(SUKAN) Isu Insentif – Dapatkan pandangan pakar paralimpik

Spread the love

PADANG BESAR – Atlet paralimpik negara masih boleh menaruh harapan untuk menikmati faedah lebih baik walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan pemberian insentif kepada golongan berkenaan kekal sebagaimana ditetapkan sebelum ini.

Ia berdasarkan kesudian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk terus mendengar rintihan atlet-atlet berkenaan atau badan berkaitan berhubung pemberian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang tidak sama antara atlet Sukan Paralimpik dengan Sukan Olimpik.

Menurut Ahmad Shabery, pihaknya sedia menerima maklum balas daripada pakar dalam bidang sukan paralimpik selain agensi tertentu seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Paralimpik Malaysia, MSN dan sebagainya.

“Saya sedia mendengar apa sahaja cadangan atau maklum balas daripada pakar dalam bidang berkaitan mengenai insentif kepada atlet paralimpik termasuk mengkaji pemberian pencen kepada mereka.

“Isu ini tidak wajar dipolitikkan, malah perlu dilihat dari pelbagai sudut serta memerlukan kajian cukup mendalam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri di sini, semalam.

Beliau mengulas kontroversi atlet paralimpik yang memperoleh pingat emas dan perak dalam Sukan Paralimpik ditawarkan insentif lebih rendah daripada atlet Sukan Olimpik.

Berdasarkan insentif Shakam, atlet Sukan Olimpik yang meraih pingat ditawarkan ganjaran RM1 juta (emas), RM300,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa) berbanding RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa) untuk atlet Sukan Paralimpik.

Pemenang pingat Sukan Olimpik juga diberikan pencen sepanjang hayat berjumlah RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa) berbanding tiada pencen ditawarkan untuk pemenang pingat Sukan Paralimpik.

Perbezaan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pihak yang menyifatkan atlet paralimpik perlu diberi ganjaran sama sebagaimana atlet normal.

Semalam dalam laporan akhbar, Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zulkples Embong mengesahkan tidak ada cadangan setakat ini untuk mengubah ketetapan berhubung pemberian insentif kepada atlet paralimpik itu.

Kata Ahmad Shabery, perbezaan pemberian insentif antara atlet Sukan Paralimpik dengan Sukan Olimpik dinilai daripada cabaran atau rintangan yang dilalui oleh atlet terbabit sebelum mara ke final dalam sesuatu acara.

sumber artikel : utusan

sumber gambar : suara generasi baru .com


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *