(SEMASA) VUCLIP, SYARIKAT MILIK PCCW MEDIA, MENGUMUMKAN PELANCARAN VIU, PERKHIDMATAN OTT DI MALAYSIA DENGAN KERJASAMA TM SEBAGAI RAKAN STRATEGIK

lowres

Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Viu, perkhidmatan video-atas-permintaan (VOD) Over-the-Top (OTT) daripada Vuclip, syarikat media milik PCCW, hari ini mengumumkan kerjasama antara kedua-dua pihak dengan pelancaran Viu di Malaysia. Viu merupakan perkhidmatan OTT freemium dan membawakan kepada para pelanggan kandungan tempatan dan tersendiri yang berkualiti tinggi dan terkini dari studio-studio penerbitan yang terbaik.

Perkhidmatan OTT baharu itu telah dilancarkan oleh Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TM dan Janice Lee, Pengarah Urusan, PCCW Media Group, bersama dengan Jeremy Kung, Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM dan Nickhil Jakatdar, Ketua Pegawai Eksekutif, Vuclip.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Tan Sri Zamzamzairani berkata: “Sebagai Peneraju Konvergens di negara ini, kami amat teruja untuk menjadi rakan kongsi strategik bagi PCCW, melalui syarikat media mereka, membawakan Viu buat pertama kalinya di Malaysia – menawarkan pelbagai pilihan kandungan hiburan terbaik untuk para pelanggan jalur lebar kami di seluruh negara. Kami yakin kerjasama ini dapat meningkatkan nilai perkhidmatan yang kami sediakan kepada para pelanggan selain perkhidmatan HyppTV dan kami percaya bahawa penawaran kandungan haruslah boleh ditonton di mana-mana sahaja dan boleh diakses menerusi peranti pelbagai skrin, selari dengan janji jenama TM iaitu ‘Hidup Lebih Mudah’.”

“Selain daripada kandungan menarik yang sudahpun sedia ada di platform HyppTV kami, pelanggan jalur lebar kami pastinya teruja untuk menikmati pelbagai kandungan unik dan terkini daripada program-program Korea, Cina, Bollywood, Tamil, Indonesia dan Malaysia, sambil kami terus memberikan pengalaman tontonan yang menyeluruh dan terbaik kepada rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Bermula pertengahan Mac 2016 ini, pelanggan jalur lebar UniFi dan Streamyx TM akan dapat menikmati akses kepada Viu, sebagai sebahagian daripada langganan mereka, sebagai tambahan kepadan penawaran perkhidmatan HyppTV.

Sementara itu, Janice mengulas, “Viu telah mendapat sambutan yang amat baik di Hong Kong dan Singapura. Kami menjangkakan kejayaan yang sama akan diperoleh untuk pelancarannya di Malaysia, terutamanya dengan kerjasama strategik kami bersama TM.”

“Penyampaian nilai Viu yang unik buat pengguna akan terus bersandarkan kepada perkembangan teknologi, media dan kehendak pengguna. Viu menawarkan rakyat Malaysia akses kandungan terbaharu daripada studio-studio terbaik di seluruh dunia, dan menepati citarasa tempatan untuk pengalaman hiburan yang terbaik,” kata Nickhil.

Viu akan memberikan lebih daripada 10,000 jam kandungan premium Asia pada tahun 2016 daripada penyiar program TV terbaik di Korea iaitu KBS, MBC, CJ dan SBS. Ini termasuk 3,700 jam drama Korea yang terbaharu dan pelbagai siri drama terkini seperti Oh My Venus, Moorim Scool dan Six Flying Dragons, termasuklah rancangan-rancangan yang pernah memenangi anugerah seperti My Love from the Star, The Heirs dan rancangan kegemaran sepanjang masa, The Running Man.

Drama-drama Korea terbaharu terpilih akan disediakan sari kata Bahasa Inggeris dalam tempoh masa 8 jam selepas tayangan perdananya di Korea dan dengan sari kata Bahasa Malaysia dalam tempoh masa 24 jam, untuk memberikan para pelanggan kami pengalaman tontonan yang terbaik. Selain itu, lebih 3,700 jam siaran drama-drama Korea terbaharu pada tahun 2016 boleh didapati dalam sari kata dalam bahasa-bahasa tempatan, termasuklah Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia dan Bahasa Cina.

Selain itu, pelbagai kandungan menarik lain boleh didapati dari studio-studio terbaik serantau dan luar negara termasuklah – Primeworks Distribution, Media Prima, MD Entertainment Indonesia, Vision Plus Entertainment, Double Vision, Media Quiz, Huace, Media Asia, Transmedia dan Caracol, di mana Vuclip telahpun mempunyai usahasama jangka panjang dengan lebih daripada 250 studio terbaik di peringkat global.

Viu dibina dengan teknologi Dynamic Adaptive TranscodingTM milik Vuclip yang telah dipatenkan, memanfaatkan pengalaman Vuclip selama lapan tahun dalam menyediakan kandungan hiburan  penstriman video-atas-permintaan (streaming video-on-demand) untuk pasaran-pasaran yang kian meningkat naik. Kandungan-kandungan berkenaan disimpan rapi menggunakan teknologi pengurusan hak digital bertaraf dunia digabungkan dengan pembekal perkhidmatan terkemuka industri Verimatrix dan Vualto.

 

Harga & Ketersediaan

 

Viu ditawarkan sebagai perkhidmatan freemium, di mana penonton di Malaysia mempunyai akses kepada beribu-ribu jam kandungan secara percuma. Pelanggan juga boleh melanggan kepada segmen premium perkhidmatan tersebut yang merangkumi pengalaman tanpa iklan, serta akses kepada kandungan premium tambahan pada kadar RM10 sebulan.

Viu boleh diakses menerusi telefon mudah alih dan tablet serta komputer dengan memuat turun aplikasi Viu di Google Play atau layari www.viu.com.my pada browser komputer anda. Viu akan boleh didapati di Apple App Store tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *