(SEMASA) GUARDIAN MALAYSIA & DETTOL CERIAKAN PENGHUNI CILIK DUA RUMAH KEBAJIKAN SEMPENA RAMADAN

BANDAR KINRARA (PUCHONG), Selasa, 6 Jun, 2017:  Atas semangat prihatin dan saling memberi di bulan Ramadan, Guardian Malaysia telah melancarkan sebuah kempen amal untuk mengumpul dana untuk dua buah rumah kebajikan kanak-kanak.

Melalui kempen tersebut, satu usaha sama dengan Reckitt Benckiser (M) Sdn Bhd, Guardian Malaysia akan mendermakan RM1 untuk setiap jualan bernilai RM30 produk Dettol di mana-mana cawangannya kepada dua buah rumah kebajikan – Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Cahaya Bistari di Batu Caves, Selangor, dan Asrama Darul Falah (ASDAF) di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Dengan sokongan pelanggan, kami menyasarkan kutipan sebanyak RM20,000 daripada Kempen Beli & Derma ini, agar setiap rumah dapat menerima RM10,000, yang mana dana tersebut boleh digunakan untuk persediaan Aidilfitri atau membayar yuran sekolah dan keperluan-keperluan lain,” kata Ms Christina Low, Pengarah Pemasaran Guardian Malaysia.

Berucap di majlis iftar istimewa bersama-sama 100 kanak-kanak dan penjaga-penjaga mereka, Christina berkata: “Ramadan adalah bulan yang mulia dimana umat Islam dilatih untuk bersabar dan bertolak-ansur melalui ibadah puasa. Ia juga adalah masa untuk bermaafan, dan melakukan amal kebajikan dan membantu golongan yang memerlukan adalah amat digalakkan.”

 “Atas semangat Ramadan, rakan-rakan kami di Guardian Malaysia amat berbesar hati apabila berpeluang untuk bekerjasama dengan Reckitt Benckiser untuk mengumpul dana untuk dua rumah kebajikan yang menjaga hampir 100 kanak-kanak.”

“Kepada pelanggan Muslim kami, kempen amal ini membolehkan mereka berkongsi dan memberi kepada mereka yang memerlukan ketika membeli-belah barangan keperluan perayaan dan keperluan harian, seperti produk penjagaan kebersihan,” tambah beliau.

Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser, Malaysia dan Singapura, Ms Tiffany Tang berucap di majlis yang sama berkata: “Melalui kerjasama ini, kami dapat mendekati berjuta pelanggan Guardian yang membeli-belah di cawangan Guardian di seluruh negara, mahupun secara dalam talian. Kami juga bersetuju dengan Christina di mana ramai pelanggan bakal mengalu-alukan peluang untuk beramal ketika membeli-belah untuk persiapan Hari Raya yang bakal tiba tidak lama lagi.”

Selain daripada mengumpul dana, Guardian Malaysia turut membawa kanak-kanak tersebut membeli-belah dimana setiap seorang telah diberikan RM100 untuk berbelanja, manakala Dettol mengadakan satu sesi interaktif tentang penjagaan kebersihan diri.

Untuk melengkapkan ‘outing’ mereka, kedua-dua rakan kongsi itu telah mengadakan iftar istimewa di pusat latihan Guardian di Bandar Kinrara.

“Kempen Beli & Derma” berlangsung sepanjang bulan Jun di cawangan-cawangan Guardian di seluruh negara.

Di akhir majlis tersebut, setiap kanak-kanak turut membawa pulang satu beg barangan Dettol bernilai RM50.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *