(SEMASA) Wajah Baru Di Wanita Hari Ini (WHI) di TV3

Hos WHI dr kiri Nor Azzura Azizul Azman, Hasfizza Sabjahan, Azizah Ariffin, Nabihah Rosdi,Irin Putri & Hazrena Kassim

WHI PERKUKUH KONSEP DAN KETRAMPILAN

Program popular bual bicara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 terus menjadi pilihan dan rujukan utama golongan wanita di negara ini selepas 12 tahun ia disiarkan. Program bual bicara satu jam ini kini tampil dengan musim baru dengan memperkenalkan set yang lebih elegan, barisan pengacara yang baru serta memaparkan segmen-segmen seperti fesyen, kesihatan, isu-isu semasa, dari fail mahkamah, dan asam garam rumahtangga.

Set Baru program Wanita Hari Ini (1)

Pastinya tarikan utama dan penyeri program WHI bagi tahun 2013 adalah penampilan barisan pengacara WHI, Hasfizza Sabjahan, Azizah Ariffin, Nor Azzura Azizul Azman, Hazrena Kassim, Teh Syuhaida dan Irin Putri bersama seorang wajah baru, Nabihah Rosdi. Nabihah Rosdi yang merupakan salah seorang peserta Top Host 2010 ini, ternyata pengalamannya dalam selok-belok dunia kewartawanan merupakan satu bonus kepada program WHI terutamanya segi editorial dan teknik mengajukan soalan secara bernas.

Memperkemaskan lagi intipati WHI musim baru ini, segmen-segmen baru dan terdahulu digabungkan untuk menghasilkan kandungan yang lebih menarik dan segar. Rutin Harian WHI dimulakan dengan siaran hari Isnin yang membincangkan topik kecantikan, fesyen dan trend masa kini. Menariknya, topik fesyen yang dibincangkan bukan sahaja untuk panduan golongan wanita sahaja malah fesyen untuk golongan remaja turut diketengahkan. Panduan menata rias diri dari hujung rambut hingga ke hujung kaki juga dikongsi secara terperinci bersama pakar serta perunding imej di studio. Artis dan selebriti yang sering dikategorikan sebagai ikon fesyen akan diundang untuk berkongsi pengalaman dan juga tips yang berguna.

Khusus bagi kaum wanita yang prihatin dan menitikberatkan kesihatan, pastinya siaran hari Selasa adalah rujukan terbaik. Saban minggu, para penonton boleh mengikuti segmen yang menampilkan pakar-pakar kesihatan dari pelbagai bidang yang diundang khas untuk mengupas isu permasalahan seperti kesihatan, masalah keintiman suami isteri, seks untuk penyakit kanser servik dan banyak lagi.Segmen ini sedikit sebanyak memberikan informasi kepada surirumah terutamanya dalam cara dan tips untuk mencegah serta menangani masalah-masalah penyakit kaum wanita.

Beralih angin dari kesihatan, segmen hari Rabu pula memaparkan topik bualan hangat dan isu-isu semasa yang membabitkan wanita, remaja dan anak-anak kecil. Isu-isu kontroversi yang berlaku akan diketengahkan bertujuan untuk melengkapkan wanita dengan pengetahuan yang boleh digunakan dalam meniti kehidupan baik. Sementara itu, segmen hari Rabu juga turut menampilkan wanita-wanita yang berjaya dan cemerlang dalam kerjaya menerusi segmen Srikandi WHI. Segmen ini boleh dijadikan sebagai rujukan buat golongan hawa di luar sana sebagai pembakar semangat.

Menyedari akan peranan penting hak seorang wanita, tidak rugi jika para penonton terus mengikuti segmen ‘Dari Fail Mahkamah’ yang diperkenalkan sebagai topik mingguan pada setiap Khamis ini. Dapatkan infomasi terkini melalui perbincangan yang membabitkan kes-kes yang berlaku dan pandangan daripada pakar undang-undang, peguam dan NGO yang diundang khas ke studio bertujuan untuk membimbing dan membuka mata serta minda kaum wanita.

Tidak lengkap rasanya program WHI tanpasegmen ‘Asam Garam Rumahtangga’ bersiaran setiap Jumaat yang terus diminati hingga kini. Segala permasalahan berkaitan hubungan suami isteri dan topik mengenai kepincangan dan keharmonian rumahtangga bakal diperdebatkan dan dirungkai untuk mencari jalan penyelesaian mahupun pemahaman di sebalik kemelut demi memelihara kesejehteraan hubungan adam dan hawa ini. Nasihat dan petua dari pakar motivasi, perunding perkahwinan dan keluarga serta juga tokoh keagamaan banyak membantu wanita terutamanya di zaman yang penuh cabaran.

Menurut Penerbit Eksekutif, Puan Siti Hatija Yusof, “Mewakili tenaga produksi, kami semua turut bangga selepas 12 tahun WHI bersiaran, program ini terus berjaya meninggalkan impak positif kepada wanita secara amnya. Malah, program ini juga menjadi saluran utama golongan wanita di negara ini dalam berkongsi panduan dan bimbingan kepada khalayak. Bagi tahun 2013, program WHI tampil lebih padat dengan perisian segmen-segmen baru serta set baru sebagai hidangan tatapan penonton setia WHI. Di samping itu, WHI juga mewujudkan satu interaksi dan komunikasi di antara penonton dengan WHI di mana penonton boleh menghubungi WHI semasa bersiaran untuk mengajukan soalan-soalan serta mendapatkan jawapan menerusi tetamu yang hadir di studio WHI. Maka tidak hairanlah jika evolusi program bual bicara yang terus setia ke udara secara langsung selama 1 jam tepat jam 12.00 tengahari setiap Isnin hingga Jumaat ini menyaksikan perubahan editorialnya selari dengan kemahuan serta citarasa wanita kini.”

Program WHI pernah mencapai tahap rating yang membanggakan sehingga mencecah lebih 1 juta penonton dan ini merupakan pencapaian yang baik memandangkan program ini bukan disiarkan pada waktu perdana. Justeru, bersesuaian dengan intipatinya yang sematang usia, program bual bicara wanita terbitan Primeworks Studios yang telah menjangkau 12 tahun ini, sentiasa mengkaji dan mengambil inisiatif memperbaiki mutu penerbitan seperti suntikan pembaharuan bagi memastikan kandungan dan impak program WHI terus mekar dan segar di hati penonton.

Sidang produksi yang bertanggungjawab mengendalikan penerbitan WHI dibarisi oleh (Pengurus Program Wanita/Projek Khas yang juga Penerbit Eksekutif), Siti Hatija Yusof, Kalijahwati Kassim (Penerbit Eksekutif) dan Noorazlina Nekmat serta Farah Yasmin Zulkepli sebagai penerbit. Penolong Penerbit di bantu oleh Lily Diana Saad serta Pembantu Penerbitan, Samsul Affendy Saliman dan Nasharuddin Nawi.

Setiap hari adalah sesuatu yang baru dan pastinya cabaran baru perlu ditempuhi sebaik-mungkin. Untuk rujukan terbaik bagi kaum wanita, ibu, surirumah dan perancang keluarga, jangan lupa saksikan Wanita Hari Ini (WHI) yang diterajui oleh Puan Siti Hatija Yusuff sebagai Penerbit Eksekutif yang juga Pengurus Program Wanita & Projek Khas ini setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 12.00 tengahari hingga 1.00 petang di TV3!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *