(SEMASA) Da’i – ‘DUA PENYINGKIRAN DI MINGGU KE-10’

SONY DSC

Kreativiti Bawa Finalis Ke Pusingan Seterusnya!

Satu kejutan yang tidak disangka! Itulah yang diterima oleh penonton dan peminat setia program Da’i semasa menyaksikan episod kesepuluh pada minggu lalu apabila pihak juri sebulat suara membuat keputusan untuk menyingkirkan dua finalis Da’i iaitu Mohamed Hazwan Bin Padzil dan Noraida Binti Jamlie dari meneruskan cabaran di medan perjuangan Pendakwah Milenia.

SONY DSC

 

Bagi pusingan minggu lalu, enam finalis Da’i Che Faizal Amir Bin Che Mat, Mohamad Azamudin Bin Zainal, Muhammad Tajdid Hadhari Bin Romli, Mohamed Hazwan Bin Padzil, Noraida Binti Jamlie dan Nor Adibah Binti Rozain diberi tanggungajwab untuk menyampaikan tazkirah dalam bentuk ceramah ringkas. Menerusi tema istimewa minggu lalu iaitu “Pendakwah Masa Kini”, setiap finalis Da’i diberi masa lima minit untuk menyampaikan tazkirah yang bersesuaian dengan tema tersebut.

Bagi menambahkan lagi saingan antara finalis-finalis Da’i, mereka diberi kebebasan untuk mengambil pendekatan tersendiri dalam melaksanakan tugasan tersebut. Malah, mereka juga boleh menggunakan kreativiti masing-masing seperti penggunaan props, lakonan atau sebagainya untuk membuatkan penyampaian mereka tampak lebih menarik dan hujah mereka senang difahami dan diterima oleh penonton.

Di sepanjang sesi tazkirah ini, segala hujah dan teknik penyampaian diperhati dan dirumuskan oleh dua juri tetap serta seorang juri jemputan, iaitu Profesor Madya Izzi Haji Ali. Di samping itu, para juri juga turut memberikan beberapa teguran dan nasihat agar finalis Da’i dapat memperbaiki lagi kelemahan pada masa akan datang.

Menurut Penerbit Da’i, Shukri Hj Ibrahim, “Tugasan Da’i sudah pun mencecah minggu yang kesepuluh dan pastinya cabaran yang diberikan semakin getir. Setiap finalis Da’i dilihat semakin matang membentangkan hujah dan berusaha bersungguh-sungguh untuk kekal dalam program ini. Bagi pihak TV3, saya bersyukur kerana program Da’i bakal mencapai matlamatnya dalam mendidik dan melahirkan Pendakwah Milenia yang unggul.”

Program satu jam ini menampilkan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin sebagai pengacara program untuk musim ini. Sementara itu, beliau turut ditemani dua rakan seperjuangan iaitu Mohd Zhafran Mohd Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris yang bertindak mengendalikan segmen khas mingguan. Manakala panel juri tetap pula menampilkan salah satu ikon pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail bersama Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie yang bertanggungjawab menilai keterampilan semasa peserta dan pemarkahan berdasarkan tugasan yang diberikan.

Juara Da’i bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM50, 000. Siapakah yang akan dinobatkan sebagai juara sulung program Da’i? Ikuti program realiti Da’i yang disiarkan secara langsung dari Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam pada setiap hari Sabtu jam 6.00 petang hingga 7.00 petang. Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan Da’i boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Sila layari www.tv3.com.my/dai dan akaun Twitter rasmi Da’i iaitu @DaiTV3 serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *