(SEMASA) PERSIAPAN DAN PANDUAN MASA DEPAN BELIA DALAM ‘STRATEGI KERJAYA’ SECARA EKSKLUSIF DI ASTRO TUTOR TV SPM

Strategi Kerjaya (1)

Arus aliran dunia globalisasi kini memperlihatkan persaingan hebat di antara belia untuk menempatkan diri di dalam industri kerjaya. Oleh itu, Astro dengan penuh rasa tanggungjawab akan berkongsi persiapan dan juga panduan dalam menentukan arah tuju masa depan belia dalam sebuah siri pendidikan terbaru berjudul Strategi Kerjaya, pada setiap hari Jumaat bermula daripada 7 Mac 2014, jam 7.15 malam eksklusif di Astro Tutor TV SPM (Saluran 603).

Rancangan berkonsepkan hiburan informatif ini bertujuan untuk mempersiapkan diri para belia secara umumnya dengan langkah serta tindakan yang  sepatunya dilakukan dalam mencari pekerjaan yang bersesuaian. Program ini mengetengahkan panduan karier yang merangkumi aspek kenali diri sendiri, pemilihan kerja, penulisan resume yang tepat, persiapan sesi temuduga serta fasa memasuki alam kerjaya.

Yasmin Yahya, Pengurus Saluran Astro Tutor TV berkata, “Astro sentiasa komited dalam menghidangkan kandungan siaran yang bukan sahaja menghiburkan malah memberikan maklumat serta pendidikan yang berguna buat penonton. Melihatkan kepada realiti situasi kebolehpasaran pekerjaan buat belia khususnya para graduan yang semakin sengit, kami berasa terpanggil untuk berkongsi informasi bagi membimbing golongan ini dalam proses pemilihan kerjaya.

Program Strategi Kerjaya ini merupakan satu inisiatif daripada kami untuk menyedarkan para belia akan kebolehan serta kelayakan mereka dengan kesesuaian pasaran industri terkini disamping membantu meningkatkan kadar peratusan graduan bekerjaya di Malaysia. Kami cuba menekankan kaedah interaktif dan juga visual menarik dalam penyampaian informasi serius supaya lebih mudah difahami dan dapat diingati oleh para penonton. Kami berharap agar usaha yang cuba kami usulkan ini akan mendapat maklum balas yang positif serta diterima baik oleh semua peringkat golongan”, jelasnya lagi.

Program Strategi Kerjaya yang mempunyai 6 episod ini akan dikendalikan oleh seorang pengacara dan pelakon yang semakin meningkat naik iaitu Hefny Sahad. Beliau akan bertindak selaku pengacara dan dibantu oleh dua orang bakat baru iaitu Muhamad Qawiem dan Shahiera Abu Hassan yang akan bertindak sebagai pelakon untuk melakonkan pelbagai aksi situasi bagi menggambarkan penjelasan yang lebih mendalam.

Setiap episod bakal memuatkan pelbagai topik berbeza berkenaan panduan mencari pekerjaan daripada pencarian kerja sehinggalah persediaan hari pertama bekerja. Setiap penjelasan akan dibantu dengan gambaran grafik yang menarik dan juga lakonan semula situasi berkenaan. Tempoh durasi 15 minit setiap episod ini pastinya akan diisi dengan pelbagai tip yang ringkas, padat dan menghiburkan.

Oleh itu, jangan ketinggalan untuk menonton Strategi Kerjaya, pada setiap hari Jumaat bermula daripada 7 Mac 2014, jam 7.15 malam eksklusif di Astro Tutor TV SPM (Saluran 603). Haluan kerjaya, laluan berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *