata-mata tetapi pelbagai aktiviti kemasyarakatan sering dianjurkan demi menaik-taraf kualiti kehidupan serta taraf hidup masyarakat secara berterusan.”

Pihak Astro Kasih turut menghulurkan sumbangan amal berjumlah RM 50,000 bagi tujuan menjayakan program-program kebajikan untuk penduduk setempat.

Yang Berbahagia Dato’ Mohamed Khadar Merican, Pengarah Astro berkata, “Astro akan terus komited dalam memainkan peranan penting untuk membantu menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat.  Menjadi hasrat kami untuk bukan sahaja muncul sebagai sebuah syarikat penyiaran yang terbaik tetapi juga sebagai badan korporat yang prihatin terhadap kebajikan rakyat. Majlis Jalinan Kasih Aidilfitiri hari ini merupakan kesinambungan kepada komitmen kami dalam menjalankan inisiatif tanggungjawab korporat yang dirangka untuk membantu golongan yang memerlukan. Saya amat bersyukur kerana program-program yang kami anjurkan sentiasa mendapat sokongan padu daripada semua pihak.”

Empat teras utama tanggungjawab sosial korporat Astro Kasih adalah menerusi sukan dan kehidupan yang sihat, melahirkan nilai melalui pembelajaran yang berterusan, melaksanakan inisiatif kebajikan untuk kakitangan ke arah keharmonian masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar

Astro Kasih sentiasa berusaha untuk mendekati penduduk di negeri Sabah dengan merangka pelbagai program tanggungjawab sosial korporat termasuklah inisiatif pembersihan dasar laut yang dikenali sebagai Projek Beautiful Malaysia. Projek ini dimulakan di Pulau Mabul pada tahun 2009 dan 2010 dan kemudiannya diteruskan di Taman Marin Tun Sakaran pada 2011. Pencapaian terbesar projek ini adalah apabila berjaya mencipta rekod dunia di dalam Guinness World Records untuk pembersihan dasar laut paling panjang selama lebih 168 jam tanpa henti oleh 134 penyelam sukarelawan dari seluruh dunia di Taman Tunku Abdul Rahman pada 2013.

Selain itu, menerusi teras pendidikan, Asrama Astro Kasih telah membina blok asrama yang serba lengkap di SK Magandai, Kota Marudu dan SK Malinsau, Ranau.  Terbaru,   Kem Badminton dan Kem Bola Astro diadakan di Kota Kinabalu sejak tahun 2012 hingga 2016 untuk mencungkil bakat-bakat muda dari negeri Sabah untuk digilap dan diketengahkan  di peringkat yang lebih tinggi. Sehingga kini, seramai 14 anak-anak Sabah yang berusia   di antara 10 hingga 12 tahun telah berjaya menempatkan diri menjalani latihan intensif badminton di Tokyo, Japan dan latihan bolasepak di Eropah.

Astro Kasih turut melaksanakan pelbagai aktiviti  termasuklah mengagihkan set dekoder NJOI kepada penerima yang disenaraikan dalam pangkalan data eKasih.  Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Astro dalam mewujudkan impak sosial dengan memberikan akses percuma kepada pendidikan, informasi, hiburan dan sukan kepada komuniti berpendapatan rendah, badan-badan sosial serta kebajikan termasuk rumah-rumah di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan televisyen dan radio.

Seramai 60 sukaralewan Astro Kasih turut turun padang bagi membantu persediaan sambutan Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri ini.

Diacarakan oleh pelakon popular, Fahrin Ahmad, ‘Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri’ dimeriahkan lagi dengan persembahan artis-artis terkemuka tanah air seperti Nash, Mawi, Marsha, Mila, Ayda Jebat, Haziq dan Azhael,

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *