(SEMASA) Kempen #MalaysiaNgaji Kumpul Semua Umat Islam Sama-Sama Mengaji, Sucikan Hati

IMG_3904Shah Alam, 27 Jun 2016 – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf, Jakim juga sokongan padu saluran Astro Oasis membawakan program Sejam Bersama Al-Quran, #MalaysiaNgaji buat tahun kedua, serentak di seluruh Malaysia serta dengan lebih banyak penyertaan daripada rakyat Malaysia yang berada di luar negara seperti Australia, Mesir, Turki, Amerika Syarikat, Indonesia dan Arab Saudi.

Menariknya kali ini, program sejam bersama Al-Quran ini turut mendapat sokongan dari negara jiran, iaitu Indonesia melalui Lembaga Tadabbur Al Quran yang akan menggerakkan #IndonesiaNgaji sempena #MalaysiaNgaji.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali berkata “#MalaysiaNgaji merupakan satu usaha murni kita dalam memperkasakan umat Islam melalui bacaan ayat-ayat Al-Quran yang menjadi panduan kita mengenali dengan lebih dekat lagi agama kita yang suci ini. Pembudayaan ilmu menerusi program ini dilihat dapat memupuk perasaan cinta kepada kitab ini dan membawa kita lebih dekat lagi dengan yang Esa”.

“Bukan sahaja di bulan Ramadan, diharapkan usaha dan budaya membaca Al-Quran ini berterusan sehingga bila-bila. Kami di Oasis berbangga dapat menjadi sebahagian dari acara ini dan adalah menjadi tanggungjawab kami selaku wahana penyampaian dakwah Islamiah untuk terus berusaha menyebarkan keindahan Islam kepada mereka-mereka di luar sana”, tambah Ahmad Fuad lagi.

Astro akan menyiarkan siaran langsung program #MalaysiaNgaji yang akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya, 24 Ramadan bersamaan 29 Jun ini mulai jam 12 tengahari sehingga 1 petang, menerusi Astro Oasis, saluran 106 dan Maya HD (135). Selain di kaca televisyen, orang ramai boleh menonton #MalaysiaNgaji secara dalam talian menerusi ‘live streaming’ di laman sesawang www.salammuslim.com.my.

Hasrat pelaksanaan program #MalaysiaNgaji ini yang  diadakan pada setiap 24 Ramadan adalah untuk menjadi momentum dalam mengajak rakyat Malaysia menjadikan Al-Quran landasan kehidupan dengan membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran di dalam kehidupan mereka.

Melalui program dan usaha pemurnian ummah selama sejam ini, adalah menjadi hasrat bersama lebih 1000 penggerak Rumah Ngaji serta lebih 5000 guru ngaji di seluruh Malaysia agar kita sama-sama bersatu di dalam naungan Al-Quran.

Sempena program #MalaysiaNgaji, Sejam bersama Al-Quran pada 24 Ramadhan/29 Jun, jam 12 tengahari hingga 1 petang ini, orang ramai boleh turut sama menyertai mengimarahkan lagi bulan Ramadan ini dengan:

  1. Hadir bersama mengaji di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya
  2. Membaca Al-Quran bersama-sama #MalaysiaNgaji di lokasi masing-masing
  3. Sekiranya berada di Mekah,anda boleh bersama-sama mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran di Surau Level 9, Clock Tower (Lelaki) manakala kaum perempuan di Surau Level 10. 24 Ramadhan, waktu setempat 7 pagi.

#MalaysiaNgaji, program Sejam Bersama Al Quran turut mahu membina kesedaran bersatu hati dengan Al Quran, mengecilkan perbezaan dan membesarkan persamaan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.

Untuk panduan pelaksanaan dan info lanjut, boleh rujuk di Facebook Rumah Ngaji atau hubungi Marhaini di talian 0133593165.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *