(SUKAN) GRAB, RAKAN PENYEDIAAN PERKHIDMATAN PANGGILAN KERETA BAGI ACARA SUKAN SEA KE-29 DAN SUKAN PARA ASEAN KE-9

Spread the love

Petaling Jaya, 23 Mei 2017 Grab, penyedia perkhidmatan panggilan kereta dan platform pelbagai perkhidmatan lain, hari ini telah memeterai perjanjian untuk menjadi penaja emas dengan gelaran Penaja Pemanggil Kenderaan Pengangkutan Rasmi bagi acara Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, yang turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan datang.

Penajaan ini menjadi salah satu detik bersejarah bagi Grab, yang bakal meraikan ulang tahunnya yang ke lima, memandangkan ini merupakan kali pertama sebuah syarikat penyedia perkhidmatan tempahan kereta menaja temasya sukan yang terbesar di Asia Tenggara.

Mewakili Grab pada majlis pengumuman dan menandatangani memorandum persefahaman mengenai penajaan itu ialah Ketua Pengurus Grab Malaysia, Sean Goh manakala Kementerian Belia dan Sukan diwakili oleh Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali.

Turut hadir menyaksikan pertukaran perjanjian berkenaan ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Gen. Khairy Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Grab, Anthony Tan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk M. Saravanan, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Ybhg Dato’ Seri Zolkples Embong, dan Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Ng Keng Chuan.

“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami merasa amat teruja kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada acara ini. Pertama sekali, penyertaan kami mengukuhkan lagi komitmen kami  untuk memastikan semua atlet, penyokong serta para pelancong mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang selamat, mudah dan selesa. Keduanya, kami mahu membantu mewujudkan suasana acara yang mesra alam sekitar dengan mengurangkan kesesakan trafik untuk pergi ke tapak acara dan di sekitar kawasan temasya sukan, sekali gus mengurangkan pengeluaran karbon,” kata Goh.

Selain daripada itu, perluasan Grab ke 12 pekan dan bandar utama seperti Langkawi dan Nilai pada tahun ini sahaja, beserta dengan fungsi-fungsi terbaharunya seperti GrabShare (perkhidmatan kongsi kenderaan atas permintaan), GrabChat (sistem pesanan ringkas dalam aplikasi) dan GrabPay (pilihan pembayaran tanpa tunai), bakal menjadikan pengalaman perjalanan mereka yang lebih baik. Para peminat sukan tidak perlu risau lagi tentang arah perjalanan yang dituju, isu tempat meletak kenderaan, tawar-menawar harga dan komunikasi dengan pemandu (terutamanya untuk para pelancong).

YB Brig. Gen. Khairy Jamaluddin selaku pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia untuk KL2017 (MASOC) mengalu-alukan penglibatan Grab dan menganggap syarikat berkenaan sebagai rakan yang ideal bagi KL2017.

“Sesungguhnya, kerjasama dengan Grab adalah tepat memandangkan KL2017 mengsasarkan untuk menjadi salah satu acara Sukan Hijau yang mempromosikan kesedaran tentang alam sekitar serta amalan kelestarian di dalam kalangan orang ramai dan peminat sukan. Saya menggalakkan semua orang agar menggunakan pengangkutan awam di sepanjang acara sukan ini berlangsung bagi membantu mengurangkan pengeluaran karbon,” kata YB Brig. Gen Khairy.

Ini merupakan kali ke-enam Malaysia diberi penghormatan untuk menganjurkan acara Sukan SEA dan kali ke-tiga menganjurkan Sukan Para ASEAN. Penganjuran temasya sukan berkenaan akan bertambah meriah kerana ia bakal berlangsung pada bulan Ogos ketika rakyat Malaysia menyambut bulan kemerdekaan negara yang ke-60. Sukan SEA ke-29 bakal berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN ke-9 pula akan berlangsung daripada 17 sehingga 23 September. Sebanyak 405 acara melibatkan 38 jenis sukan bakal dipertandingkan di temasya sukan kali ini yang akan disertai oleh para atlet daripada 11 negara di Asia Tenggara.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *