(SEMASA) BALU PEKERJA PWTC TERIMA SUMBANGAN KEBAJIKAN PEKERJA

KUALA LUMPUR: Putra World Trade Centre (PWTC) hari ini menyerahkan wang sumbangan berjumlah RM129,520.00 kepada seorang kakitangan yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya di Lingkaran Tengah 2 (Susur Tol Gombak) ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 31hb Mac 2018 yang lalu.
Cek sumbangan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Putrade Property Management Sdn. Bhd. Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Alies Anor Abdul kepada balu penerima Puan Nor Hairi Binti Salleh yang berusia 45 tahun. Allahyarham meninggalkan seorang balu yang merupakan suri rumah tangga sepenuh masa berserta enam orang anak iaitu dua orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan yang berusia antara 18 tahun hingga 28 tahun.

Sebelum bertugas di PWTC, Allahyarham Tuan Azaman Bin Badri pernah berkhidmat di cawangan Khas Bahagian Perisikan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 32 tahun dan jawatan terakhir Allahyarham di ATM adalah Sarjan Risik Kor Risik DiRaja. Selepas tiga tahun bersara daripada ATM, Allahyarham mula berkhidmat di Putra World Trade Centre (PWTC) pada 15hb Jun 2015 sebagai Eksekutif Keselamatan.

Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada warga kerja PWTC dan ahli keluarga yang lain. Segala urusan jenazah Allahyarham disempurnakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Staff Perisikan Pertahanan, MINDEF, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Shamsul Kamar Ahmad, sumbangan ini diberikan sebagai memenuhi kewajipan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial PWTC terhadap kakitangan yang ditimpa musibah atau meninggal dunia. Diharapkan dengan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga Allahyarham.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *