(SUKAN) 13 Negara Sertai Kejohanan Boling Padang Sime Darby Asia Pasifik Merdeka kali ke-8

AN - 28 - 1gmo

Sejumlah USD50,000 ditawarkan dalam kejohanan boling padang dalam dewan Sime Darby Asia Pacific Merdeka kali ke-8 yang akan berlangsung pada 1 hingga 6 oktober ini di Stadium Tertutup Boling Padang Bayuemas, Klang. 16 pasukan dari 13 negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu campuran dan berempat campuran.

Menurut Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Tuan Haji Nawawi Haji Ismail, selain memberi persiapan rapi kepada pasukan negara menjelang Sukan Komanwel tahun depan, kejohanan ini juga diharap dapat mengkomersialkan lagi sukan boling padang ini di Malaysia.

“Kalau dilihat, sukan boling padang yang sebelum ini hanya dimainkan golongan berusia semakin mendapat tempat dikalangan belia.

“Oleh yang demikian, saya berharap agar lebih banyak lagi organisasi mengikut jejak langkah Yayasan Sime Darby dalam membantu kami membangunkan sukan ini” kata Nawawi pada sidang media kejohanan tersebut.

Bagi Yayasan Sime Darby pula, ini kali kelima mereka menaja kejohanan dengan jumlah tajaan tahun ini bernilai RM 393, 900 meliputi penginapan, makanan, pengangkutan, trofi serta hadiah wang tunai dan banyaj lagi.

“Kami di Yayasan Sime Darby melihat boling padang mempunyai potensi yang cukup besar dan yakin kejohanan seperti ini mampu melahirkan lebih ramai lagi jaguh dunia dari Malaysia” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Hajjah Yatela Zainal Abidin.

Selain Malaysia yang menghantar 4 pasukan, 13 negara lain yang menyertai kejohanan ini adalah Australia, China, Fiji, Hong Kong, India, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, UAE dan Sri Lanka.

Sandaran utama negara bakal diletakkan kepada Muhammad Hizlee Abd Rais; pemain nombor 3 dunia serta bekas pemain nombor 1 dunia, Siti Zalina Ahmad.

Hizlee yang juga juara tahun lalu menjangkakan cabaran sengit akan hadir dari rakan senegara berbanding pemain-pemain luar.

“Melihat kepada senarai pemain pada edisi kali ini, Malaysia menghantar skuad terkuat berbanding Australia dan New Zealand yang tidak menghantar pasukan utama.

“Insyaallah saya akan cuba beri aksi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan ini” kata Hizlee yang turut memenangi edisi 2010.

Berbeza dengan Hizlee, Siti Zalina pula tidak menaruh harapan tinggi apatah lagi dia hanya kembali mewakili negara pada Jun lalu.

“Sebelum ini saya berehat hampir 2 tahun. Jadi untuk kembali mendapatkan rentak, saya sudah pertingkatkan latihan sejak bulan Ramadan lagi.

“Bagi kejohanan ini, saya sasar untuk dapatkan kembali prestasi sebenar saya namun jika tuah menyebelahi saya untuk memenanginya, saya anggap ia sebagai bonus” kata pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 dan 2006 itu.

Delegasi pasukan luar akan hadir pada 29 Oktober ini. Sesi latihan rasmi pula akan dimulakan sehari selepas itu sebelum kejohanan sebenar berlangsung mulai 1 Oktober. Peminat yang ingin menyaksikannya dijemput hadir dengan kemasukan adalah percuma.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *