(SEMASA) Primeworks Studios Raih Kemenangan di Anugerah Televisyen Chicago

431800_10151564354555900_771885512_n

Primeworks Studios telah menerima dua anugerah di Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago ke-49 malam tadi melalui dua produksi televisyennya, iaitu Hip-Hoppin’ Asia dan Switch Off.

Hip-Hoppin’ Asia, rancangan travelog berunsur hip-hop yang pertama di Malaysia, telah memenangi Anugerah Perak dalam kategori ‘Travel Series’. Penerbit-penerbit rancangan ini, Sean Jesudasan dan Anusha Peterson, telah menghadiri majlis tersebut untuk menerima anugerah itu. Rancangan travelog ini telah bersiaran di saluran 8TV Oktober lalu dan dihoskan oleh penyanyi, penulis lagu dan penerbit hip-hop terkenal Joe Flizzow.

Sementara itu, Switch Off, sebuah rancangan berbentuk ‘game show’ terbitan Primeworks Studios yang disiarkan di TV9, telah dianugerahkan dengan Sijil Merit dalam kategori ‘Game Show Series’. Rancangan unik terbitan Ismail Mohd Rasakh ini berdasarkan soalan yang begitu asas sekali: “Adakah anda takut gelap?” Kemenangan ini membawa makna yang cukup mendalam untuk TV9, sempena sambutan ulangtahunnya yang ke-7.

Dianjurkan oleh Cinema/Chicago, Anugerah Televisyen Festival Filem Antarabangsa Chicago adalah satu pertandingan televisyen antarabangsa tahunan yang mengiktiraf rancangan-rancangan dan iklan-iklan televisyen dari seluruh dunia. Majlis Anugerah tersebut, dihoskan oleh personaliti televisyen dan radio terkenal Jeanne Sparrow, turut mempersembahkan beberapa anugerah berprestij kepada pertubuhan dan individu yang banyak memberi sumbangan kepada dunia televisyen Chicago. Leo Burnett, salah satu agensi pengiklanan terbesar di dunia, telah diberi penghormatan dengan Anugerah Komitmen Kecemerlangan untuk Iklan Televisyen manakala wartawan Walter Jacobson telah memenangi Anugerah Lagenda Chicago sempena sumbangan beliau dalam bidang kewartawanan selama lima puluh tahun.

Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, berkata, “Kemenangan anugerah-anugerah ini merupakan penghormatan besar bagi kami, dan kami amat bersyukur kerana diberi peluang untuk mempamerkan hasil terbitan kami untuk paparan antarabangsa. Tahniah diucapkan kepada krew penerbitan Hip-Hoppin’ Asia dan Switch Off. Saya amat berbangga dengan bakat-bakat muda di 8TV dan TV9 yang sentiasa menyumbangkan idea-idea yang segar dan inovatif untuk menghasilkan kandungan yang terbaik sekaligus memberi penonton pengalaman luar biasa setiap kali menonton rancangan-rancangan kami. Saya percaya pencapaian ini menjadi inspirasi besar bagi kami untuk terus menghasilkan rancangan-rancangan berkualiti yang boleh dinikmati oleh penonton di seluruh dunia.”

Hip-Hoppin ‘Asia memperkenalkan penonton kepada pelbagai cara hidup hip-hop di bandar-bandar Asia dan meneroka bagaimana genre muzik ini dihayati di setiap destinasi. Dari Thailand ke Taiwan, Filipina ke Jepun, dan Hong Kong ke Sri Lanka, travelog ini memaparkan perkara-perkara unik untuk dibuat di bandar-bandar ini, dan juga pengalaman hip-hop paling menarik untuk dicuba. Sepanjang perjalanan, hos Joe Flizzow juga bertemu dengan personaliti-personaliti hip-hop terkemuka seperti Teriyaki Boyz di Jepun, Thaitanium di Thailand, dan Saykoji di Indonesia.

Switch Off yang disiarkan pada September lalu telah menyaksikan ahli band-band indie tempatan melaksanakan cabaran-cabaran yang diberi di dalam sebuah rumah usang yang gelap. Keberanian para peserta diuji apabila mereka terpaksa menghadapi salah satu daripada ketakutan yang paling asas iaitu kegelapan! Hanya walkie-talkie menjadi penghubung mereka dengan ahli mereka yang lain. Rancangan ini dihoskan oleh lagenda indie Malaysia, Radhi Razali, dan menyaksikan penyertaan daripada band-band ternama Malaysia seperti Monoloque, Kyoto Protocol, Grey Sky Morning, OAG, Couple dan Oh Chentaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *