(SEMASA) MISI SKUAD TERIMA KASIH BERLABUH DI SRI PENTAS

 

Kuala Lumpur, 20 Jun 2017 – Misi Skuad Terima Kasih (STK) akhirnya melabuhkan penjelajahannya pada malam ini di Sri Pentas, Bandar Utama. Penjelajahan STK yang bermula pada 1 Jun lalu telah memberi sinar harapan kepada tujuh pertubuhan yang terlibat dalam kempen ini serta memberi peluang kepada mereka untuk mengungkapkan “terima kasih” mereka kepada masyarakat sekeliling yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

Tujuh pertubuhan terlibat ialah Majlis Bagi Orang Buta Malaysia, Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), Persatuan Pengasih Malaysia, Persatuan Orang Pekak Johor (SDJO), Spinal Muscular Athropy (SMA), Jabatan Penjara Malaysia, Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) telah bekerjasama dengan duta-duta Skuad Terima Kasih dalam beberapa misi yang dinamakan rantaian kasih.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid, “Tahun ini Skuad Terima Kasih diwujudkan bertujuan untuk menyebarkan kebaikan secara berantai di mana secara tidak langsung mendidik kita bahawa setiap orang perlu dihargai dan setiap kebaikan yang diberi sudah semestinya akan dibalas dengan ucapan terima kasih. Ungkapan terima kasih pula bukan sekadar boleh dilafazkan dengan kata-kata malahan boleh dizahirkan melalui perbuatan sebagai tanda penghargaan.”

“Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, pastinya ramai yang ingin menderma dan menyalurkan sumbangan mereka kepada golongan yang kurang berkemampuan. Kegembiraan sambutan Hari Raya perlu disebarkan juga kepada mereka yang kurang berkemampuan. Oleh itu, rakan kempen Terima Kasih kita turut menyediakan khas Tabung Bersamamu di tiga lokasi pusat beli belah di bawah pengurusan Kumpulan Suria KLCC iaitu, Alamanda Mall Putrajaya, Mesra Mall dan juga Suria KLCC untuk kemudahan ramai menderma,” tambah beliau lagi.

Perjalanan Misi Skuad Terima Kasih

  • Setiap persatuan mempunyai misi tersendiri. Sebagai membalas kebaikan oleh Majlis Orang Buta Malaysia yang telah membacakan cerita kepada sekumpulan kanak-kanak Palsi Serebrum pada 31 Mei lalu. Kanak-kanak Palsi Serebrum pula telah menghasilkan lukisan dengan bantuan Nini Marini, pada 6 Jun di Step & Smile Plaza Damas 3. Nini Marini merupakan penggiat seni kreaftif lukisan yang tidak asing lagi dalam menghasilkan karya-karya bercorak abstrak.
  • Pada 10 Jun 2017, STK telah memeriahkan Bazar Terima Kasih di perkarangan Plaza Angsana Johor Bahru. Kesemua duta STK termasuk duta #terimakasih Aizat Amdan dan Faizal Tahir, bersama-sama wakil daripada Persatuan Pengasih Malaysia telah memasak juadah berbuka puasa di Suria Kolej Johor Bahru. Sebahagian daripada juadah telah diagihkan kepada Masjid Jamek Bandar Baru Uda di Johor Bahru sementara sebahagian lagi dijual di bazar Terima Kasih dengan dibantu oleh Persatuan Orang Pekak Johor Bahru. Kesemua hasil jualan makanan tersebut disalurkan ke dalam Tabung Skuad Terima Kasih.
  • Pada 12 Jun 2017, misi diteruskan dengan Pertubuhan Spinal Muscular Athropy (SMA). Mereka membantu acara lelongan lukisan di Suria KLCC, yang telah dihasilkan oleh anak-anak Palsi Serebrum. Turut menyertai aktiviti ini duta-duta STK seperti Fiza Sabjahan, Fakhrul Radhi, Uyaina Arshad selain diserikan lagi dengan kehadiran artis seperti Ayda Jebat, Mira Filzah dan Redza Rosli.
  • Pada 14 Jun 2017, sekumpulan banduan dari Penjara Kajang telah sukarela membuat perabot seperti rak buku, rak kasut, almari berpintu dan rehal bagi kegunaan masjid di Taman Intan Sg. Petani Kedah. Jumlah keseluruhan sebanyak 6 buah perabot dan 10 buah rehal berjaya disiapkan.
  • Usaha murni ini di teruskan lagi dengan penglibatan Kumpulan Orang Kerdil Malaysia yang bersama- sama dengan Duta STK melengkapkan keperluan masjid Taman Intan Sg. Petani dengan perabot baru tersebut pada 17 Jun 2017 dalam program Jom Masjid. Selain itu mereka turut bergotong royong membersihkan masjid tersebut.

Sebagi penutup bagi keseluruhan aktiviti rantaian STK, setiap wakil daripada ketujuh-tujuh pertubuhan  ini dijemput untuk meraikan majlis penutup STK. Pada masa yang sama sumbangan cek bernilai RM3,000 akan diserahkan kepada mereka. Sehingga kini, sumbangan kolektif yang diterima telah mencecah RM20,000. Jumlah ini diterima menerusi sumbangan daripada Kumpulan Suria KLCC, Lifebouy dan penjualan barangan edisi terhad “terima kasih” (touch n go dan pin ikrar) termasuk penjualan juadah berbuka puasa di Bazar Terima Kasih.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tv3.com.my, www.tv9.com.my dan juga www.tonton.com.my. Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube TV3Malaysia dan TV9Malaysia untuk berita dan informasi terkini mengenai kempen Terima Kasih. Hangatkan perbualan di laman sosial dengan menggunakan hashtag #TerimaKasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *