(SEMASA) MENGHIAS BISKUT RAYA RAKSASA DI KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE!

Spread the love

Kuala Lumpur, 29 Mei 2017 ­– Kuala Lumpur Convention Centre (Pusat Konvensyen) menghidupkan semangat bersedekah pada bulan Ramadan dengan menganjurkan majlis amal berbuka puasa tahunan kali ke-10. Tahun ini, Pusat Konvensyen menyambut kedatangan 100 kanak-kanak dari Living Hope* dan Yayasan Generasi Gemilang* (GG), serta 50 pesakit Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF)* Malaysia bersama keluarga mereka ke jamuan berbuka puasa yang meriah dan menyeronokkan.

Majlis keramaian pada malam ini dimulakan dengan acara menghias biskut raksasa bertema Hari Raya oleh tetamu VIP kecil diketuai oleh cef dan pasukan kulinari Pusat Konvensyen bersama rakan-rakan media. Selain aising, mereka menggunakan taburan gula-gula halus, butang coklat dan aneka hiasan lain yang lazat! Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan ketibaan waktu berbuka puasa, para tetamu jemputan diraikan dengan jamuan bertema ‘Kampung Klasik’, yang menggabungkan pelbagai sajian makanan kontemporari dan tradisional yang menambat selera.

Pengasas GG Encik Daniel Tan mengucapkan terima kasih kepada Pusat Konvensyen kerana menganjurkan majlis amal tahunan ini, “Pusat Konvensyen merancangkan yang terbaik setiap tahun, untuk menggembirakan dan mengukir senyuman di wajah kanak-kanak dengan aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan. Aktiviti yang menggembirakan dan makanan lazat sentiasa menjadi kenangan indah mereka pada bulan Ramadan.”

Mengucapkan tahniah kepada Pusat Konvensyen kerana menganjurkan majlis buka puasa ke-10, Pengasas dan Pengerusi Living Hope, Dr Peggy Wong, berkata, “Kami sudah menjadi sebahagian daripada acara berbuka puasa Pusat Konvensyen sejak 2008 dan setiap tahun, ikatan hubungan antara kakitangan Pusat Konvensyen dan kanak-kanak semakin akrab. Kami teruja melihat sebuah organisasi seperti Pusat Konvensyen sanggup berkongsi keceriaan musim perayaan dengan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan mereka tidak sabar untuk datang berbuka puasa di sini, terutama sekali mereka (kanak-kanak) yang pertama kali dapat berbuka puasa di luar rumah.”

Menjelaskan tentang majlis istimewa ini, Pengurus Besar Pusat Konvensyen, Alan Pryor, berkata, “Kami sentiasa berbesar hati untuk menganjurkan majlis ini. Senyuman dan derai ketawa kanak-kanak ini bukan sahaja menyentuhkan hati kami, tetapi juga menceriakan tempat ini. Kami berbangga menganjurkan majlis berbuka puasa ke-10 kami dan kami berharap untuk meneruskan hubungan dengan Living Hope, Yayasan Generasi Gemilang dan Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF) Malaysia untuk selama bertahun-tahun lagi.”

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Living Hope sempena ulang tahun ke-10 mereka. Saya kagum dengan kejayaan mereka membantu kanak-kanak miskin, memerlukan dan terpinggir di Malaysia. Usaha mereka untuk memberikan masa depan yang lebih baik kepada kanak-kanak kurang bernasib baik benar-benar patut disanjung tinggi,” kata Pryor.

Malam gembira ini berakhir dengan Alan Pryor dan pasukan pengurusan kanannya mengagihkan manisan yang disediakan oleh pasukan Kulinari, dan duit raya kepada tetamu VIP kecil dari Living Hope dan GG, serta pesakit NKF dan keluarga mereka.

 

*Living Hope adalah sebuah pertubuhan kebajikan dengan misi untuk memberikan makanan dan pendidikan, dan bertindak sebagai pusat sumber pendidikan untuk kanak-kanak dari keluarga miskin tegar di seluruh negara.

*Yayasan Kebajikan Generasi Gemilang (GG) adalah sebuah organisasi tidak mencari untung yang berusaha untuk membesarkan generasi masa depan yang boleh dicontohi dan membina keluarga yang lebih kukuh. Tumpuan utamanya adalah membimbing generasi masa depan dengan kemahiran kepimpinan dan kemahiran hidup, melengkapkan ibu bapa dan belia untuk menangani isu-isu berkaitan siber, dan membangunkan masyarakat yang terpinggir di Malaysia.

*NKF adalah sebuah pertubuhan amal tidak mencari untung yang membuka pusat dialisis pertamanya di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur pada 1993. Lama-kelamaan, NKF telah membesar dengan sokongan banyak pihak. NKF telah meluaskan peranannya daripada pembekal rawatan dialisis semata-mata untuk menjadi pusat sumber setempat bagi hal-ehwal yang berkaitan buah pinggang.         

~ tamat ~


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *